Video ini telah tersebar dalam talian mengenai gurauan yang berlaku di Brazil pada 2019

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Video yang telah ditonton ratusan ribu kali di Facebook, Twitter dan YouTube bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan sebuah dron yang menembak bunga api pada orang yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia. Dakwaan itu tak benar. Audio rakaman itu telah dimanipulasikan dengan memasukkan muzik berbeza dan suara yang bercakap dalam bahasa Malaysia; klip asal sebenarnya menunjukkan gurauan yang dirancang oleh seorang pemengaruh (influencer) dari Brazil pada Julai 2019.

Video berdurasi 29 saat itu dikongsikan di Facebook di sini pada 22 Mac 2020. Ia telah ditonton melebihi 770,000 kali dan dikongsi melebihi 7,000 kali. 

Rakaman itu menunjukkan sebuah dron menembak bunga api pada sekumpulan orang di luar perkarangan rumah dengan audio yang memaparkan suara seorang lelaki yang garang yang berkata: “Mau cakap macam mana lagi baru kasi faham? Duduk-duduk dalam rumah, duduk dalam rumah, jangan keluar. Cakap baik-baik, lu orang tak boleh faham, ke? Lu orang tak ade otak, ke? Kerajaan sudah keluar arahan, duduk dalam rumah masing-masing. Jangan keluar berkumpul.” 

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Kapsyennya menyatakan: “Jangan sampai kene tembak! Duduk dalam rumah!”

Malaysia telah melaksanakan PKP sejak 18 Mac 2020. 

Susulan itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan mulai 4 Mei 2020, iaitu versi PKP yang lebih longgar di mana sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan berlangsung.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan teknologi dron bagi memantau kawasan yang panas dengan COVID-19 di seluruh negara sewaktu PKP dilaksanakan, menurut laporan Harian Metro ini dan ini pada 24 Mac 2020. 

Sehingga 20 Mei 2020, penyakit novel koronavirus, atau COVID-19, telah menjangkiti lebih daripada 7,000 orang dan membunuh 114 orang yang lain, menurut data dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rakaman yang sama juga dikongsikan bersama-sama dakwaan yang hampir serupa di Facebook di sini, sini dan sini; di YouTube di sini; dan di Twitter di sini.

Ia juga muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di sini; dalam bahasa Indonesia di Facebook di sini, di Twitter di sini dan di YouTube di sini.

Dakwaan itu tak benar. Audio rakaman itu telah dimanipulasikan dengan memasukkan muzik berbeza dan suara yang bercakap dalam bahasa Malaysia. Rakaman asal sebenarnya menunjukkan gurauan yang dirancang di Brazil pada Julai 2019 – beberapa bulan sebelum COVID-19 pertama kali dikesan di bandar Wuhan, China pada Disember 2019.

Carian imej terbalik di Google dan carian kata kunci seterusnya menjumpai video asal yang dimuat naikkan di sini di Instagram oleh pengguna Lucas Albert pada 14 Julai 2019.

Kapsyen video dalam bahasa Portugis itu diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai: “Kawan-kawan saya telah mengadakan barbeku di jalan dan tidak mengundang saya, tengok apa yang saya buat kepada mereka haha Permainkan (Trolled) mereka entah dari mana. Minggu depan ada ‘guerra dos bruxos’.”

“Guerra dos bruxos” merujuk kepada tradisi bunga api di Brazil yang dipanggil “Guerra de Espadas”.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Meus amigos fizeram um churrasco na rua e não me convidaram olha oq eu fiz com eles kkkkkkkkk aquela trolagem do nada ❤️ semana que vem tem guerra de bruxos 🧙‍♂️ 🤣🤣🤣🤣

A post shared by Lucas Albert (@eulucasalbert) on

Video Instagram Albert mempunyai muzik berbeza dan runut bunyi yang tidak memaparkan sesiapa bercakap dalam bahasa Malaysia.

Carian kata kunci di YouTube dan carian imej terbalik di Google mendapati audio bahasa Malaysia dengan durasi yang lebih panjang boleh dijumpai di akaun Twitter ini dan posting Facebook ini, kedua-duanya dimuat naikkan pada 21 Mac 2020. Audio tersebut, berserta dengan video yang menunjukkan pihak polis meronda dan membuat pengumuman melalui pembesar suara, dipercayai video yang asli, seperti yang dilaporkan media tempatan ProjekMM, memetik komen pengguna Facebook dari ruangan komen posting itu.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video Instagram Albert (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video Instagram Albert (kanan)

BBC telah menemu bual Albert mengenai video tersebut dan menerbitkannya di laporan ini bertarikh 19 Julai 2019. Ia bertajuk: “Dron bunga api ‘berita tak benar’ kata bintang Instagram Lucas Albert.”

“Albert, yang mempunyai dua juta pengikut di Instagram, memberitahu BBC video itu bukan benar, dan menjelaskan bahawa dia merancang aksi itu dengan kawan-kawannya.

“‘Ramai orang mengenali saya,’ katanya, ‘dan tahu bahawa saya sunting semua video yang saya muat naikkan.’”

Albert juga memuat naikkan penjelasan di Twitternya di sini dan di Instagram story.

Ciapan dalam bahasa Portugis itu diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai: “Mereka mengambil video saya permainkan kawan-kawan saya, meletakkannya di dalam laman surat khabar sensasi dengan berkata ia adalah jiran yang marah dengan bunyi bising di Sao Paulo yang menembak bom haha Abang, sejauh mana berita palsu ini boleh pergi?” 

Instagram storynya telah dimasukkan di dalam video ini oleh surat khabar Brazil, Jornal de Brasilia, pada 15 Julai 2019.

Pada 2019, AFP telah membongkar video yang sama dengan dakwaan lain dalam bahasa Inggeris di sini dan bahasa Portugis di sini.

KORONAVIRUS