Ini video kebakaran di Yaman, bukan pengkalan AS di Arab Saudi

Iran melancarkan serangan terhadap negara‑negara di rantau Teluk yang menempatkan pangkalan Amerika Syarikat sebagai tindak balas kepada serangan udara AS-Israel pada Februari 2026. Tetapi satu video yang menunjukkan kebakaran besar dan asap tebal tidak menggambarkan kesan selepas serangan Iran yang menyasarkan pangkalan AS di Arab Saudi. Rakaman itu sebenarnya menunjukkan serangan udara Israel ke atas sebuah pelabuhan di Yaman pada 2024.

"Iran menghancurkan pangkalan udara AS di Riyadh, Arab Saudi," bunyi sebahagian kapsyen siaran Facebook  disiarkan pada 1 Mac 2026.

Hantaran itu memaparkan video kebakaran besar dan asap tebal berhampiran kawasan komersial.

Image

Iran melancarkan serangan balas ke seluruh Timur Tengah, terutamanya di negara yang menempatkan puluhan ribu tentera Amerika, selepas AS dan Israel mula mengebom sasaran di seluruh negara itu pada 28 Februari (pautan arkib).

Lapangan terbang antarabangsa Riyadh di Arab Saudi dan Pangkalan Udara Prince Sultan, yang menempatkan anggota tentera AS, telah disasarkan oleh peluru berpandu Iran sebelum ia dipintas (pautan arkib).

Dakwaan serupa tular di Instagram dan TikTok. Is juga disiarkan dalam bahasa Bengali, Arab dan Tagalog.

Namun, video itu adalah lama dan menunjukkan serangan udara Israel di bandar pelabuhan Hodeida yang dikuasai pemberontak di Yaman.

Carian imej terbalik di Google membawa kepada siaran di akaun YouTube media Mesir Rassd News Network dan organisasi berita Yaman AIC TV pada 20 Julai 2024 (pautan arkib di sini dan di sini).

Kedua-dua media tersebut melaporkan video itu menunjukkan serangan udara Israel ke atas pelabuhan Hodeida di Yaman. Media lain juga menerbitkan video kebakaran tersebut dari sudut lain (pautan arkib di sini dan di sini).

Image
Perbezaan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan siaran media Mesir (kanan)

Serangan jarak jauh itu mengenai pelabuhan Hodeida -- pintu masuk penting untuk bahan api dan bantuan antarabangsa ke kawasan Yaman yang dikuasai Huthi. Ia juga menandakan serangan pertama Israel terhadap negara termiskin di Semenanjung Arab (pautan arkib).

Kumpulan Huthi, yang menguasai sebahagian besar negara itu termasuk sebahagian besar pantai Laut Merah, berkata serangan itu mengenai fasiliti penyimpanan bahan api di pelabuhan dan membunuh enam pekerja syarikat minyak Yaman. AFP turut mengedarkan video kebakaran yang sedang marak di pelabuhan tersebut pada waktu itu.

AFP turut mengedarkan video kebakaran di pelabuhan tersebut.

Video itu sebelum ini sudah beredar dalam konteks mengelirukan dan telah dinafikan oleh AFP.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami