Video lama serangan Iran ke atas Israel disalah kait dengan konflik Timur Tengah 2026
- Diterbitkan pada hari 09/03/2026 jam 09:42
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Gemma CAHYA, Chayanit ITTHIPONGMAETEE, AFP Indonesia, AFP Thailand
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Iran melancarkan peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindakan balas terhadap operasi bersama Amerika Syarikat-Israel yang membunuh pemimpin tertingginya Ayatollah Ali Khamenei pada Februari 2026, tetapi klip tular di media sosial tidak menunjukkan kesan daripada serangan itu. Ia sebenarnya video lama dirakam selepas serangan peluru berpandu Iran di Tel Aviv pada Jun 2025.
Siaran Facebook berkongsi satu video pada 2 Mac menunjukkan pasukan penyelamat berhampiran bangunan runtuh dengan dakwaan bahawa ia menggambarkan "bangunan di Tel Aviv Israel hancur dihujani peluru berpandu oleh Iran".
Siaran sama turut tersebar dalam bahasa Arab dan pelbagai platform media sosial lain seperti Instagram dan Thread. Ia muncul selepas Iran melancarkan serangan sebagai tindakan balas terhadap serangan bersama AS-Israel pada 28 Februari 2026 yang meragut nyawa Khamenei (pautan arkib).
Peluru berpandu Iran mengorbankan nyawa seorang wanita di Tel Aviv pada hari itu, kematian pertama yang disahkan di Israel sejak serangan bermula (pautan arkib).
Namun, video tular itu sebenarnya menunjukkan impak serangan Iran pada 2025.
Video lama
Carian imej terbalik di Google menemui visual yang sama pernah diterbitkan oleh BBC dan Al Mayadeen pada 14 Jun 2025 dalam laporan yang menyatakan rakaman itu menunjukkan kesan serangan peluru berpandu Iran di Tel Aviv (pautan arkib di sini dan di sini).
Gambar AFP yang diambil pada 13 Jun 2025 menunjukkan elemen serupa seperti dalam klip terbabit, termasuk bentuk bangunan, kereta berwarna putih yang rosak teruk dan serpihan-serpihan yang bersandar pada dinding bangunan.
Israel melancarkan beberapa siri serangan terhadap infrastruktur nuklear dan ketenteraan Iran pada Jun 2025 dan beberapa komander serta saintis tertinggi dilaporkan terbunuh (pautan arkib).
Iran bertindak balas dengan salvo peluru berpandu besar-besaran yang menyerang bangunan kediaman dan bangunan tinggi di kawasan Tel Aviv, menyebabkan ratusan cedera dan kru kecemasan bertungkus-lumus menyelamatkan orang awam terperangkap dalam runtuhan (pautan arkib).
AFP telah menafikan maklumat salah lain yang berkaitan dengan konflik Timur Tengah di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami