Ini adalah video protes reformasi keadilan Israel pada Mac 2023, bukan 'demonstrasi anti-Netanyahu pada Oktober 2023'

Ribuan orang awam maut dalam konflik antara Israel dan Hamas yang dicetuskan oleh serangan kumpulan militan itu pada 7 Oktober 2023, yang turut mengakibatkan lebih 230 warga Israel menjadi tebusan. Di saat demonstrasi yang meluas pada Oktober 2023 menuntut pembebasan tahanan dari Hamas, sebuah video diedarkan dengan naratif palsu bahawa ia adalah rakaman protes anti-kerajaan besar-besaran di Tel Aviv, yang menuntut Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membebaskan tebusan Israel dari Hamas. Satu petikan daripada video itu sebenarnya menunjukkan demonstrasi besar-besaran pada Mac 2023, lebih enam bulan sebelum konflik itu berlaku. Sementara itu, rakaman lain dalam video mengelirukan menunjukkan bantahan oleh ratusan orang mengenai tahanan Hamas pada Oktober 2023.

Video 53 saat itu dikongsi di siaran X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, ini pada 15 Oktober 2023.

Catatan itu berbunyi: "500,000 pendatang haram Israel di Tel Aviv membuat protes terhadap Netanyahu dan menggelarnya panglima perang yang gila kuasa kerana hanya sibuk memerangi Hamas tetapi tidak mahu menyelamatkan tawanan mereka. Malah pendatang haram Israel kini menjerit Netanyahu sebagai pembunuh "

Klip itu bermula dengan rakaman udara sekumpulan besar penunjuk perasaan, di mana bendera Israel boleh dilihat dikibarkan di tengah-tengah orang ramai. Pada saat ke-14, video itu bertukar kepada wartawan yang melaporkan berita demonstrasi di Tel Aviv.

Catatan itu telah dikongsi ulang lebih daripada 9,300 kali dan menerima 10,000 Like.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 29 November 2023

Pejuang Hamas menyerbu masuk ke sempadan Israel pada 7 Oktober 2023 pada hari terakhir perayaan Yahudi yang juga dipanggil Sukkot, dan melakukan serangan paling maut sejak negara itu ditubuhkan pada 1948.

Kira-kira 1,200 orang di Israel terbunuh dan sekitar 240 orang lainnya menjadi tebusan dalam serangan itu, menurut angka terbaru dari pihak berkuasa Israel.

Sebagai tindakan balas, Israel mengumumkan akan memusnahkan Hamas dan memulakan pengeboman tanpa henti di Semenanjung Gaza. Jumlah mangsa yang terbunuh di Semenanjung Gaza telah melebihi 14,800 orang, antaranya lebih daripada 6,100 kanak-kanak dan 4,000 wanita, menurut kerajaan Hamas pada 23 November 2023.

Rakyat Israel, terutamanya keluarga tebusan, berdemonstrasi berulang kali di Tel Aviv pada Oktober 2023, menuntut kerajaan mereka berusaha lebih banyak untuk membebaskan tawanan, seperti yang dilaporkan AFP di sini dan di sini (pautan arkib ini dan ini).

Dalam demonstrasi pada 28 Oktober 2023, dihadiri ratusan orang, keluarga menyatakan kemarahan mereka atas "ketidakpastian mutlak tentang nasib tebusan yang ditahan, yang juga terdedah kepada pengeboman besar-besaran".

Video itu turut dikongsi dengan dakwaan serupa di TikTok di sini, di Facebook di sini dan di sini, di mana video itu telah ditonton lebih daripada 232,000 kali, dikongsi ulang lebih daripada 860 kali dan menerima 6,100 Like.

Juga pada bulan yang sama, siaran yang sama diedarkan bukan sahaja dalam kalangan pengguna media sosial di Indonesia, tetapi juga dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa Sepanyol.

Bagaimanapun, dakwaan itu mengelirukan.

Tayangan pertama

Rakaman pada permulaan video dalam catatan mengelirukan itu sebenarnya menunjukkan ribuan orang berdemonstrasi di Tel Aviv beberapa bulan sebelum konflik terbaru berlaku.

Versi rancangan yang lebih panjang telah dimuat naik oleh The Telegraph, sebuah akhbar UK, pada saluran YouTube mereka di sini pada 12 Mac 2023 (pautan arkib).

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, tajuk video minit dan 18 saat itu berbunyi: "Demonstrasi 'paling besar' di Israel ketika kerajaan Netanyahu bertegas untuk melakukan pembaharuan."

Video itu menunjukkan protes di Tel Aviv pada 11 Mac 2023.

“Puluhan ribu rakyat Israel turun ke jalan raya untuk membantah pembaharuan kehakiman kerajaan,” bunyi teks pada video itu. "Penganjur menganggarkan 500,000 orang menghadiri demonstrasi itu."

Video itu juga muncul dalam laporan yang diterbitkan di laman web The Telegraph pada hari yang sama (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asal daripada The Telegraph (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asal daripada The Telegraph (kanan)

Demonstrasi pada 11 Mac 2023 berlaku di seluruh negara Israel, dan merupakan sebahagian daripada demonstrasi berbulan-bulan menentang rancangan pembaharuan kehakiman kerajaan.

“Pembaharuan kehakiman adalah asas pentadbiran Netanyahu, pakatan parti Yahudi ultra-Ortodoks dan sayap kanan ekstrem, yang berkuasa sejak akhir Disember,” lapor AFP pada masa itu.

Laporan AFP juga menyatakan bahawa demonstrasi terbesar berlaku di bandar pesisir pantai Tel Aviv, "dihadiri oleh kira-kira 100,000 penunjuk perasaan, menurut anggaran media Israel".

Bagaimanapun, rang undang-undang kontroversi itu masih diluluskan walaupun mendapat tentangan yang meluas.

Tayangan kedua

Siaran kedua diambil daripada laporan oleh ABC News, media Amerika, yang dimuat naik ke saluran YouTube mereka pada 14 Oktober 2023 (pautan arkib).

Klip yang digunakan dalam siaran mengelirukan bermula pada tanda minit ke-5:55 dalam video asal.

Siaran ini memang menunjukkan rakyat Israel memprotes untuk menuntut kerajaan mereka berusaha lebih kuat untuk membebaskan tebusan yang dipegang oleh Hamas, tetapi bilangan penunjuk perasaan tidak mencecah ribuan.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, tajuk video ABC News ialah: "Di dataran di Tel Aviv bersama penunjuk perasaan."

Video itu menunjukkan wartawan ABC News Matt Gutman membuat liputan demonstrasi oleh warga Israel di Tel Aviv menuntut kerajaan mereka berbuat lebih banyak untuk mengembalikan tebusan.

Pada tanda 40 saat video asal, Gutman berkata: "Terdapat ratusan orang di kedua-dua belah jalan" membantah, dan pada tanda 1:55, beliau berkata bahawa beliau sedang berdiri di hadapan Kementerian Pertahanan Israel.

Video tersebut turut disiarkan di laman web ABC News pada hari yang sama (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asal daripada ABC News (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asal daripada ABC News (kanan)

Demonstrasi mengejut itu berlaku di hadapan Kementerian Pertahanan Israel pada 14 Oktober 2023, selepas ratusan orang menyertai seorang lelaki bernama Avichai Brodetz yang berdemonstrasi seorang diri menuntut pembebasan keluarganya yang menjadi tebusan oleh Hamas, seperti dilaporkan oleh akhbar Times of Israel dan Haaretz (pautan arkib ini dan ini)

AFP tidak menemui laporan yang boleh dipercayai tentang protes di Tel Aviv yang dihadiri kira-kira 500,000 orang pada Oktober 2023, seperti yang didakwa dalam catatan mengelirukan.

Perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 24 November 2023 telah menghentikan sementara pertempuran selama tujuh minggu serta berpuluh-puluh tebusan warga Israel dan lebih 100 tahanan Palestin dibebaskan Hamas dan Israel.

Sebelum ini, AFP menafikan gambar daripada video The Telegraph yang turut didakwa menunjukkan video demonstrasi anti-Netanyahu pada bulan yang sama.

AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai konflik Israel-Hamas di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami