Video lama kebakaran di Dubai muncul semula susulan serangan Iran
- Diterbitkan pada hari 05/03/2026 jam 06:00
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Pelabuhan besar Jebel Ali di Dubai terbakar ketika Iran melancarkan peluru berpandu dan dron merentasi negara-negara Teluk, sebagai tindakan balas terhadap serangan AS-Israel ke atas republik Islam itu. Tetapi rakaman yang beredar dalam talian yang kononnya menggambarkan kebakaran itu sebenarnya berlaku pada 2021, apabila sebuah kapal kontena terbakar di pelabuhan sama.
"TERKINI. Video kebakaran di Pelabuhan Jebel Ali UAE malam tadi akibat serangan Iran," bunyi sebahagian kapsyen pada video dikongsi pada 1 Mac 2026 oleh seorang pengguna Facebook.
"Pelabuhan ini merupakan tempat penyelenggaraan untuk kapal tempur US yang beroperasi di Timur Tengah."
Klip itu juga beredar dalam beberapa siaran berbahasa Inggeris dan Arab yang dikongsi ribuan kali termasuk di Thread.
Siaran itu tersebar dalam talian berikutan serangan bersama AS-Israel ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertingginya Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Februari (pautan arkib).
Presiden AS Donald Trump memberi amaran perang boleh berlanjutan lebih daripada sebulan kerana konflik merebak ke seluruh rantau dengan Israel mengebom Lubnan manakala Tehran menyasarkan sekutu AS di negara-negara Teluk, termasuk dron yang menyasarkan kedutaan AS di Arab Saudi.
Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapangan terbang Dubai yang sibuk mengalami kerosakan manakala pelabuhan Jebel Ali, yang menempatkan kapal perang AS dan mampu mengendalikan kapal pengangkut pesawat, turut terbakar.
Tetapi video yang beredar dalam talian itu sebenarnya berlaku beberapa tahun lalu.
Carian imej terbalik pada klip dikongsi secara salah itu mendapati ia dikongsi oleh akaun rasmi X saluran media Arab News pada 8 Julai 2021 (pautan arkib).
"Rakaman dari Pelabuhan #JebelAli selepas letupan dan kapal kontena terbakar," bunyi kapsyen siaran terbabit.
Kandungan tersebut telah dikreditkan kepada pengguna X @saeedma91, seorang penduduk Dubai, yang memuat naik video itu (pautan arkib).
AFP turut melaporkan kejadian itu yang melibatkan sebuah kapal kontena yang membawa bahan mudah terbakar meletup dan menyebabkan gegaran di beberapa tempat di bandar itu (pautan arkib).
Api berjaya dipadam dalam masa 40 minit, kata pihak berkuasa dan semua 14 kru kapal telah dipindahkan tepat pada masanya sebelum letupan berlaku.
Rakaman serupa yang dikongsi oleh pejabat media kerajaan Dubai pada akaun rasmi X pada 8 Julai 2021 menunjukkan anggota bomba cuba memadamkan kebakaran (pautan arkib).
AFP telah menafikan maklumat salah lain yang berkaitan dengan konflik Timur Tengah di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami