Video lama evakuasi penerbangan AS disalah siar sebagai serangan Iran ke atas Israel
- Diterbitkan pada hari 04/03/2026 jam 09:48
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Iran melepaskan puluhan peluru berpandu ke arah Israel dan beberapa negara Teluk selepas satu serangan bersama Amerika Syarikat-Israel membunuh pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, pada akhir Februari 2026. Namun, video menunjukkan evakuasi penumpang dari sebuah pesawat bukan dirakam di sebuah lapangan terbang Israel selepas serangan Iran. Ia sebenarnya dirakam pada Julai 2025 semasa sebuah pesawat American Airlines terbakar ketika berlepas di Colorado, AS.
"Sebuah pesawat Israel menjadi sasaran di Lapangan Terbang Ben Gurion hanya beberapa saat sebelum berlepas. Tiada tempat di Israel yang selamat lagi!" bunyi siaran Facebook dikongsi pada 2 Mac 2026.
Video tersebut menunjukkan penumpang keluar dari sebuah pesawat dipenuhi asap menggunakan gelongsor kecemasan sementara penggera berbunyi di latar belakang.
Dakwaan serupa beredar di Instagram, Threads dan TikTok. Ia juga dikongsi dalam siaran bahasa Burma, Inggeris, Arab, Sepanyol, Indonesia, dan Hindi.
Selain kemudahan ketenteraan AS, Tehran turut menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai -- hab antarabangsa paling sibuk di dunia -- serta lapangan terbang utama Kuwait, menyebabkan gangguan terbesar kepada pengangkutan udara global sejak pandemik Covid-19 (pautan arkib).
Di Israel, serangan peluru berpandu Iran membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan puluhan lagi di bandar Beit Shemesh pada 1 Mac, selepas kematian seorang lagi pada hari sebelumnya berhampiran Tel Aviv (pautan arkib).
Hezbollah turut berkata ia menyerang tiga pangkalan tentera Israel sebagai tindak balas serangan ke atas kubu kuatnya, yang menurut tentera Israel dilancarkan selepas pihaknya memberi amaran bahawa ia akan meneruskan kempen terhadap kumpulan militan yang disokong Iran itu (pautan arkib).
Namun begitu, video penumpang keluar dari pesawat yang terbakar -- yang tular di media sosial -- dirakam sebelum perangan terbaru cetus di Timur Tengah.
Kebakaran pesawat American Airlines
Carian imej terbalik di Google membawa kepada satu video YouTube yang lebih panjang diterbitkan oleh akhbar AS The Wall Street Journal pada 27 Julai 2025 (pautan arkib).
Tajuknya berbunyi: "Passengers Slide Onto Runway After Plane Catches Fire". Video itu menunjukkan adegan yang sama dengan video yang tular dalam siaran palsu.
The Wall Street Journal menyatakan video itu dikreditkan kepada pengguna Instagram @highlymigratoryfishing. Carian kata kunci di Instagram menemui akaun tersebut yang berkongsi video beresolusi lebih tinggi (pautan arkib).
Menurut kenyataan di laman web Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS, Penerbangan American Airlines 3023 melaporkan kemungkinan insiden gear pendaratan ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver pada 26 Julai 2025 (pautan arkib).
Beberapa laporan berita yang memaparkan wawancara dengan individu yang merakam video asal, Mark Tsurkis, berkata semua penumpang dan kru berjaya keluar dengan selamat (pautan arkib di sini dan di sini).
AFP telah menghubungi Tsurkis untuk mendapatkan komen, namun belum menerima sebarang maklum balas.
Laporan lain berkaitan maklumat palsu mengenai perang di Timur Tengah boleh dibaca di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami