Ini video serangan roket di Israel pada 2023, bukan serangan 'dron Iran pada 2024'

Selepas Iran melancarkan serangan langsung pertamanya ke atas Israel pada April 2024, beredar sebuah video dengan dakwaan palsu bahawa itu rakaman orang cuba berlindung yang diambil waktu serangan dron Iran. Walau bagaimanapun, seperti kebanyakan visual lain yang disiarkan dalam talian, video itu tiada kaitan dengan serangan bulan April 2024. Rakaman itu sudah beredar sekurang-kurangnya sejak bulan Julai 2023.

"Kumpulan pertama dron Iran tiba di wilayah haram Israel," bunyi kapsyen siaran Telegram bertarikh 14 April 2024 ini.

Video yang menunjukkan orang-orang berlari dan berlindung di balik pagar itu telah ditonton lebih daripada 12,100 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Telegram, diambil pada 22 April 2024

Video berdurasi 18 saat itu telah ditonton lebih 1.8 juta kali selepas juga beredar dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini

Siaran serupa beredar dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Siaran itu muncul susulan serangan Tehran ke atas Israel pada 13 April 2024, sebagai tindakan balas terhadap serangan maut kepada gedung konsular kedutaan Iran di Damsyik, ibu negara Syria, pada 1 April 2024, yang dipercayai dilakukan Israel. 

Serangan berturut-turut ini makin meningkatkan ketegangan di Timur Tengah lebih daripada enam bulan sejak bermulanya perang antara Israel dan Hamas.

Dalam serangan langsung pertama terhadap musuh ketatnya itu, Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu, yang ditembak oleh Israel dengan bantuan Amerika Syarikat dan sekutunya dari Eropah.

Penduduk di bandar Baitulmaqdis berlindung ketika siren berbunyi dan letupan menerangi langit.

Walau bagaimanapun, klip yang tersebar dalam talian itu tidak berkaitan.

Hasil carian imej terbalik menggunakan keyframe daripada video mendapati klip tersebut sebelum ini disiarkan dalam talian sekurang-kurangnya sejak 4 Julai 2023, apabila ia disiarkan di TikTok dan X (pautan arkib ini dan ini).

Menurut siaran-siaran terbabit, video menunjukkan kejadian itu berlaku di Sderot, sebuah bandar di Israel yang berhampiran dengan Gaza.

AFP berjaya geolokasi di mana rakaman itu diambil, dan menemui sebuah stesen minyak dan pusat beli-belah yang terletak berhampiran dengan jalan utama di bandar itu (pautan arkib iniini dan ini).

Berikut perbandingan tangkapan skrin video di siaran palsu (kiri) dan imej dari Google Maps (kanan): 

Image
Perbandingan tangkapan skrin video di siaran palsu (kiri) dan imej dari Google Maps (kanan)

Pada 4 Julai 2023, tentera Israel berkata bahawa sebanyak lima roket ditembak ke Israel dari Gaza tetapi "berjaya dipintas" dan bahawa siren telah dibunyikan di Sderot.

Tembakan roket berlaku selepas tentera Israel melancarkan operasi besar-besaran di Tebing Barat, mengakibatkan kematian 12 warga Palestin dan seorang askar Israel.

AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai serangan Iran ke Israel di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami