Ini video pembunuhan beramai-ramai di Syria pada 2013, bukan 'askar Israel tembak mati rakyat Palestin'

Perang Israel-Hamas yang bermula pada 7 Oktober 2023 telah mencetuskan gelombang maklumat yang salah. Ini termasuk siaran media sosial yang berkongsi video dengan dakwaan palsu bahawa video itu menunjukkan askar Israel membunuh rakyat Palestin dan membuang mayat mereka ke dalam lubang yang telah digali. Video itu sebenarnya diambil pada 2013 dan menunjukkan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Syria di pinggir bandar Damsyik.

Peringatan: video mengandungi imej keganasan

Video itu telah dikongsi oleh seorang pengguna Facebook di Malaysia pada 30 Oktober 2023, di mana rakaman itu telah ditonton lebih daripada 30 kali.

Video berdurasi enam minit dan 43 saat itu menunjukkan sebilangan orang berpakaian askar memimpin beberapa orang berpakaian awam, kemudian menembak mereka dan mencampakkan mereka ke dalam lubang yang telah digali.

Sebahagian keterangan catatan berbunyi: "Video ini tidak di inginkan tersebar di medsos oleh pemerintah israel,mereka menggali lobang yg dibawahnya dimasukan ban bekas terlebih dahulu lalu satu persatu masarakat palestina dimasukan kedalam lobang tersebut d\n ditembak mati.. Setelah itu dibakar sampai habis bagai debu tak tersisa....agar tak ada bukti atas kekejaman bangsa israel.  . Oleh sebab itu sebarkan ke semua group..._* *VIRAL KAN...!!!*".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 6 April 2024

Siaran itu dimuat naikkan kurang daripada sebulan selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, menyebabkan lebih 1,160 orang terkorban, majoritinya orang awam, menurut angka rasmi Israel.

Israel bertindak balas dengan mengebom Semenanjung Gaza tanpa henti. Sehingga 7 April 2024, serangan Israel telah membunuh lebih 33,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas itu.

Video yang sama telah ditonton lebih daripada 2,700 kali selepas muncul dengan tuntutan serupa di Facebook di sini, di sini, di sini, serta di Instagram. Rakaman lebih pendek dikongsi dengan dakwaan serupa di X, sebelumnya bernama Twitter. 

Siaran itu juga diedarkan dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa Indonesia

Bagaimanapun, video itu dirakam di Syria kira-kira 10 tahun sebelum siaran sesat itu tersebar.

Pembunuhan beramai-ramai di Syria

Carian imej terbalik menggunakan tangkapan skrin daripada video menemui laporan berita yang diterbitkan oleh The Guardian pada 27 April 2022 (pautan arkib).

Terjemahan tajuk rencana akhbar British itu ialah: "Pembunuhan beramai-ramai Tadamon: bagaimana dua ahli akademik memburu jenayah perang Syria".

Berikut ialah tangkapan skrin laporan berita The Guardian:

Image
Tangkapan skrin laporan berita The Guardian

Menurut artikel tersebut, video pembunuhan beramai-ramai 41 lelaki di Tadamon, pinggir bandar Damsyik, ibu negara Syria, bertarikh 16 April 2013 (pautan arkib).

Rakaman video itu pada asalnya ditemui oleh seseorang yang hanya menyertai militia setia kerajaan Syria pada 2019. Dia diberikan komputer riba yang pernah menjadi milik salah satu unit keselamatan Presiden Bashar al-Assad.

"Perasaan loya dirasai oleh ahli baharu itu, yang segera memutuskan bahawa rakaman itu perlu dilihat di tempat lain," kata laporan The Guardian.

Anggota militia kemudian membocorkan rakaman itu kepada dua penyelidik pembunuhan beramai-ramai di Universiti Amsterdam.

Laporan The Guardian menyiarkan rakaman video pembunuhan besar-besaran itu dan menerbitkan beberapa tangkapan skrin daripada video tersebut.

Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan foto daripada The Guardian (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan foto daripada The Guardian (kanan)

Perang saudara di Syria mulai pada tahun 2011, selepas penindasan kejam protes pro-demokrasi yang tercetus oleh gerakan Arab Spring. Konflik ini telah meragut lebih 500,000 nyawa dan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal.

AFP sebelum ini membongkar siaran palsu yang menggunakan video ini, yang didakwa sebagai rakaman kontraktor bangunan yang dibunuh kerajaan Turki selepas gempa bumi Februari 2023.

Laporan AFP Semakan Fakta berkenaan konflik Israel-Palestin boleh dibaca di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami