Klip lama dikongsi sebagai 'China hantar bekalan ke Gaza'

Video lama yang menunjukkan bantuan asas dihantar ke Gaza tular di media sosial dengan dakwaan salah ia menunjukkan bekalan yang dihantar oleh China. Namun, media China melaporkan bantuan daripada negara itu kali terakhir dihantar pada bulan Februari manakala video yang tular telah disiarkan sejak September 2024.

"Bantuan China tiba di bumi Palestine. china tegas pertahankan palestine bukan untuk kepentingan politik," bunyi siaran TikTok pada 15 Mei 2025.

Teks pelekat pada video yang menunjukkan orang ramai berlari mengejar bekalan yang dihantar menggunakan payung terjun berkata: "China lantang menyuarakan & mempertahankan Palestine". 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 3 Jun 2025

Video itu tular ketika warga Palestin terdesak mencari makanan dan bekalan asas selepas Israel mengenakan sekatan penuh bermula 2 Mac.

Tentera Israel memperluas operasi darat di Gaza pada 18 Mac selepas rundingan gencatan senjata tergendala. Pada 19 Mei, ia membenarkan sembilan trak membawa bekalan asas memasuki Gaza, namun kumpulan kemanusiaan berkata bekalan itu tidak mencukupi (pautan arkib di sini dan di sini). 

Kesatuan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan keadaan di Gaza sebagai "tempat paling kebuluran di dunia" dan berisiko berdepan 100% kebuluran (pautan arkib). 

Siaran palsu juga disiarkan di Facebook dan dalam siaran bahasa Cina, Inggeris dan Hindi

Bagaimanapun, penghantaran terakhir bantuan kemanusiaan China ke Gaza mendahului sekatan Israel. Ia dihantar dari Jordan melalui pelabuhan darat pada 18 Februari (pautan arkib).

Pengumuman dari kerajaan China juga tak pernah menyebut bekalan bantuan negara itu dihantar menggunakan payung terjun (archived here, here and here).

Klip yang tular itu sebenarnya mula dikongsi beberapa bulan sebelum sekatan dikenakan terhadap Gaza. 

Carian imej terbalik membawa kepada video TikTok yang disiarkan oleh pengguna TikTok Palestin yang merayu untuk bekalan makanan pada 16 September 2024 (pautan arkib). 

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan video TikTok yang disiarkan pada 2024

AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas bila video itu dirakamkan tetapi ia sepadan dengan klip yang disiarkan oleh laporan media berkenaan batuan daripada Amerika Syarikat yang digugarkan ke Gaza pada Mac 2024 (pautan arkib).  

Laporan daripada organisasi media Turki Yeni Safak pada 26 Mei 2024 menampilkan visual yang menunjukkan menara yang sama dilihat dalam video yang tular (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran TikTok (kiri) dan laporan berita Turki

AFP telah menafikan siaran palsu lain yang mengatakan China menghantar bantuan ke Gaza di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami