Video sambutan bola sepak Algeria disalah kait dengan perang Timur Tengah
- Diterbitkan pada hari 10/03/2026 jam 09:07
- Durasi bacaan 1 minit
- Oleh: Marisha GOLDHAMER, AFP Amerika Syarikat
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Iran melancarkan peluru berpandu dan dron sebagai tindakan balas terhadap Israel selepas serangan udara Amerika Syarikat-Israel membunuh pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei. Namun, video yang menunjukkan suar merah menjunam dari langit tidak berkaitan dengan perang tersebut. Rakaman itu -- yang berulang kali disalah tafsir -- sebenarnya dirakam di Algeria ketika bunga api dinyalakan sempena sambutan peminat bola sepak pada 2024.
"Peluru berpandu hipersonik Iran baru sahaja menyasarkan mesyuarat keselamatan kabinet Israel di Tel Aviv," bunyi sebahagian siaran Facebook dikongsi pada 3 Mac 2026.
Hantaran itu berkongsi gambar yang menunjukkan langit malam diterangi suar merah.
Siaran serupa dikongsi di Instagram dan Threads.
Perang telah meletus di Timur Tengah susulan serangan AS dan Israel di Iran yang membunuh Khamenei . Serangan balas Tehran menyasarkan Jerusalem, Tel Aviv dan Haifa, sementara Hezbollah turut melancarkan serangan dari Lubnan.
Tetapi gambar yang beredar dalam talian itu sebenarnya tiada kaitan dengan perang di Timur Tengah.
Sambutan bola sepak
Carian imej terbalik membawa kepada satu rakaman yang dimuat naik ke YouTube pada 9 Ogos 2024 (pautan arkib).
Kapsyen dalam bahasa Inggeris pada video lama itu berbunyi: "Sambutan peminat Mouloudia sempena ulang tahun ke-103."
Pasukan bola sepak Algeria, Mouloudia Club d’Alger, meraikan ulang tahun ke-103 pada Ogos 2024 (pautan arkib). Pasukan itu turut menyiarkan video pertunjukan bunga api merah di Algiers di laman Facebook rasminya (pautan arkib).
Carian kata kunci menemui rakaman serupa dalam laporan berkaitan sambutan ulang tahun kelab tersebut (pautan arkib di sini dan di sini).
AFP pertama kali mengesahkan asal usul visual berkenaan pada Oktober 2024 apabila ia turut disalah tafsir dalam konteks pertempuran antara Israel dan Hezbollah.
Carian imej terbalik seterusnya membawa kepada video YouTube dari Ogos 2024 berkata ia adalah sambutan ulang tahun pasukan bola sepak negara itu dengan pertunjukan bungai api (pautan arkib).
Imej yang disiarkan juga sepadan dengan Google Street View dari jalan berhampiran terminal feri Algiers (pautan arkib).
AFP telah menafikan maklumat salah lain yang berkaitan dengan konflik Timur Tengah di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami