Video 'deepfake' pemimpin negara jadi taktik 'scammer' tipu mangsa dengan bantuan Ramadan tidak wujud
- Diterbitkan pada hari 13/03/2026 jam 08:44
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi MAMAT, AFP Malaysia
Penipu dalam talian berulang kali menyasarkan orang ramai dengan skim bantuan palsu dan yang terbaharu menggunakan 'deepfake' anggota kerabat diraja serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk kononnya mempromosikan program "bantuan Ramadan". Siaran media sosial itu menjanjikan bayaran tunai yang besar, namun mangsa diminta membayar yuran pendaftaran selepas dihubungi. Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor telah menafikan dakwaan tersebut dan tiada laporan rasmi mengenai bantuan Ramadan dikeluarkan oleh kerabat diraja.
Menerusi satu video TikTok dikongsi pada 8 Mac 2026 menunjukkan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dilihat berkata: "Bulan suci Ramadan ini, saya umumkan bantuan bulan ni untuk semua warga agar bantuan ini boleh membantu warga agar boleh hidup sejahtera".
Akaun yang menerbitkan video itu -- kini telah dipadam -- menyertakan nombor WhatsApp dalam ruangan komen serta menggesa pengguna yang berminat untuk menghubungi talian itu untuk tujuan "pendaftaran".
Siaran lain yang kononnya menawarkan bantuan kewangan bersempena Ramadan turut membabitkan manipulasi pada wajah Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Anwar. Satu lagi siaran menunjukkan bekas presiden Singapura Halimah Yacob.
AFP menghubungi nombor WhatsApp itu dan dijanjikan bantuan tunai sebanyak RM50,000, namun sebaliknya diminta memberikan butiran peribadi dan yuran pendaftaran sebanyak RM200.
Setakat 13 Mac, AFP tidak menemui sebarang laporan yang boleh dipercayai atau pengumuman rasmi mengenai skim bantuan Ramadan ditawarkan oleh Agong, Raja Permaisuri Agong atau Raja-Raja Melayu lain.
Sementara itu, tanda-tanda visual dan audio yang tidak konsisten pada klip tersebut seperti kelipan mata dan pergerakan mulut yang janggal menunjukkan video wajah Raja Zarith Sofiah itu telah dimanipulasi menggunakan alat AI.
Analisis video dikongsi secara salah itu oleh pengesan video Hive Moderation AI mendapati ia "kemungkinan mengandungi kandungan yang dijana AI atau deepfake" (pautan arkib).
Carian imej terbalik dan carian kata kunci seterusnya di Google mendapati ia telah diubah menggunakan gambar Raja Permaisuri Agong yang dimuat naik ke halaman Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 25 Februari (pautan arkib).
Siaran itu mengenai Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama perdana menteri, Jemaah Menteri, ketua perwakilan asing dan pegawai kanan kerajaan. Ia tidak menyebut sebarang bantuan daripada ahli kerabat diraja itu.
Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor telah berulang kali mengeluarkan kenyataan memberi amaran tentang kewujudan video deepfake melibatkan Agong dan Raja Permaisuri Agong (pautan arkib di sini dan di sini).
Pada 20 Ogos, pejabat itu menafikan satu lagi video janaan AI yang sudah dipadam: "Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan akaun-akaun palsu ini yang sering digunakan oleh 'scammers' untuk tujuan penipuan di platform media sosial."
Istana Pahang juga mengeluarkan kenyataan pada Februari 2026 dengan memberi amaran terhadap penyalahgunaan rupa paras Sultan Abdullah untuk "tujuan penipuan dan memperdaya" (pautan arkib).
AFP sebelum ini menafikan video deepfake membabitkan tokoh-tokoh pemimpin dan pihak berkuasa yang memperdaya mangsa supaya membayar "yuran pendaftaran" untuk mendapatkan bantuan atau perkhidmatan yang tidak wujud.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami