Grafik rekaan salah guna logo TV3 dakwa harga minyak naik
- Diterbitkan pada hari 02/04/2026 jam 09:45
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi MAMAT, AFP Malaysia
Kenaikan harga bahan api yang tercetus akibat konflik Asia Barat menyebabkan orang ramai bimbang tentang ketidaktentuan harga petrol, tetapi siaran media sosial yang mendakwa harga petrol akan meningkat secara mendadak sebenarnya berkongsi grafik hasil suntingan. Syarikat penyiaran televisyen TV3 dan Kementerian Kewangan menafikan mengeluarkan grafik tular memaparkan harga petrol dan diesel yang tidak tepat.
"Harga petrol dari 1 April 2026. Sumber: TV3," bunyi kapsyen bahasa Inggeris pada siaran Facebook dikongsi pada 31 Mac 2026.
Grafik itu meletakkan logo TV3 dan kononnya menyenaraikan harga petrol RON95 dan RON97, serta harga diesel berasingan untuk Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan (pautan arkib).
Ia juga menyatakan harga baharu itu akan berkuat kuasa pada 1 April.
Siaran serupa berkongsi grafik yang sama beredar di Facebook, Instagram, TikTok dan WhatsApp.
Siaran lain yang dikongsi pada 31 Mac membuat dakwaan serupa mengenai kenaikan harga bahan api tetapi berkongsi grafik berbeza yang kononnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.
Setakat ini, harga minyak subsidi kekal pada RM1.99 seliter. Namun kuota bulanan telah dikurangkan daripada 300 litre kepada 200 litre sebulan susulan harga minyak mentah dunia melonjak naik dan Selat Hormuz kekal ditutup berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang tercetus oleh serangan bersama AS-Israel ke atas Iran pada Februari (pautan arkib di sini dan di sini).
Grafik yang beredar itu malah muncul dalam talian menjelang pengumuman harga petroleum yang lazimnya dikeluarkan kerajaan setiap minggu pada petang Rabu (pautan arkib).
Carian kata kunci Google membawa kepada siaran Facebook oleh Buletin TV3 pada 31 Mac yang menafikan pihaknya menerbitkan grafik atau sebarang laporan sedemikian (pautan arkib).
"Kami tidak pernah menerbitkan atau mengeluarkan sebarang maklumat berkenaan harga minyak seperti yang tular di media sosial," kata syarikat televisyen itu sambil menambah bahawa pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut.
Carian kata kunci berasingan di Google mendapati Kementerian Kewangan menolak satu lagi grafik tular dalam satu kenyataan di Facebook rasmi pada 31 Mac (pautan arkib).
"Grafik tersebut adalah tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh pihak berkuasa," tulis kenyataan itu, sambil menegaskan pengumuman rasmi akan dibuat setiap hari Rabu di saluran rasmi kementerian.
Pengumuman terdahulu dibuat pada 1 April, dengan harga berkuat kuasa sehingga 8 April (pautan arkib).
Harga petrol RON95 tanpa subsidi kekal ditetapkan pada RM3.87 seliter, manakala harga RON97 akan ditetapkan pada RM4.95 seliter. Petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 akan kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, menurut kementerian.
AFP menafikan dakwaan salah lain yang dikaitkan dengan krisis tenaga di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami