Ini imej hari tentera Iran pada 2019, bukan 'trak Iran bawa senjata ke Syria pada 2024'

Di tengah-tengah kebimbangan konflik Timur Tengah yang semakin meluas akibat ketegangan antara Israel dan Iran yang semakin memuncak, satu imej tersebar dengan dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan trak tentera Iran membawa senjata ke Syria pada April 2024. Foto itu sebenarnya diambil semasa sambutan Hari Tentera Nasional di Tehran pada tahun 2019.

"Menurut media Israel, trak Iran terus menyeberangi sempadan dari Iraq dan Syria dengan membawa pelbagai jenis senjata," tulis kapsyen catatan Telegram ini pada 5 April 2024.

Siaran itu memuat naikkan sebuah gambar kenderaan tentera membawa artileri berat dan telah dilihat lebih daripada 9,400 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 15 April 2024

Imej sama juga beredar dengan dakwaan serupa dalam catatan Telegram lainnya, serta di Instagram dan Facebook di sini, di sini dan di sini

Siaran serupa juga muncul dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia.

Catatan itu beredar beberapa hari setelah serangan atas bangunan konsulat kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April 2024. Iran dan Syria menuduh Israel melakukan serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang, termasuk tujuh anggota elit tentera Iran. Israel tidak mengesahkan penglibatannya walau dipercayai oleh banyak negara, termasuk sekutunya sendiri, bertanggungjawab atas serangan itu.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berikrar untuk membalas dendam. Ini meningkatkan kebimbangan bahawa konflik Timur Tengah akan semakin meluas ketika perang di Semenanjung Gaza berlangsung lebih dari setengah tahun.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa gambar itu menunjukkan kenderaan tentera Iran yang mengangkut senjata berat ke Syria adalah palsu.

Carian imej terbalik menemui foto asal diterbitkan oleh European Pressphoto Agency (EPA), agensi gambar dengan ibu pejabat di Frankfurt (pautan arkib).

Menurut kapsyen imej, foto itu diambil ketika "sambutan Hari Tentara Nasional di Tehran" pada 18 April 2019 oleh seorang jurugambar bernama Abedin Taherkenareh. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej pada catatan palsu (kiri) dan gambar asli dari EPA (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej pada catatan palsu (kiri) dan gambar asli dari EPA (kanan)

Gambar AFP juga menampilkan konvoi trak tentera Iran di Tehran pada hari yang sama. 

Image
Kenderaan tentera Iran semasa majlis Hari Tentera Nasional di Tehran pada 18 April 2019 (AFP)

AFP Semakan Fakta telah menafikan maklumat salah lain mengenai konflik Israel-Palestin di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami