Video pertunjukan udara Dubai disalah tafsir sebagai tentera AS berundur
- Diterbitkan pada hari 13/03/2026 jam 09:32
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Selepas Iran menyerang beberapa negara Teluk yang menempatkan kepentingan Amerika sebagai tindak balas terhadap serangan bersama AS-Israel yang menyasarkan republik Islam itu pada 28 Februari 2026, pengguna media sosial berkongsi satu video yang kononnya menunjukkan tentera AS meninggalkan pangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Pengguna Instagram yang merakam klip asal itu memberitahu AFP ia sebenarnya dirakam semasa pertunjukan udara sempena Hari Solidariti UAE pada 17 Januari, sebelum perang tercetus.
"Pasukan tentera Amerika Syarikat dilaporkan meninggalkan pangkalan mereka di Dubai bersama aset dan peralatan ketenteraan," bunyi siaran Facebook pada 2 Mac 2026.
Siaran itu turut mendakwa bahawa Amerika Syarikat telah meninggalkan UAE untuk mempertahankan diri pada waktu kritikal.
Video itu menunjukkan pesawat tentera terbang dalam formasi di sepanjang kawasan pantai, dengan latar belakang bandar raya Dubai. Teks pelekat pada video itu berbunyi, "Pasukan Amerika tinggalkan pangkalan Dubai bersama peralatan".
Hantaran serupa turut dikongsi di Threads, Instagram, dan TikTok serta oleh pengguna dari India, Filipina, Kenya and Bangladesh, ketika perang meletus di Asia Barat susulan serangan bersama AS-Israel pada 28 Februari yang membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei (pautan arkib).
Iran membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel dan negara-negara Teluk yang menempatkan kepentingan AS (pautan arkib).
Duta UAE ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata negara itu telah mengalami lebih 1,400 serangan sejak konflik bermula, di mana "sebahagian besar daripadanya dipintas dan dinyahaktifkan" oleh angkatan tentera negara itu (pautan arkib).
Sekurang-kurangnya 25 serangan Iran telah menyasarkan tapak AS atau lokasi yang menempatkan anggota tentera AS di Asia Barat sejak perang bermula, menurut analisis AFP menggunakan imejan satelit (pautan arkib).
Daripada serangan-serangan tersebut -- antara 28 Februari hingga 11 Mac pada 1500 GMT -- 21 daripadanya menyasarkan 13 tapak ketenteraan yang menempatkan anggota Amerika, dengan Pangkalan Udara Al Dhafra di UAE disasarkan sekurang-kurangnya dua kali.
Namun, klip yang menunjukkan pesawat terbang di Dubai itu tidak menunjukkan tentera AS meninggalkan UAE.
Pertunjukan udara Hari Solidariti
Carian imej terbalik di Google menggunakan versi video yang lebih panjang yang dikongsi dengan dakwaan palsu sama di YouTube membawa kepada siaran Instagram yang memaparkan rakaman itu pada 17 Januari (pautan arkib).
Hantaran itu bebunyi: "Hari ini ialah Hari Solidariti UAE. Satu peringatan tentang perpaduan, kekuatan dan semangat kolektif. Menyaksikan pesawat terbang melintasi Palm Jumeirah dan Burj Al Arab merupakan salah satu detik unik Dubai."
Pengguna Instagram itu memberitahu AFP dalam mesej pada 11 Mac bahawa video itu dirakam pada Hari Solidariti UAE pada 17 Januari, yang memperingati serangan Houthi pada 2022 terhadap Abu Dhabi yang mengenai sebuah fasiliti minyak dan lapangan terbang serta membunuh tiga orang awam (pautan arkib).
"Ia tiada kaitan dengan situasi semasa. Ia dirakam dari kawasan kecil di hadapan Palm Jumeirah. Ia terdiri daripada beberapa video dari hari yang sama," katanya.
Akhbar berbahasa Inggeris yang berpangkalan di UAE, Gulf News, melaporkan bahawa acara memperingati hari itu termasuk pertunjukan udara oleh angkatan tentera negara tersebut (pautan arkib).
Pejabat Media Dubai turut berkongsi klip serupa dalam video kompilasi tentang acara itu di akaun Instagram rasminya pada 18 Januari (pautan arkib). AFP telah menghubungi pejabat itu untuk mendapatkan komen tetapi tidak menerima sebarang maklum balas setakat ini.
AFP telah menafikan maklumat palsu lain yang muncul susulan konflik di Asia Barat.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami