Ini video lama, bukan 'rakyat Mesir berpusu-pusu bawa bantuan ke Gaza'

Media sosial dipenuhi dengan kandungan visual perang di Gaza, yang bermula pada 7 Oktober 2023 selepas kumpulan militan Hamas melancarkan serangan ke atas Israel, tetapi sebahagian daripada ini adalah imej atau video yang tidak berkaitan dengan konflik itu. Salah satunya, video yang dikongsikan dengan dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan rakyat Mesir berpusu-pusu merentasi padang pasir untuk menghantar bantuan ke wilayah Palestin. Video itu pada asalnya tersebar sebelum meletusnya perang Israel-Hamas, dan sebenarnya merakamkan aktiviti penyeludupan berhampiran sempadan Mesir-Libya.

Video yang menunjukkan sekumpulan orang berjalan merentasi padang pasir sambil membawa barang telah dikongsi di TikTok di sini pada 17 Oktober 2023.

Antara kapsyen catatan itu dalam bahasa Melayu berbunyi, "Berjaga2 lah wahai yahudi,tentera Muhammad pasti akan kembali".

Teks pelekat di video bertulis: "Rakyat Mesir biasa membawa makanan dan air untuk penduduk Gaza, menyeberangi padang pasir dengan berjalan kaki / Bagaimanapun lintasan Rafah tetap ditutup - satu-satunya penyeberangan sempadan dari Gaza ke Mesir."

Video berdurasi 33 saat itu telah ditonton sebanyak 15,000 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 16 November 2023

Video itu telah ditonton lebih daripada 7,000 kali selepas dimuat naik dengan naratif serupa dalam siaran TikTok ini, ini, ini, dan ini.

Rakaman itu juga disebarkan dengan tuntutan dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa Arab.

Siaran itu dibuat selepas Hamas melancarkan serangan yang tidak dijangka terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, dan seterusnya mencetuskan peperangan yang mengorbankan ribuan rakyat Israel dan Palestin.

Serangan itu adalah yang paling teruk dalam sejarah Israel, dan menurut pihak berkuasa Israel dilakukan oleh angkatan tentera yang menceroboh sempadan dari Gaza, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menjadikan 239 tebusan, menurut pihak berkuasa Israel.

Israel bertindak balas dengan pengeboman udara berterusan yang telah membunuh lebih 11,500 orang, 40% daripadanya kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza pada 15 November 2023.

Konflik terbaru ini telah menyebabkan krisis kemanusiaan yang serius di wilayah Palestin. Israel juga memotong bekalan air, makanan, bahan api dan tenaga ke Gaza, dan hanya sejumlah kecil bantuan dari Mesir yang dibenarkan masuk di bawah perjanjian di mana Amerika Syarikat menjadi perantara.

Bagaimanapun, siasatan AFP mendapati dakwaan bahawa video itu merakam rakyat Mesir mengangkut bantuan ke Gaza ialah palsu.

Sempadan Mesir-Libya

AFP mendapati video itu telah tersebar di TikTok, di X -- sebelumnya Twitter -- dan di YouTube, setidaknya sejak bulan September 2023 -- sekitar sebulan sebelum perang Israel-Hamas bermula di awal Oktober 2023 (pautan arkib ini, ini dan ini).

Menurut huraian tiga catatan itu, video tersebut menunjukkan aktiviti penyeludupan berhampiran sempadan Sallum, antara Mesir dan Libya.

Carian menggunakan kata kunci "Sallum" dalam bahasa Arab di Google Maps mendedahkan bahawa ini adalah nama sebuah bandar pantai yang terletak berhampiran sempadan Mesir dan Libya (pautan arkib). Dari Google Maps juga diketahui bahawa bandar ini diapit oleh Laut Mediterranean dan padang pasir.

Pencarian kawasan Sallum dan kawasan sempadan Mesir-Libya di Google Maps menemui bangunan yang serupa dengan catatan sempadan antara kedua-dua negara (pautan arkib).

Kawasan sempadan juga boleh dilihat dalam video Facebook ini, yang dimuat naik oleh Information and Decision Support Center (IDSC), di bawah Majlis Menteri atau Kabinet Mesir, pada 24 September 2023 (pautan arkib ini dan ini).

Berikut ialah perbandingan video yang dirakam dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video sempadan daripada kerajaan Mesir (kanan):

Image
Perbandingan video yang dirakam dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video sempadan daripada kerajaan Mesir (kanan)

Dalam beberapa catatan yang mengelirukan, video itu berakhir dengan perkataan "Kurdistan24.net" dan terdapat juga kelihatan di bahagian atas sebelah kiri video logo "K24", iaitu logo syarikat media tersebut.

Kurdistan 24 ialah sebuah stesen TV yang berpangkalan di Erbil, Iraq (pautan arkib). Bagaimanapun, carian video ini di akaun media sosial mereka tidak membuahkan hasil.

Ketika dihubungi AFP, Zheer Ziyad, ketua jabatan media sosial Kurdistan 24, mengesahkan bahawa mereka pada mulanya memuat naik klip itu pada 13 Oktober 2023 dengan naratif membantu rakyat Mesir.

"Apabila kami menyemak video itu, kami mendapati ia adalah video lama, diambil pada 2020; kami segera memadamkannya daripada semua platform kami," kata Ziyad.

Seludupan rokok

Beberapa video lain, yang turut diedarkan dengan naratif palsu yang serupa, menunjukkan bahawa ia adalah aktiviti penyeludupan rokok.

Dalam sebuah video TikTok bertarikh 14 Oktober 2023, yang tersebar dengan tuntutan dalam bahasa Inggeris, beberapa orang dilihat mengeluarkan kotak putih dengan perhiasan merah dari beg yang mereka bawa.

Image
Tangkapan skrin yang menunjukkan saat kotak diturunkan ke tanah, diambil pada 24 Oktober 2023

AFP mendapati penampilan kotak itu sepadan dengan logo rokok "H&P Red", seperti yang dilihat di laman web pasaran Lazada di Filipina dan laman Facebook di Pakistan (pautan arkib ini dan ini).

Image
Tangkapan skrin foto rokok di laman web Lazada, diambil pada 23 Oktober 2023

Selain itu, video berbeza yang disebarkan dengan dakwaan palsu dalam bahasa Sepanyol pada pertengahan Oktober 2023, menunjukkan sekumpulan orang yang membawa beg galas putih yang serupa dengan tulisan Arab.

Diterjemahkan menggunakan Google Lens, tulisannya ialah "Qadourah" dan "Abu Samleh" -- nama keluarga yang tidak mempunyai makna khusus -- dan nombor "717".

Di samping itu, logo berbentuk bujur dengan huruf "O", "R", "I" dan "S" kelihatan di belakang sarung beg galas.

Image
Tangkapan skrin beg galas, diambil pada 24 Oktober 2023

Menerusi carian menggunakan kata kunci "Oris cigarettes," AFP menemui laman web untuk syarikat rokok Oris dengan logo serupa dengan yang dilihat dalam video (pautan arkib).

Rokok Oris ialah produk Oriental General Trading, yang berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (pautan arkib).

AFP juga telah menafikan gelombang maklumat salah berkaitan perang Israel-Hamas di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami