Gambar ini menunjukkan bayi yang menunggu pemindahan sumsum tulang di Amerika Syarikat pada tahun 1985

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu gambar telah dikongsikan ribuan kali di dalam pelbagai posting di Facebook yang mendakwa ia menunjukkan seorang ibu di Itali memegang bayinya buat kali terakhir selepas sakit tenat dengan COVID-19. Dakwaan itu tak benar. Gambar tersebut telah beredar dalam talian mengenai seorang kanak-kanak yang sedang menanti pemindahan sumsum tulang pada tahun 1985 di Amerika Syarikat (AS).

Gambar tersebut telah diterbitkan di sini di Facebook pada 7 Mei 2020. Ia telah dikongsikan melebihi 5,000 kali. 

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Kapsyennya menyatakan: “Kisah seorang Ibu muda di Italy yg didalam keadaan nazak kerana corona, membuat permintaan terakhir untuk menghentikan tangisan tanpa henti bayinya yg berusia 18 bulan.

“Doktor membenarkan dengan menutup seluruh tubuhnya dengan wax nyahkumah lutsinar dan kemudian meletakkan bayinya diatas dadanya, ajaibnya bayi tersebut terus terdiam dengan ibunya pun juga terdiam buat selamanya.

“Rupanya kasih seorang Ibu bagi seorang anak Tiada batasnya dan punya aura yg sangat aneh sebagaimana yg Allah swt firmankan dan Rasulullah ingatkan.

“Jadikan lah pengajaran mengenai kasih ibu.. Salam buat semua Ibu terutama ibunda saya.. Puan Hjh Ashakiah Basri......”

Gambar dan dakwaan yang sama dikongsikan lebih daripada 1,000 kali setelah muncul di Facebook di sini, sini dan sini

Ia juga dikongsikan di Facebook dalam bahasa Sinhala di sini dan bahasa Arab di sini.

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga 13 Mei 2020, novel koronavirus, yang menyebabkan penyakit COVID-19, telah membunuh melebihi 287,000 orang dan menjangkiti lebih daripada 4 juta orang di seluruh dunia.

Sehingga Mei 2020, Itali merupakan salah satu negara di Eropah yang paling teruk dilanda penyakit tersebut. Ia telah mengalami lebih daripada 31,000 kematian dan melaporkan melebihi 222,000 kes disahkan COVID-19, seperti yang dinyatakan di dalam kenyataan media pada 13 Mei 2020 ini dari Kementerian Kesihatan Itali.

Dakwaan tersebut tak benar. Gambar itu telah beredar dalam talian mengenai seorang bayi yang sedang menunggu pemindahan sumsum tulang di sebuah pusat rawatan kanser AS pada tahun 1985. 

Carian imej terbalik Google gambar tersebut menjumpai gambar yang sama diterbitkan di sini di laman sesawang untuk Magnum Photos, sebuah agensi foto di AS.

Di bawah adalah tangkapan skrin gambar itu di laman sesawang Magnum Photos:

Tangkapan skrin gambar di laman sesawang Magnum Photos

Keterangan gambar tersebut, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “AS. SEATTLE. WASHINGTON, 1985. / Pusat Kanser Fred Hutchinson - Bayi di dalam Bilik Aliran Udara Laminar dilindungi dari jangkitan. Kanak-kanak itu telah disinar sebelum pemindahan sumsum tulang.”

Gambar itu telah dikreditkan kepada mendiang jurugambar, Burt Glinn.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin gambar di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari laman sesawang Magnum Photos (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin gambar di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari laman sesawang Magnum Photos (kanan)

Di dalam emelnya kepada AFP pada 15 April 2020, Magnum Photos berkata kapsyen gambarnya adalah tepat.

Matthew Murphy, direktor arkib dan pengurus perlesenan di Magnum Photos, berkata: “Imej yang dipersoalkan itu tidak ada kena-mengena dengan Covid-19.”

KORONAVIRUS