
Video latihan tentera disalah tafsir sebagai bantuan China ke Gaza
- Diterbitkan pada hari 29/05/2025 jam 10:05
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Thailand
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Bantuan kemanusiaan," bunyi siaran Facebook pada 15 Mei 2025 yang telah ditonton lebih sejuta kali.
Teks pelekat pada video itu pula memuji China menghantar bekalan ke Gaza walaupun "tidak seiman atau seagama".
Video itu menunjukkan pesawat tentera yang diiring jet pejuang terbang melintasi piramid Giza.

Video itu tular ketika warga Palestin terdesak mencari makanan dan bekalan asas selepas Israel mengenakan sekatan penuh bermula 2 Mac.
Tentera Israel memperluas operasi darat di Gaza pada 18 Mac selepas rundingan gencatan senjata tergendala. Pada 19 Mei, ia membenarkan sembilan trak membawa bekalan asas memasuki Gaza, namun kumpulan kemanusiaan berkata bekalan itu tidak mencukupi (pautan arkib di sini dan di sini).
Siaran palsu itu tular di Facebook dan Instagram. Ia juga dikongsi dalam bahasa Burma dan Cina.
China menghantar bantuan kemanusian ke Gaza melalui Mesir pada Mac 2024, namun video yang tular sekarang tidak kena mengena (pautan arkib).
Klip itu sebenarnya menunjukkan latihan bersama antara tentera China dan Mesir yang berlangsung dari April ke Mei 2025.
Carian imej terbalik dan carian kata kunci di Google membawa kepada siaran Instagram yang dikongsi pada 17 Mei (pautan arkib).

Rakaman itu dimuat naik oleh akaun yang menyiarkan pelbagai klip latihan ketenteraan dan pertunjukan udara.
"Buat pertama kalinya jet pejuang China dan Mesir menunjukkan kekuatan ketenteraan ketika latihan bersama Eagles of Civilization 2025. Diadakan di Mesir dari 19 April hingga 4 Mei, latihan ini menampilkan jet J-10C dari China, pesawat pemantau KJ-500, dan pesawat tangki minyak YU-20," bunyi kapsyen siaran tersebut.
Carian kata kunci lanjut di Google membawa kepada siaran Facebook yang dikongsi oleh Perkhidmatan Maklumat Mesir (SIS) pada 17 Mei yang yang memperincikan latihan tersebut (pautan arkib).

SIS berkata di laman sesawangnya latihan ketenteraan itu berjalan pada bulan April dan berterusan untuk beberapa hari (pautan arkib).
Kementerian Pertahanan China juga mengeluarkan kenyataan selepas latihan tersebut tamat pada 8 Mei. Ia juga berkongsi video yang menunjukkan pesawat tentera negara itu terbang melintasi piramid Giza (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami