Imej kedutaan AS di Arab Saudi terbakar ini hasil janaan AI

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Riyadh diserang dua dron yang mencetuskan kebakaran kecil pada 3 Mac ketika Iran meneruskan serangan balas di rantau Teluk. Namun, imej tular yang kononnya menunjukkan bangunan itu terbakar selepas serangan dron sebenarnya dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI). Gambar yang diambil AFP selepas kebakaran hanya menunjukkan kerosakan kecil pada halaman kedutaan, manakala alat pengesan mengesahkan bahawa imej tular itu dihasilkan menggunakan alat AI Google.

"Asap naik dari Kedutaan AS di Riyadh akibat letupan besar. Kementerian Pertahanan Saudi mengumumkan bahawa Kedutaan AS di Riyadh telah diserang oleh dua dron Iran," bunyi kapsyen siaran Facebook dikongsi pada 3 Mac 2026. 

Gambar itu menunjukkan sebuah bangunan diselubungi api dan asap ketika anggota bomba cuba memadamkan kebakaran.

Siaran itu tersebar selepas seorang jurucakap kementerian pertahanan Arab Saudi berkata berlaku serangan dua dron ke atas kedutaan AS di Riyadh pada 3 Mac yang mencetuskan kebakaran kecil (pautan arkib). Pihak kedutaan kemudiannya mengesahkan serangan ke atas fasiliti itu dan menggesa orang ramai untuk menjauhkan diri dari kawasan terbabit.

Kejadian itu berlaku ketika Iran melancarkan serangan balas terhadap serangan bersama AS-Israel ke atas republik Islam itu yang membunuh pemimpin tertingginya Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Februari, dengan konflik itu turut berlarutan ke wilayah Teluk yang lain (pautan arkib).

Duta Iran ke Arab Saudi, bagaimanapun, menafikan bahawa negaranya telah menyasarkan kedutaan AS (pautan arkib). Alireza Enayati memberitahu AFP: "Kami mengesahkan bahawa Iran tidak mempunyai peranan dalam serangan ke atas kedutaan AS di Riyadh."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 12 Mac 2026 dengan X merah dan logo AI ditambah AFP

Imej sama turut dikongsi dalam siaran Facebook yang serupa serta dalam bahasa lain di platform X, termasuk bahasa Inggeris, Cina dan Hindi.

Amerika Syarikat mengarahkan kakitangan kedutaannya meninggalkan Arab Saudi pada 8 Mac susulan Iran melancarkan serangan ke atas negara itu sebagai serangan balas terhadap tindakan Washington dan Israel (pautan arkib). Selain kedutaan AS di Riyadh, dron juga telah menyebabkan kerosakan pada kedutaan AS di Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu.

Tetapi imej tersebar di media sosial itu tidak menunjukkan kerosakan yang disebabkan oleh serangan dron Iran ke atas kedutaan di Riyadh.

Gambar kedutaan yang diambil AFP selepas ia terkena serangan dron menunjukkan kerosakan yang sedikit pada kawasan itu, bertentangan dengan imej yang beredar menunjukkan keseluruhan fasiliti itu terbakar.

Image
Tangkapan skrin imej AFP, dengan tanda bulat pada tempat yang hangus terbakar

Imej satelit Google Maps turut menunjukkan susun atur perkarangan kedutaan AS berbeza dengan seperti digambarkan dalam gambar yang dikongsi secara salah itu (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej yang dijana AI (kiri) dan imej satelit Google Maps kedutaan AS di Riyadh

Analisis menggunakan pengesan SynthID Google -- dilancarkan oleh Google pada Mei 2025 untuk mengenal pasti kandungan janaan AI -- menunjukkan kebarangkalian yang "sangat tinggi" bahawa imej itu dihasilkan menggunakan alat AI milik syarikat itu (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin hasil daripada pengesan SynthID Google

AFP telah menafikan maklumat palsu lain yang muncul susulan konflik di Asia Barat. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami