Ini video lama kebakaran kimia di California, bukan serangan peluru berpandu ke atas Israel
- Diterbitkan pada hari 11/03/2026 jam 06:51
- Dikemas kini pada hari 11/03/2026 jam 06:52
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Iran menyerang Israel dengan peluru berpandu selepas serangan bersama AS-Israel ke atas republik Islam itu pada 28 Februari 2026, tetapi rakaman tular yang kononnya menunjukkan letupan tidak menunjukkan serangan ke atas Tel Aviv. Video itu sebenarnya menggambarkan satu kebakaran bahan kimia yang memusnahkan dua bangunan perindustrian di California pada 2016.
"PELURU BERPANDU IRAN DITEMUI TIDAK MELETUP DI TEL AVIV, APABILA DIHAMPIRI, TABABOM!!" bunyi teks pada video TikTok yang menunjukkan letupan besar, dikongsi pada 8 Mac.
Tangkapan skrin daripada video sama diedarkan dalam siaran serupa di Facebook yang turut mendakwa anggota bomba yang cuba mengawal kebakaran itu terkejut dengan letupan tersebut.
Rakaman itu juga tersebar dalam siaran bahasa Inggeris, Arab dan Indonesia muncul selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada 28 Februari 2026 yang membunuh pemimpin tertingginya Ayatollah Ali Khamenei (pautan arkib).
Iran dan kumpulan militan Lubnan Hizbullah yang disokong Iran telah menyasarkan Tel Aviv dalam beberapa siri serangan balas manakala Israel juga terus mengebom kedua-dua negara itu.
Tetapi klip yang beredar tiada kaitan dengan konflik itu dan telah dikongsi hampir sedekad lalu.
Carian imej terbalik di Google menemui rakaman yang menunjukkan letupan yang sama diterbitkan oleh syarikat penyiaran Amerika ABC7 News pada 14 Jun 2016 di halaman Facebook rasminya (pautan arkib).
Siaran itu menyatakan bahawa kebakaran itu berlaku di Maywood, sebuah bandar di daerah Los Angeles, California.
Carian lanjut kata kunci membawa kepada video serupa di YouTube, dikongsi pada 17 Jun 2016, bertajuk "Maywood, CA Magnesium Explosion" (pautan arkib).
Menurut laporan Los Angeles Daily News yang diterbitkan pada 15 Jun 2016, kebakaran kimia yang berlaku di loji kitar semula logam itu mengambil masa dua hari untuk dipadam dan seramai 300 orang penduduk terpaksa dipindahkan (pautan arkib).
Letupan itu disebabkan oleh oksigen daripada air yang digunakan untuk memadamkan api yang menghasilkan tindak balas kimia dengan logam yang terbakar, kata laporan itu.
Gudang Fruitland Avenue di Maywood yang dilihat dalam kawasan letupan itu juga boleh dilihat dalam imej Google Street View (pautan arkib).
AFP telah menafikan maklumat salah lain yang berkaitan dengan konflik Timur Tengah.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami