Klip lama digunakan dalam hantaran palsu dakwa Iran serang USS Abraham Lincoln

Pasukan Pengawal Revolusi Iran berkata pada 1 Mac 2026 mereka menyerang kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln selepas serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel membunuh pemimpin tertinggi republik Islam itu. Pentagon menafikan dakwaan Tehran, manakala sebuah video dalam talian yang kononya menunjukkan kapal tersebut terbakar sebenarnya adalah video lama dengan unsur visual tidak realistik yang menunjukkan ia tidak tulen.

"Beberapa video rakaman asli kapal pengangkut USS Abraham Lincoln yang mengalami kerosakan selepas terkena peluru berpandu balistik Iran mula tersebar," bunyi sebahagian siaran Facebook dikongsi pada 4 Mac 2026. 

Klip yang disiarkan menunjukkan kepulan asap tebal dari sebuah kapal yang terbakar. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 5 Mac 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Video tersebut turut dikongsi di  Facebook dan Instagram. Ia juga tular dalam siaran bahasa BurmaPerancis, Sepanyol dan Arab selepas Iran berkata ia menyerang USS Abraham Lincoln dengan peluru berpandu balistik pada 1 Mac (pautan arkib).

US Central Command menolak dakwaan itu, dengan menyatakan di X: "Lincoln tidak terkena. Peluru berpandu yang dilancarkan langsung tidak menghampirinya” (pautan arkib).

Media rasmi Iran juga mendakwa pada 5 Mac bahawa dron yang dilancarkan oleh Pengawal Revolusi -- sayap ideologi tentera negara itu -- telah terkena kapal pengangkut pesawat itu. Ia tidak memberikan sebarang butiran lanjut (pautan arkib).

Perang meletus di Timur Tengah susulan serangan AS dan Israel di Iran yang membunuh ketua tertinggi Ayatollah Ali Khamenei (pautan arkib).

Tehran membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS (pautan arkib). 

Namun, klip video yang tular itu tidak menunjukkan USS Abraham Lincoln diserang oleh peluru berpandu Iran.

Carian imej terbalik menemukan satu hantaran Facebook yang berkongsi klip sama pada 24 Jun 2025. 

Image
Perbezaan tangkapan skrin antara siaran Facebook pada 2025 (kiri) dan siaran palsu yang tular (kanan)

Walaupun kapsyen berbahasa Arab menyatakan video tersebut menunjukkan sebuah kapal pengangkut pesawat AS disasarkan oleh Iran ketika itu, visual tidak konsisten menunjukkan klip tersebut tidak tulen.

Sebahagian kapal kelihatan terbakar namun tidak mengeluarkan asap, dan pergerakan api juga tidak realistik seolah-olah ia dijana secara digital.

Analisis menggunakan alat pengesanan Hive Moderation mendapati ia "berkemungkinan mengandungi kandungan yang dijana oleh AI atau deepfake" (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin analisis alat pengesan AI Hive Moderation

AFP sebelum ini pernah menafikan maklumat palsu lain yang timbul akibat perang di Timur Tengah.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami