Ini video kapal kargo terbakar di Sri Lanka pada 2021, bukan 'kapal AS diserang Houthi pada 2024'

Satu video kapal terbakar muncul dalam pelbagai siaran media sosial dengan dakwaan palsu bahawa ia adalah rakaman kapal kargo Amerika yang diserang kumpulan pemberontak Houthi dari Yaman pada bulan Januari 2024. Video yang telah ditonton ribuan kali itu sebenarnya menunjukkan bencana maritim pada 2021 di mana kapal kargo berbendera Singapura terbakar di laut Sri Lanka.

"Kapal Amerika yang diserang di Teluk Aden hari ini. 16 Jan 2024," tulis teks pelekat video TikTok ini, yang dikongsi pada 16 Januari 2024, di mana rakaman itu telah ditonton lebih daripada 2,800 kali.

Klip yang berdurasi 21 saat itu menunjukkan rakaman udara kebakaran besar pada sebuah kapal kargo di tengah laut, dengan asap hitam mengepul.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 24 Januari 2024

Video kapal terbakar itu dikongsi dengan dakwaan serupa tentang kapal Amerika di Instagram di sini, sementara di Facebook di sini dikaitkan dengan serangan Houthi ke atas kapal Zografia yang berbendera Malta. Rakaman itu telah ditonton 120 kali di kedua-dua siaran itu. 

Siaran serupa juga beredar dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesiabahasa Urdubahasa Arab, bahasa Sepanyol dan bahasa Jerman.

Tentera Amerika Syarikat berkata pemberontak Houthi telah menyerang sebuah kapal kargo Amerika dengan peluru berpandu di perairan Yaman pada 15 Januari 2024. Serangan Houthi itu susulan pengeboman AS dan UK yang menyasar kumpulan tersebut di Yaman beberapa hari sebelumnya. 

Kapal Gibraltar Eagle, yang berbendera Kepulauan Marshall, mengalami kebakaran, namun tiada kematian dan kekal layak untuk berlayar, kata Komando Pusat AS (Centcom). 

Keesokannya, pada 16 Januari 2024, Houthi menyerang Zografia, kapal kargo Yunani berbendera Malta, dengan peluru berpandu di Laut Merah. 

Pemberontak Houthi, sebahagian daripada "paksi penentangan" kumpulan bersekutu Iran, berkata serangan mereka ke atas perkapalan di Laut Merah  itu adalah sebagai solidariti dengan warga Palestin di Gaza, di mana militan Hamas berperang dengan Israel selama lebih tiga bulan.

Sekitar 12 peratus daripada perdagangan global biasanya melalui Selat Bab al-Mandeb, pintu masuk Laut Merah, yang terletak antara barat daya Yaman dan Djibouti. Walau bagaimanapun, serangan pemberontak Houthi itu telah menyebabkan banyak perkapalan perlu menukar laluan perjalanan beribu kilometer lebih jauh mengelilingi Afrika.

Serangan oleh dan terhadap Houthi telah menimbulkan kebimbangan mengenai meluasnya keganasan di Timur Tengah itu berikutan perang Israel-Hamas.

Kebakaran kapal di Sri Lanka

Carian imej terbalik di Google menggunakan keyframe daripada video itu mendapati rakaman itu dikongsi pada saluran YouTube milik Tentera Udara Sri Lanka pada 25 Mei 2021 (pautan arkib).

"Rakaman terkini video dari kapal X-PRESS PEARL yang sedang terbakar," tulis keterangan video YouTube itu.

Video dalam siaran palsu itu adalah versi yang dibalik bermula pada saat ke-34 ke atas dalam siaran YouTube Tentera Udara Sri Lanka itu. 

Adegan yang ditampilkan dalam video palsu bermula pada saat ke-30 pada video tulen dari Tentera Udara Sri Lanka. Namun, tampilan video tulen dibalik bermula dalam video palsu. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video palsu (kiri) dan video tulen tahun 2021 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video palsu (kiri) dan video tulen tahun 2021 (kanan)

Video Tentera Udara Sri Lanka juga muncul dalam laporan video AFP tentang bencana tersebut (pautan arkib). 

Pada 20 Mei 2021, kapal kargo X-Press Pearl melaporkan kebocoran bahan kimia berlaku di atas kapal dan terbakar tidak lama selepas itu ketika dalam pelayaran memasuki pelabuhan Colombo dari Gujarat, India.

Kapal berbendera Singapura itu membawa 25 tan asid nitrik dan bahan kimia lain, serta 28 kontena bahan mentah plastik, yang kebanyakannya jatuh ke dalam laut.

Api berjaya dipadamkan selepas 13 hari operasi antarabangsa itu dijalankan.

Para aktivis alam Sri Lanka menyifatkannya sebagai "bencana laut paling teruk" dalam sejarah negara tersebut.

AFP Semakan Fakta sebelum ini telah menafikan dakwaan palsu berbeza tentang serangan Houthi ke atas kapal Amerika serta tentang serangan AS dan UK ke atas Yaman.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami