Imej radar AS di Qatar dimusnahkan Iran sebenarnya dijana AI

Iran melancarkan serangan terhadap negara‑negara di rantau Teluk yang menempatkan pangkalan Amerika Syarikat sebagai tindak balas kepada serangan udara AS-Israel, dan imej satelit menunjukkan bahawa sebuah sistem radar penting di Qatar mungkin terjejas. Namun, gambar dramatik yang tular dalam talian kononnya menunjukkan struktur itu terbakar sebenarnya dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).

"Piramid radar yang disangka kebal dan kebanggaan Pentagon itu akhirnya berjaya dibom dan dirobek lompong," bunyi sebahagian siaran Facebook panjang yang dikongsi pada 4 Mac 2026.

Hantaran serupa tersebar luas di Facebook. Dakwaan itu turut tersebar dalam bahasa Romania, Poland dan Greek.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 10 Mac 2026 dengan logo AI ditambah AFP

Perang meletus di Timur Tengah susulan serangan AS dan Israel di Iran yang membunuh ketua tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei (pautan arkib).

Tehran membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS (pautan arkib). 

Namun gambar blok radar yang musnah itu tidak tulen. Imej berkenaan mula muncul seawal 28 Februari, beberapa hari sebelum Kementerian Pertahanan Qatar melaporkan serangan ke atas Pangkalan Udara Al-Udeid pada 3 Mac (pautan arkib).

AI dikesan

Alat pengesan AI InVID-WeVerify, Hive Moderation dan Image Whisperer mengklasifikasikan imej tersebut sebagai hampir pasti dihasilkan oleh kecerdasan buatan.

Image
Tangkapan skrin analisis alat pengesan AI InVID‑WeVerify diambil pada 6 Mac 2026, dengan label AI yang ditambah oleh AFP
Image
Tangkapan skrin alat pengesan AI Hive Moderation diambil pada 5 Mac 2026, dengan label AI yang ditambah oleh AFP

Imej itu juga mengandungi beberapa kejanggalan tipikal hasil ciptaan AI.

Tiada serpihan peluru berpandu kelihatan di kawasan sekeliling, dan asap pula mengepul dari belakang radar, bukan dari bahagian hadapan yang kononnya terkena serangan.

Image
Tangkapan skrin imej tular di Facebook yang menunjukkan visual tidak konsisten dengan label AI ditambah oleh AFP

Tiada persamaan dengan radar sebenar

Pemeriksaan lanjut terhadap ilustrasi yang dikeluarkan Tentera Udara Amerika Syarikat menunjukkan percanggahan antara radar AN/FPS-132 sebenar dan imej AI yang tular itu (pautan arkib).

Imej rasmi Tentera Udara menunjukkan bentuk bulat pada bahagian besar struktur, dihubungkan oleh bahagian segi tiga kosong. Sebaliknya, imej palsu itu memaparkan sisi berbentuk oktagon dan trapezoid.

Image
Imej rasmi Tentera Udara menunjukkan bahagian utama struktur itu mempunyai permukaan bulat yang disambungkan oleh sisi segi tiga kosong

Lokasi serangan

AFP berjaya mengenal pasti lokasi radar amaran awal yang disebut dalam hantaran tersebut dan menemukan bukti bahawa ia mungkin terkesan oleh serangan.

Imej satelit Google Maps menunjukkan sebuah kemudahan radar kira-kira 95 kilometer di utara Pangkalan Udara Al-Udeid, menandakan ia terletak berasingan daripada pangkalan tentera itu.

Imej satelit beresolusi tinggi bertarikh 3 Mac, dirakam Planet Labs dan diberikan kepada AFP, turut menunjukkan instalasi itu berada di utara Al-Udeid.

Imej tersebut menunjukkan dua tompokan gelap berhampiran tapak tersebut. Visual itu juga memaparkan dua bahagian pada radar yang berkemungkinan menunjukkan kesan hentaman.

Image
Imej satelit diambil pada 3 Mac 2026 yang menunjukkan kemudahan radar di utara Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar. Tompokan gelap yang ditanda merah oleh AFP, kelihatan berhampiran tapak (kiri) dan berhampiran radar, mungkin menunjukkan kerosakan akibat serangan. (© 2026 Planet Labs PBC / AFP)

Imej beresolusi tinggi yang dirakam lebih awal pada 19 Oktober 2025 tidak menunjukkan sebarang tompokan gelap pada permukaan radar.

Image
Imej satelit diambil pada 19 Oktober 2025 (kiri) dan 3 Mac 2026 menunjukkan kemudahan radar di utara Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar (© 2026 PLANET LABS PBC / AFP)

Analisis imej satelit oleh beberapa media turut meneliti kemungkinan kerosakan di Al-Udeid dan pangkalan AS lain di rantau itu (pautan arkib).

Perang di Timur Tengah turut mencetuskan konflik naratif dalam talian, menghasilkan gelombang dakwaan palsu, termasuk yang menggunakan imej dijana AI.

AFP sebelum ini pernah menafikan maklumat palsu lain yang timbul akibat perang di Timur Tengah.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami