Imej AI disalah siar sebagai kerosakan taufan di bandar pesisir di Jamaica

Gambar kerosakan akibat Taufan Melissa -- termasuk bangunan yang musnah menjadi runtuhan, jalan-jalan yang dipenuhi serpihan, dan seluruh kawasan kejiranan yang tenggelam dalam banjir --  telah tersebar dalam talian selepas ia melanda Jamaica pada bulan Oktober. Namun, satu imej yang tersebar di media sosial dengan dakwaan ia menunjukkan garis pantai Jamaica selepas dilanda taufan Kategori 5 itu sebenarnya dihasilkan dengan kecerdasan buatan (AI).

"BLACK RIVER, JAMAICA: KEHIDUPAN SEBELUM & SELEPAS TAUFAN MELISSA," bunyi siaran Facebook pada 31 Oktober 2025. 

Imej yang disertakan memaparkan perbandingan pandangan udara kawasan pantai, dengan imej atas menunjukkan rumah-rumah yang dikelilingi oleh lautan biru, manakala imej bawah menunjukkan air berlumpur dan rumah-rumah yang musnah.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 10 November 2025

Taufan Melissa merupakan ribut paling kuat yang melanda Jamaica dalam tempoh 90 tahun apabila ia membadai negara Caribbean itu pada 28 Oktober sebagai taufan Kategori 5 dengan kelajuan angin mencecah 300 kilometer (185 batu) sejam (pautan arkib).

AFP telah mengedarkan gambar-gambar yang menunjukkan jalan-jalan yang banjir dan bangunan yang runtuh selepas ribut berlalu.

Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh di negara itu -- angka korban yang agak rendah hasil daripada perancangan bencana, termasuk pemindahan besar-besaran dan bantuan yang telah disediakan lebih awal, menurut Palang Merah (pautan arkib).

Dakwaan serupa menggunakan imej yang sama turut dikongsi dalam bahasa Inggeris, Yunani, Portugis, Sepanyol dan Thai.

Image
Infografik dengan peta bahagian barat Jamaica yang menunjukkan paras banjir akibat Taufan Melissa, yang melanda sebagai taufan Kategori 5 pada 28 Oktober, berdasarkan analisis satelit daripada Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan Copernicus pada 29 Oktober.

Namun, carian imej terbalik mendapati bahawa Google telah menandakan visual tersebut sebagai "Dihasilkan dengan Google AI".

Jurucakap syarikat teknologi itu sebelum ini berkata bahawa apabila tera air SynthID dikesan, ia mengesahkan bahawa "imej tersebut telah dijana atau diubah suai dengan AI" (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin daripada Google Images, dengan label AI yang diserlahkan oleh AFP

Carian kata kunci lanjut di Google mendapati imej itu telah dimuat naik ke akaun Facebook milik "Joemar Sombero" pada 30 Oktober (pautan arkib).

Sebahagian kapsyen siaran itu berbunyi: "Black River, Jamaica -- musnah akibat Taufan Melissa", tetapi kemudian menyatakan bahawa ia mengandungi visual yang dihasilkan dengan AI.

Akaun tersebut berulang kali memuat naik imej lain berkaitan bencana alam, dengan label yang menyatakan ia adalah rekaan semata-mata.

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan image yang dimuat naik oleh Sombero

Carian seterusnya menggunakan pandangan satelit Google Maps bagi Black River, Jamaica, menunjukkan topografi yang berbeza daripada imej yang tersebar (pautan arkib).

Apabila dibandingkan dengan imej dijana oleh AI, gambar satelit menunjukkan bahawa terdapat sedikit atau tiada pembangunan di bahagian kanan bandar pantai itu, manakala bahagian kiri kelihatan lebih dibangunkan.

Sungai yang memisahkan kedua-dua bahagian juga kelihatan lebih lurus dan sempit berbanding sungai berliku dalam imej rekaan tersebut.

Walaupun AI generatif berkembang pesat, kesilapan masih wujud dalam kandungan yang dijana oleh AI. Kesilapan ini menjadi petunjuk paling jelas bahawa imej tersebut adalah rekaan.

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara imej pandangan satelit Google Maps (kiri) dan imej yang dijana oleh AI, dengan perbezaan visual yang diserlahkan oleh AFP

AFP telah menafikan maklumat palsu lain berkaitan Taufan Melissa di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami