Kenyataan palsu PDRM mengenai operasi antirasuah kelirukan orang ramai
- Diterbitkan pada hari 13/08/2026 jam 04:14
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi MAMAT, AFP Malaysia
Kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengambil tindakan tegas terhadap kes rasuah di negara ini. Namun, satu siaran yang mendakwa polis akan melancarkan operasi khas untuk menahan individu yang terlibat dalam jenayah rasuah didapati menggunakan kenyataan dan imej palsu. Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa siaran tersebut tidak benar dan telah menyalahgunakan identiti Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara. AFP turut mendapati imej berkenaan dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI), Gemini.
"'Operasi Cantas Integriti': Kerat Dari Atas Sampai Bawah! Mulai hari ini, amaran saya sangat jelas dan muktamad: Tiada Lagi Kompromi: Kami akan memotong dan mencantas mana-mana individu yang terlibat dalam rantaian rasuah bermula dari jawatan yang paling tinggi di dalam pentadbiran negara, sehinggalah ke jawatan paling bawah di jalanan," bunyi sebahagian kapsyen siaran Facebook dikongsi pada 9 Ogos 2026.
Siaran itu berkongsi kenyataan didakwa dibuat oleh Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Ibrahim Darus dalam satu sidang media yang memberi amaran kepada ahli politik dan orang ramai bahawa pihak polis tidak akan memandang ringan isu rasuah.
Gambar yang dikongsi bersama kenyataan itu memaparkan Ibrahim berucap di hadapan podium yang berserta logo PDRM dengan kamera-kamera tertumpu ke arahnya.
Sejak memegang jawatan pada 2022, kerajaan pimpinan Anwar telah menerajui usaha membanteras rasuah yang diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak polis dan pihak berkuasa lain (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).
Dua bekas perdana menteri, seorang bekas menteri kewangan, serta pegawai kanan kerajaan telah didakwa oleh pihak pendakwa raya atas tuduhan rasuah (pautan arkib di sini dan di sini).
SPRM melaporkan jumlah sitaan dan pemulihan aset bagi kes rasuah berjumlah lebih RM8.5 bilion (AS$2.05 bilion) pada 2025.
Siaran sama yang mendakwa pihak polis mengadakan sidang akhbar khas di Bukit Aman bagi mengumumkan operasi tersebut turut tersebar di akaun Facebook lain dan komen pengguna menunjukkan mereka percaya imej serta kenyataan itu dikeluarkan oleh PDRM.
"Itu lah yang rakyat harapkan," tulis seorang pengguna, sementara seorang lagi pengguna berkata: "Semoga apa yang diucap dapat dikotakan".
Namun, imej dan kenyataan itu adalah rekaan.
Tera air berbentuk kilauan bagi alat AI Google, Gemini, boleh dilihat pada sudut kanan bawah imej tersebut. Anomali visual seperti kedudukan janggal podium dan mikrofon, jurukamera serta tangan yang herot -- semuanya menunjukkan bahawa imej itu dijana AI.
Alat pengesan AI, SynthID juga telah menandakan imej tersebut dihasilkan menggunakan model AI syarikat berkenaan.
Carian kata kunci di Google menemui satu kenyataan dikongsi di akaun Facebook rasmi PDRM pada 9 Ogos, yang memberi amaran kepada orang ramai bahawa kenyataan dan imej itu adalah palsu serta menegaskan bahawa tiada sidang akhbar atau kenyataan sedemikian pernah dibuat (pautan arkib).
"Kandungan yang disebarkan telah menggunakan imej dan identiti palsu serta kedudukan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara bagi mewujudkan gambaran seolah-olah kenyataan tersebut merupakan pendirian rasmi PDRM. Perbuatan sedemikian berpotensi mengelirukan masyarakat, mencetuskan salah faham serta menjejaskan kredibiliti individu dan institusi PDRM," katanya.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.
AFP sebelum ini menyangkal dakwaan palsu lain yang menyamar sebagai pihak berkuasa dan agensi kerajaan.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami