Imej stadium bola sepak pencakar langit ini hasil janaan AI
- Diterbitkan pada hari 10/11/2025 jam 09:42
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Déborah CLAUDE, AFP Perancis
- Terjemahan dan adaptasi Dene-Hern CHEN , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Arab Saudi, tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034, mendedahkan rancangan untuk membina arena bola sepak di atas sebuah kompleks hartanah bandar mega. Namun, imej yang kononnya menggambarkan rancangan negara itu untuk membina "stadium langit" pertama di dunia adalah janaan kecerdasan buatan (AI). Pencipta visual itu berkata ia dijana AI, manakala sumber memberitahu AFP reka bentuk "stadium langit" adalah "sepenuhnya palsu".
"Stadium langit yang pertama di dunia dengan ketinggian 1,15O kaki di udara. Ni kalau bola jatuh siapa nak kutipp?" bunyi kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 22 Oktober 2025.
Imej pada siaran itu menunjukkan sebuah struktur bangunan pencakar langit yang mempunyai sebuah stadium bola sepak pada puncaknya. Teks pada gambar itu berbunyi: "SUKAN: ARAB SAUDI RANCANG BINA 'SKY STADIUM' UNTUK PIALA DUNIA 2034."
Beberapa kumpulan peminat sukan di Facebook Australia -- serta saluran berita arus perdana -- berkongsi dakwaan palsu itu, manakala yang lain menerbitkan satu video menunjukkan pergerakan kamera mengelilingi menara yang bentuknya menyerupai trofi Piala Dunia itu.
Dakwaan salah itu telah tersebar luas di seluruh dunia dalam pelbagai bahasa dan platform termasuk TikTok dan X.
Rancangan pembinaan stadium bertingkat di Arab Saudi memang wujud -- dipanggil stadium NEOM, dimana ia akan terletak di atas bumbung bandar baharu futuristik yang dirancang dengan nama sama yang merupakan cetusan idea pemerintah de facto Putera Mahkota Mohammed bin Salman (pautan arkib).
Bandar mega Laut Merah bernilai AS$500 bilion itu, yang menampilkan bangunan pencakar langit bersarungkan cermin sepanjang 170 kilometer (lebih 100 batu) merentasi padang pasir, merupakan tunjang kepada impian Arab Saudi untuk menjadi sebuah destinasi budaya dan sukan utama (pautan arkib).
Kerajaan itu -- satu-satunya pembida untuk Piala Dunia 2034 -- kini mempunyai kurang daripada sedekad untuk menyiapkan projek infrastruktur utama, termasuk lebih daripada sedozen stadium bola sepak yang mampu menempatkan 48 pasukan bola sepak serta ratusan ribu peminat yang akan berduyun-duyun ke negara itu menyaksikan perlawanan.
'Rekaan sepenuhnya'
Tetapi imej yang tersebar luas mengenai stadium bola sepak di atas bangunan pencakar langit itu bukanlah konsep reka bentuk stadium baharu tersebut, menurut sumber yang rapat dengan isu itu.
"Ia hanya rekaan sepenuhnya dan tidak mempunyai sebarang persamaan dengan apa yang dirancang oleh Arab Saudi," sumber yang tidak mahu dinamakan kerana sensitiviti projek itu memberitahu AFP pada 29 Oktober.
"Ia tidak muncul dalam mana-mana sumber rasmi."
Selain itu, AFP tidak dapat mengesan reka bentuk sedemikian daripada akaun rasmi X, Neom, serta pada bidaan Arab Saudi untuk Piala Dunia 2034 (pautan arkib di sini dan di sini).
'Konsep AI'
Carian kata kunci di TikTok mendapati satu video yang menunjukkan visual serupa dengan siaran palsu itu, dikongsi oleh akaun bernama @hyporaultraworks (pautan arkib di sini dan di sini).
Akaun itu memuat naik visual-visual yang dihasilkan oleh AI bagi bandar, bangunan dan jambatan yang kelihatan futuristik. Maklumat pada bio akaun itu berbunyi: "Masa depan, bayangan dan menjadi kenyataan".
Pencipta kandungan itu turut memuat naik klip yang sama di akaun Facebook dan Instagram. Siaran Instagram itu telah menerima lebih daripada 1.1 juta tanda suka (pautan arkib di sini dan di sini).
Kapsyen video pada kedua-dua platform itu berbunyi, "Sebuah pesawat melalui ruang udara reka bentuk stadium pencakar langit", manakala video pada TikTok dilabelkan sebagai "janaan AI".
"Apa yang bermula sebagai konsep AI telah tersebar luas -- selepas lebih 50 juta tontonan, reka bentuk 'Sky Stadium' kami telah menjadi fenomena global," tulisnya di akaun Facebook, menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang mana-mana projek di Arab Saudi ketika dia menghasilkan video itu.
Sebuah artikel Daily Mail mengenal pasti pencipta video itu sebagai Liam Hawes berusia 34 tahun dan tinggal di Britain (pautan arkib).
Hawes mengesahkan kepada AFP pada 31 Oktober bahawa dia adalah pencipta video itu dan menambah dia telah ditemu bual oleh Daily Mail.
AFP sebelum ini telah menyemak fakta beberapa dakwaan yang menyiarkan kandungan janaan AI.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami