Imej pemimpin tertinggi Iran tertimbus runtuhan dijana AI
- Diterbitkan pada hari 04/03/2026 jam 09:48
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Pemimpin tertinggi Iran terbunuh dalam serangan bersama Amerika Syarikat-Israel yang bermula pada 28 Februari 2026, tetapi imej yang kononnya menunjukkan mayat Ayatollah Ali Khamenei tertimbus bawah runtuhan dijana kecerdasan buatan (AI). Imej-imej itu yang tular selepas kematian pemimpin republik Islam itu, mengandungi tanda ralat pada visual yang menunjukkan kandungan sintetik dan ditanda sebagai kemungkinan dihasilkan dengan AI oleh alat pengesanan.
"Media antarabangsa mendedahkan foto mayat Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat dan sekutunya Israel pada Sabtu," bunyi kapsyen pada gambar dikongsi di Facebook pada 1 Mac 2026.
Imej itu, yang kelihatan menunjukkan Khamenei terbaring tidak bernyawa dan dikelilingi runtuhan konkrit, disiarkan bersama siaran berita Al Jazeera tentang kematian pemimpin itu (pautan arkib di sini dan di sini).
Imej serupa yang kelihatan menunjukkan pasukan penyelamat mengangkat runtuhan yang menghempap mayat Khamenei turut dikongsi pada hari yang sama dalam siaran X, yang berbunyi: "Iran mengeluarkan imej mayat Khamenei di bawah runtuhan."
Imej itu turut dikongsi dalam siaran YouTube dan X dalam pelbagai bahasa, beredar selepas media Iran mengesahkan kematian Khamenei susulan serangan AS dan Israel (pautan arkib).
Pengawal Revolusi Iran berikrar untuk melancarkan operasi "paling ganas" dalam sejarah terhadap pangkalan Israel dan AS, yang terletak di negara Teluk yang sudah mengira kos siri serangan maut Iran yang belum pernah berlaku sebelum ini (pautan arkib).
Iran pada mulanya membuat serangan balas terhadap serangan Israel-AS dengan peluru berpandu dan dron merentasi negara-negara Teluk, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang di Abu Dhabi dan seorang lagi di Tel Aviv, sebelum membuat serangan susulan selepas media kerajaan mengesahkan kematian Khamenei.
Tetapi tiada gambar rasmi mayat Khamenei telah dikeluarkan dan imej yang beredar dalam talian itu menunjukkan ia kemungkinan dijana AI.
Analisis pada imej pertama yang dikongsi secara salah itu, versi penuh yang turut diedarkan di Facebook, menunjukkan ia mengandungi logo "Meta AI".
Tangan dan jari Khamenei juga kelihatan tidak sempurna dan tidak sama bentuk -- salah satu tanda kandungan yang dijana AI (pautan arkib).
Analisis pada imej menggunakan alat pengesan AI, Vera.ai -- tersedia pada platform Verification Plugin -- menunjukkan kebarangkalian yang tinggi bahawa imej itu dijana AI (pautan arkib).
Analisis imej kedua yang dikongsi secara salah menggunakan pengesan video Hive Moderation AI juga mendapati ia "kemungkinan mengandungi kandungan yang dijana AI atau palsu tulen" (pautan arkib).
Pasukan penyelamat dalam imej yang dijana AI itu juga berbeza daripada apa yang dilihat dalam gambar-gambar tulen usaha menyelamat yang diambil oleh agensi berita Iran dan diedarkan oleh AFP.
AFP telah menafikan maklumat salah lain tentang konflik di Timur Tengah.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami