Klip kebakaran lebuh raya Riyadh disalah nyata sebagai serangan dron ke atas kedutaan AS
- Diterbitkan pada hari 05/03/2026 jam 10:23
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Bill MCCARTHY, AFP Amerika Syarikat
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Serangan dua dron mencetuskan kebakaran kecil di kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Arab Saudi ketika Iran membuat serangan balas di negara-negara Teluk selepas serangan AS-Israel membunuh pemimpin tertingginya. Namun, video tular itu tiada kaitan dengan perang yang semakin meruncing di Timur Tengah. Klip itu sebenarnya telah dikongsi dalam talian sejak awal Februari 2026 dan AFP mengesahkan lokasi kejadian itu ke sebuah lebuh raya Riyadh beberapa kilometer dari kedutaan.
"TERKINI. Letupan di kedutaan As di Riyadh Arab saudi. letupan memusnahkan kedutaan As. laporan tidak rasmi mengatakan beberapa kakitangan As terbunuh dalam serangan tersebut," bunyi kapsyen pada video dikongsi di Facebook pada 3 Mac 2026.
Siaran serupa tersebar di platform X, Facebook, Instagram dan TikTok -- dan juga dalam beberapa artikel dalam talian -- selepas seorang jurucakap kementerian pertahanan Arab Saudi berkata berlakunya serangan dua dron ke atas kedutaan AS di Riyadh pada 3 Mac yang mencetuskan kebakaran kecil. Kedutaan itu kemudian mengesahkan serangan itu.
Ia tersebar berikutan serangan bersama AS-Israel ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertingginya Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Februari (pautan arkib).
Tetapi klip yang tular dalam pelbagai bahasa itu tiada kaitan dengan letupan di kedutaan di Riyadh.
Carian imej terbalik mendapati rakaman sama tersebar di media sosial seawal 6 Februari 2026, sebelum berlakunya konflik (pautan arkib di sini, di sini dan di sini). Komen-komen pada siaran itu menggambarkan terdapat sebuah kapal tangki bahan api yang terbakar, dengan beberapa orang mencadangkan video itu berusia setahun atau beberapa tahun lalu.
AFP tidak dapat mengesahkan sumber asal rakaman itu atau punca kebakaran.
Meneliti rakaman dashcam yang dimuat naik ke YouTube oleh pemandu yang merakam perjalanan mereka melalui Riyadh, AFP memadankan papan tanda lebuh raya dalam klip kebakaran itu dengan penanda yang dirakam dalam satu video yang menunjukkan perjalanan di Jalan Lingkaran Kedua (pautan arkib). Simbol, anak panah, warna dan teks semuanya kelihatan sepadan.
AFP kemudian memetakan laluan kenderaan itu ke imej satelit Google Earth untuk mengenal pasti anggaran lokasi kebakaran itu (pautan arkib). Geokoordinat mengesahkan bahawa kebakaran itu berlaku kira-kira 25 kilometer (15 batu) timur dari kedutaan AS, yang terletak di kawasan diplomatik bandar itu (pautan arkib).
Gambar AFP yang diambil pada 3 Mac selepas serangan dron menunjukkan kawasan sekitar kedutaan itu lebih padat dengan pokok dan bangunan berbanding lebuh raya yang dilihat dalam rakaman yang tular.
AFP telah menafikan maklumat salah lain tentang konflik di Timur Tengah.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami