Ini video kebakaran di Sharjah pada 2015, bukan serangan ke atas ibu pejabat CIA di Dubai

Iran melancarkan serangan balas terhadap negara Teluk selepas serangan bersama Israel-Amerika Syarikat yang bermula pada 28 Februari, 2026, tetapi rakaman video yang tular di media sosial tidak menujukkan "ibu pejabat CIA di Dubai" dibedil peluru berpandu Iran. Video tersebut sebenarnya pernah beredar pada Oktober 2015 dan menunjukkan kebakaran sebuah bangunan di Sharjah, bandar pelabuhan utama di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Sebuah bangunan yang digunakan oleh CIA di Dubai telah dibakar," bunyi sebahagian siaran Facebook dikongsi pada 1 Mac 2026. 

Video itu menunjukkan asap tebal berkepul keluar dari sebuah bangunan pencakar langit yang dikatakan ibu pejabat Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) di Dubai.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 4 Mac 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Dakwaan serupa tular di Instagram dan TikTok. Rakaman itu juga tersebar di media sosial di India, Pakistan, dan Nigeria  ketika Iran bertindak balas terhadap serangan besar-besaran AS-Israel yang membunuh pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei (pautan arkib).

Tehran membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS (pautan arkib).

Pihak berkuasa berkata beberapa letupan menggegarkan pulau buatan Palm Jumeirah di Dubai dan serpihan dron menyebabkan kebakaran di hotel ultra mewah Burj Al Arab ketika gelombang peluru berpandu Iran menyasarkan Emiriah Arab Bersatu pada 28 Februari (pautan arkib).

Kementerian Pertahanan UAE melaporkan tiga kematian sejak 28 Februari, masing-masing warganegara Pakistan, Nepal dan Bangladesh (pautan arkib).

Satu serangan dron menyebabkan kebakaran berhampiran konsulat AS di Dubai pada 3 Mac, namun tiada laporan rasmi mengenai kemudahan CIA di bandar itu yang diserang dron Iran (pautan arkib).

Ibu pejabat CIA terletak di Langley, negeri Virginia, Amerika Syarikat (pautan arkib).

Carian imej terbalik mendapati video yang tular sepadan dengan rakaman di YouTube lebih sedekad lalu (pautan arkib).

Image
Perbezaan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan rakaman YouTube dari 2015

Carian kata kunci seterusnya menemui beberapa video serupa diterbitkan oleh media tempatan dan antarabangsa pada awal Oktober 2015 (pautan arkib di sini dan di sini).

Laporan-laporan itu menyatakan bahawa kebakaran berlaku di sebuah menara kediaman 30 tingkat di Sharjah dan berjaya dikawal tanpa sebarang kemalangan jiwa (pautan arkib di sini dan di sini).

Video yang ditularkan itu sepadan dengan imej Google Street View bagi menara tersebut, yang dirakam pada Mac 2015 (pautan arkib).

AFP telah menafikan maklumat palsu lain yang berpunca daripada perang di Timur Tengah.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami