Ronaldo menangis setelah menonton video mendiang ayahnya, bukan 'kerana video kanak-kanak Palestin'
- Diterbitkan pada hari Selasa 19/12/2023 pukul 07:49
- Durasi bacaan 5 minit
- Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Allahuakhbar kuatnya anak-anak Palestine," tulis satu catatan di sebuah video TikTok, yang dimuat naik pada 22 Oktober 2023.
Teks pelekat video itu berbunyi: "RONALDO MENANGIS MELIHAT SEORANG KANAK-KANAK PALESTINE YG TERCEDERA MENGUCAPKAN ALLAHUAKHBAR."
Video berdurasi 14 saat yang telah ditonton lebih 5.1 juta kali itu menunjukkan dua klip ditampal bersebelahan.
Klip di sebelah kanan menunjukkan Ronaldo sedang duduk di atas sofa dan mengesat air matanya selepas beliau sepertinya menonton sesuatu.
Klip di sebelah kiri menunjukkan seorang kanak-kanak kecil terbaring di atas katil hospital, dengan tiub oksigen di hidungnya, sambil berulang kali menyebut "Allahu Akbar".
Video tersebut juga telah ditonton lebih dari 21,000 kali setelah dikongsi dengan dakwaan serupa dalam siaran TikTok ini dan ini, dan dalam bahasa Inggeris di YouTube di sini.
Satu lagi versi video dikongsi dengan tuntutan yang sama di TikTok di sini pada 22 Oktober 2023, di mana video itu telah ditonton lebih daripada 1.5 juta kali.
Seperti video sebelum ini, video ini juga berdurasi 14 saat dan terdiri daripada dua klip yang ditampal bersebelahan. Klip di sebelah kanan menunjukkan rakaman Ronaldo menangis yang sama.
Bagaimanapun, klip di sebelah kiri menunjukkan rakaman lain, iaitu seorang kanak-kanak sedang duduk di atas katil hospital.
Budak lelaki itu dilihat memakai seragam pasukan Al Nassr berwarna kuning dengan nama "Ronaldo" dan nombor 7, nombor ikonik bintang bola sepak Portugis yang kini bermain untuk Al Nassr, pasukan bola sepak Arab Saudi.
"Cristiano Ronaldo Menangis Melihat Video Ini," tulis teks di atas video tersebut, yang juga diulangi kapsyen siaran TikTok itu.
Diterjemahkan daripada bahasa Indonesia, sambungan teks di atas video berbunyi: "Kanak-kanak Palestin yang menjadi mangsa serangan Israel, kanak-kanak ini masih memakai JERSI CRISTIANO RONALDO... walaupun bajunya sudah compang-camping di badannya yang cedera..."
Video ini telah ditonton lebih dari 158,000 kali selepas dikongsi dengan dakwaan serupa dalam siaran TikTok ini, ini dan ini.
Kedua-dua video itu juga dikongsikan oleh pengguna media sosial Indonesia di sini dan di sini.
Semua siaran itu tersebar beberapa minggu selepas kumpulan militan Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang menurut angka rasmi Israel terakhir, telah membunuh 1,140 orang.
Sebagai tindak balas, Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas dan mengebom Semenanjung Gaza. Serangan bertubi-tubi Israel meragut nyawa lebih 19,400 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah Palestin yang dikuasai Hamas pada 18 Disember 2023.
Dalam satu kenyataan, UNICEF berkata kanak-kanak di Gaza dilaporkan terbunuh dan cedera setiap hari, dan wilayah Palestin adalah "tempat paling berbahaya di dunia untuk kanak-kanak" (pautan arkib).
Seperti yang dilaporkan oleh AFP, beberapa artis terkenal, seperti Bono, Gigi Hadid dan Madonna, juga telah bercakap mengenai konflik yang sedang berlaku.
Bagaimanapun, video Ronaldo sebenarnya telah dirakam empat tahun lalu dan tiada kaitan dengan perang Israel-Hamas.
Wawancara tahun 2019
Pencarian kata kunci dan carian imej terbalik dengan Google mendapati video Ronaldo sedang ditemu ramah oleh Piers Morgan, hos rancangan TV "Good Morning Britain", yang disiarkan beberapa tahun lalu.
Klip dua minit itu ialah petikan daripada temu bual dan dimuat naikkan ke saluran YouTube Good Morning Britain pada September 2019 (pautan arkib).
"Cristiano Ronaldo Menjadi Emosi Selepas Melihat Video Bapanya," tulis tajuk video itu.
Rakaman itu menunjukkan bintang bola sepak itu menangis selepas menonton video mendiang bapanya bercakap dengan bangga tentang Ronaldo sebelum dia meninggal dunia pada 2005.
"Saya tidak pernah melihat video itu," kata Ronaldo dalam wawancara itu, yang disiarkan oleh ITV, sebuah stesen TV swasta UK.
Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin klip dalam siaran palsu (kiri) dan video asal daripada Good Morning Britain (kanan):
Akhbar harian UK The Independent dan tabloid UK The Mirror turut menyiarkan petikan wawancara di laman web mereka pada 16 September 2019 (pautan arkib ini dan ini).
Video kanak-kanak
AFP tidak dapat mengesahkan dengan tepat di mana dan bila video kanak-kanak itu dirakam. Tetapi kedua-dua video itu tersebar di siaran media sosial pada Oktober 2023, ketika perang Israel-Hamas sedang berlaku.
Carian imej terbalik di Google mendapati video kanak-kanak dengan tiub oksigen telah tersebar sejak sekurang-kurangnya 16 Oktober 2023 dalam pelbagai siaran media sosial -- seperti ini, ini dan ini -- mendakwa bahawa video itu menunjukkan seorang kanak-kanak Palestin (pautan arkib ini, ini dan Ini).
Sementara itu, video budak lelaki itu memakai jersi kuning sebelum ini dimuat naik pada 20 Oktober 2023 di akaun Instagram rasmi wartawan Palestin Belal Khaled (pautan arkib ini dan ini).
“Dia menyayangi Cristiano Ronaldo dan bermimpi untuk menjadi pemain bola sepak profesional, tetapi roket Israel mengoyakkan bajunya dan membunuh impiannya,” baca kapsyen catatan dan teks dalam video itu.
Khaled, yang foto-fotonya dari Gaza diterbitkan oleh pelbagai media, termasuk AFP, menuliskan namanya dalam tera air pada video tersebut (pautan arkib).
Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video asal di akaun Instagram Khaled (kanan):
Akhbar harian berbahasa Arab juga menerbitkan laporan tentang video Khaled itu, seperti di sini dan di sini (pautan arkib ini dan ini).
AFP menafikan pelbagai dakwaan palsu berkaitan perang Israel-Hamas tahun ini, termasuk yang menyasarkan Ronaldo di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami