Klip ini hanya menunjukkan salah satu wad hospital di Brazil, manakala ada puluhan pesakit Covid-19 dirawat di wad lain

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video seorang profesional kesihatan menyanyi di wad hospital yang kosong telah ditonton puluhan ribu kali di Facebook dengan dakwaan video itu menunjukkan “kebenaran” situasi pandemik di Brazil. Dakwaan itu mengelirukan. Klip itu hanya menunjukkan salah satu wad di sebuah hospital di Brazil, yang sedang merawat lebih daripada 70 pesakit Covid-19 di wad lain. Di bandar tempat video tersebut dirakamkan, penghunian katil rawatan intensif orang dewasa adalah 93 peratus pada masa video dibuat.

Rakaman itu dimuat naikkan pada 22 April 2021, di Instagram di sini, di mana video itu telah ditonton lebih daripada 38,000 kali.

Dalam rakaman itu, seorang pekerja kesihatan kelihatan berjalan di sekitar sebuah wad hospital sambil membuka tirai yang memisahkan katil-katil di unit rawatan rapi (ICU) dan meraikan bahawa semua orang adalah “bebas”. Sementara itu, rakan sekerjanya menyanyikan lagu gereja dalam bahasa Portugis, “Porque El Vive” (Kerana Dia Hidup).

Keterangan catatan itu menyatakan: “Pasukan Perubatan di Brazil.

“Menyanyi memuji Tuhan dan menunjukkan kebenaran untuk mencegah berita palsu di TV, tempat pesakit Unit Covid Kosong.”

Tangkapan skrin catatan Instagram yang mengelirukan, diambil pada 27 April 2021

Video itu beserta dakwaan serupa juga disebarkan di Facebook di sini dan sini.

Video itu juga muncul di Facebook dengan dakwaan serupa dalam pelbagai bahasa lain, seperti bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Portugis, bahasa Sepanyol, bahasa Poland dan bahasa Romania.

Brazil telah bergelut untuk membendung Covid-19 setelah mencatatkan lebih daripada 14 juta kes sejak pandemik itu bermula pada Mac 2020, menurut statistik Universiti Johns Hopkins.

Wabak tersebut tak hanya telah meragut nyawa lebih daripada 408,000 orang di Brazil, tetapi juga menyebabkan kemiskinan secara meluas di negara itu.

Namun, dakwaan itu mengelirukan.

Wad hospital 

Catatan-catatan yang tular tidak menyatakan di mana lokasi video tersebut dirakam, tetapi dengan meneliti rakaman itu, AFP berjaya mengesan tempat tersebut.

Pada saat ke-15, satu simbol hijau kelihatan di poster yang dilekatkan pada skrin komputer. Simbolnya serupa dengan logo Unimed, sebuah syarikat insurans perubatan yang mempunyai rangkaian hospitalnya sendiri di seluruh Brazil. 

Berikutnya perbandingan simbol yang dilihat dalam video yang mengelirukan itu (kiri) dan logo Unimed di laman web syarikat tersebut (kanan):

Perbandingan simbol yang dilihat dalam video yang mengelirukan itu (kiri) dan logo Unimed di laman web syarikat tersebut (kanan)

Apabila dihubungi AFP pada 26 April 2021, Unimed mengesahkan bahawa rakaman tersebut dirakam di salah satu pusat perubatannya, hospital Alberto Urquiza Wanderley, di Joao Pessoa, ibu bandar Paraiba, sebuah negeri di timur laut Brazil.

Menurut jurucakap syarikat itu, video tersebut dirakam di salah satu ICU hospital itu ketika giliran malam dari 30 hingga 31 Mac 2021 dalam “senario sementara yang menggalakkan”.

“Selepas peningkatan kes-kes Covid-19, terdapat pengurangan [dalam jumlah kes], yang, pada masa itu, membolehkan ICU [ini] ditinggalkan tanpa pesakit,” katanya kepada AFP. “Penggunaan video ini dalam sebarang konteks lain yang bertujuan untuk memutarbelitkan fakta itu sendiri adalah berat sebelah dan tidak benar.”

Kejadian seperti yang ditunjukkan dalam video itu hanyalah mungkin kerana hospital Alberto Urquiza Wanderley mengikuti “rancangan luar jangkaan” yang membolehkan bilangan katil infirmari atau ICU ditambah atau dikurangkan bergantung pada jumlah pesakit, jelasnya.

Pada hari yang sama klip tersebut dirakam, terdapat 77 pesakit yang dijangkiti Covid-19 dimasukkan ke ICU yang lain di hospital itu, dan terdapat 75 orang pada keesokan harinya, kata Unimed kepada AFP.

Pada 27 April 2021, terdapat 39 pesakit positif Covid-19 yang ditempatkan dalam katil ICU di Alberto Urquiza Wanderley.

Situasi wabak di Brazil

Berbanding dengan dakwaan yang dibuat oleh pengguna Facebook yang mengongsikan video tersebut, hampir semua katil-katil ICU yang diasingkan untuk pesakit koronavirus di Joao Pessoa dan sekitarnya dihuni pada masa video tersebut dirakamkan.

Menurut data yang diterbitkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Paraíba (SES) pada 30 Mac 2021, 93 peratus katil ICU orang dewasa untuk pesakit Covid-19 sudah dipenuhi di ibu bandar Joao Pessoa dan sekitarnya, sementara 88 peratus katil ICU orang dewasa untuk negeri Paraiba sudah dihuni. 

Pada hari berikutnya, data dari SES menyatakan 86 peratus katil ICU khusus untuk pesakit Covid-19 di ibu bandar itu dihuni, sementara 85 peratus katil ICU dipenuhi di negeri tersebut.

Data terbaru yang disediakan oleh SES pada 4 Mei 2021 menunjukkan penambahbaikan, dengan penggunaan katil ICU orang dewasa di ibu bandar itu turun sehingga 48 peratus sedangkan di negeri Paraiba angka penggunaan jenis katil yang sama adalah 57 peratus.

Walau bagaimanapun, keadaan di bahagian lain negara itu tetap teruk pada bulan April. AFP melaporkan mengenai krisis tersebut di sini dan di sini.

Terjemahan dan adaptasi
COVID-19