Klip lama insiden kebakaran di Israel dikongsi secara salah sebagai impak serangan Iran
- Diterbitkan pada hari 04/03/2026 jam 06:13
- Dikemas kini pada hari 04/03/2026 jam 06:14
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Tentera Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel berikutan serangan besar-besaran Israel-Amerika Syarikat ke atas republik Islam itu yang membunuh pemimpin tertingginya Ayatollah Ali Khamenei, tetapi klip yang beredar dalam talian tidak menunjukkan kesan selepas serangan Iran itu. Video itu sebenarnya mula beredar sejak 2024 lagi mengenai kebakaran besar melanda sebuah bangunan di Tel Aviv.
"TEL AVIV TERBAKAR," bunyi kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 28 Februari 2026.
"Pemandangan kebakaran besar-besaran di sebuah bangunan di Tel Aviv. Menurut berita yang beredar, bangunan tersebut merupakan gudang senjata."
Video yang dirakam dari balkoni itu menunjukkan bomba cuba memadamkan kebakaran dari sebuah bangunan.
Siaran itu muncul selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, yang turut mengorbankan Khamenei (pautan arkib).
Tentera Iran membuat serangan balas dengan menembak peluru berpandu dan dron merentasi Timur Tengah, meragut nyawa penduduk di Israel dan Emiriah Arab Bersatu.
Presiden AS Donald Trump berikrar untuk membalas dendam atas kematian AS yang terawal, sambil memberitahu New York Times bahawa Amerika Syarikat dan Israel boleh mengekalkan tahap serangan yang sama selama empat hingga lima minggu.
Peperangan itu kemudiannya merebak ke seluruh wilayah, dengan Israel mengebom sasaran di seluruh Lubnan.
Video sama tersebar di tempat lain di Facebook tetapi klip itu sebenarnya klip lama dan tiada kaitan dengan serangan terbaharu ini.
Carian imej terbalik membawa kepada siaran X pada 26 Oktober 2024 yang menunjukkan kebakaran yang sama (pautan arkib).
"Kebakaran besar di sebuah bangunan di Tel Aviv, 7 pasukan bomba sedang berusaha memadam api. Punca kebakaran tidak diketahui," tulis kapsyen siaran itu.
Akhbar Jerusalem Post melaporkan kebakaran itu berlaku di bangunan kediaman di Corkidi Street di Tel Aviv (pautan arkib).
Seorang pengguna Instagram turut memuat naik rakaman menunjukkan kebakaran yang sama tetapi dirakam dari sudut lain (pautan arkib).
Lebih banyak laporan AFP tentang maklumat salah mengenai konflik di Timur Tengah boleh didapati di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami