
Video 'anaconda gergasi' dijana AI
- Diterbitkan pada hari 28/05/2025 jam 05:39
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Colombia
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Anaconda gergasi muncul di Sungai Amazon saiznya buat sungai nampak kecil! Rakaman paling jelas & jarang jumpa," bunyi siaran Facebook pada 10 Mei 2025 yang telah ditonton lebih daripada 2 juta kali.
Video itu kelihatan seperti rakaman udara seekor ular besar yang merayap di permukaan sungai.

Klip yang sama turut disiarkan di sini dan di sini. Ia juga dikongsi dalam bahasa Sepanyol, Inggeris , Burma, Indonesia, Korea, Hindi, Bengali, Turki, Portugis, dan Russia dan telah ditonton berjuta kali.
Namun, video itu mengandungi ciri-ciri visual yang tidak konsisten, menunjukkan ia adalah rekaan.
Carian imej terbalik di Google membawa kepada siaran serupa di Instagram pada 8 Mei dengan hashtag "AI" di kapsyenya (pautan arkib). Siaran itu juga merujuk kepada dua program kecerdasan buatan -- Pollo dan Kling (pautan arkib di sini dan di sini).
Akaun itu turut berkongsi lebih banyak video anaconda gergasi yang dijana AI dalam siaran lain (pautan arkib di sini dan di sini).

Walaupun teknologi kecerdasan buatan makin berkembang, kandungan yang dijana menggunakan AI masih tidak sempurna dari segi visual. Ini boleh digunakan untuk mengenalpasti klip dan imej yang dijana AI.
Jika dilihat dengan teliti, imej ular dalam klip palsu itu kelihatan mempunyai dua kepala manakala skrin kamera pula menunjukkan imej berbeza.

Fernando Ignacio Ortiz, pakar ekologi dan profesor di University of the Amazon in Colombia berkata anaconda tidak dapat berenang di permukaan air kerana badannya yang terlalu berat (pautan arkib).
"Ia sentiasa berada di dalam air apabila berenang," katanya kepada AFP.
Diego Huseth Ruiz, pakar reptilia dan amfibia dari institusi yang sama, berkata anaconda selalunya dikaitkan dengan diameter badan dan bukan badan yang panjang seperti yang dilihat dalam siaran palsu (pautan arkib).
“Ular dalam video itu kelihatan sekurang-kurangnya 20 meter panjang,” katanya. "Ular sebesar itu tidak dapat bergerak laju seperti dalam rakaman."
Anaconda hijau merupakan ular terbesar di dunia dan boleh membesar sehingga sembilan meter panjang, berukuran antara 50 dan 60 sentimeter diameter, dan berat sehingga 250 kilogram (pautan arkib di sini dan di sini).
AFP sebelum ini pernah menafikan imej haiwan janaan AI termasuk belalang teratai, axolotl, dan udang galah gergasi.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami