Klip ini menunjukkan tentera Turki dalam perjalanan ke Syria pada tahun 2018

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah video yang telah ditonton ratusan ribu kali beredar di pelbagai catatan di Facebook, YouTube dan TikTok dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan tentera Turki yang “tiba di Palestina” di tengah konflik Israel-Palestin terbaru. Dakwaan itu tak benar. Walaupun video tersebut menunjukkan tentera Turki, ia diambil pada tahun 2018 ketika negara itu mengirim pasukan ke Syria untuk memerangi askar Kurdish. 

Satu video dimuat naikkan pada 13 Mei 2021 di Facebook di sini, dan telah ditonton lebih daripada 98,000 kali. 

Video berdurasi tujuh saat itu menunjukkan orang awam merakam dan memberi salam kepada askar yang lalu di kawasan mereka dalam kereta kebal. Teks yang bertindih di atas video itu berbunyi: “TENTERA TURKI TELAH TIBA DI PALESTINA.” Keterangannya menyatakan: “Allahuakbar.”

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 20 Mei 2021

Video itu telah ditonton lebih daripada 700,000 kali setelah dikongsi di TikTok di sini.

Satu video berbeza muncul dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini, di mana video itu telah ditonton lebih daripada 37,000 kali.

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan kedua, diambil pada 25 Mei 2021

Satu video tersebut juga muncul di Facebook di sini dan video yang satu lagi di YouTube di sini, kedua-duanya dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia.

Lebih daripada 200 orang Palestin telah mati akibat pengeboman udara Israel di Gaza sejak 10 Mei 2021, menurut laporan AFP ini.

Dakwaan itu tak benar. 

Carian imej terbalik di Yandex diikuti dengan carian kata kunci selanjutnya menjumpai video ini yang dikongsikan di YouTube pada 14 Februari 2018. Tajuk video yang berbahasa Turki itu berbunyi: “Pazarcik Kahramanmaras: Orang ramai turun ke jalanan selepas mendengar berita kedatangan tentera Turki yang telah dikerahkan ke Afrin.”

Carian selanjutnya dengan penambahan perincian mengenai lokasi dalam video tersebut membawa kepada video YouTube ini yang dimuat naikkan oleh laman berita Turki, Aksu TV Haber pada 13 Februari 2018. Kereta kebal yang sama boleh dilihat dari tanda saat ke-26 dalam video Aksu TV Haber.

Keterangan video berbunyi: “Warga mengadakan upacara perpisahan di Pazarcik, Kahramanmaras, untuk konvoi tentera yang menuju ke sempadan untuk Operasi Olive Branch.”

Pazarcik adalah sebuah bandar dan daerah di bahagian selatan Wilayah Kahramanmaras, manakala Kahramanmaras juga adalah ibu bandar Wilayah Kahramanmaras dan sebuah tapak pangkalan tentera Turki.

Operasi Olive Branch merujuk kepada operasi ketenteraan yang dilancarkan Turki di wilayah utara Afrin di Syria, yang mensasarkan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) yang dianggap Ankara sebagai kumpulan pengganas.

Pada 20 Januari 2018, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengumumkan bahawa Ankara telah melancarkan serangan darat untuk menggulingkan tentera Kurdish dari Afrin. Keesokan harinya tentera dan kereta kebal Turki memasuki Syria.

Beberapa hari sebelum tentera Turki menjejak kaki di Syria, perayaan di jalanan diadakan di bandar Pazarcik untuk mengucapkan selamat tinggal. Perayaan tersebut diliputi oleh agensi berita Turki IHA dan oleh CNN Turk pada 13 Februari 2018.

Di bawah ini adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan pertama (kiri) dan video Aksu TV Haber (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan pertama (kiri) dan video Aksu TV Haber (kanan)

Di bawah ini adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan kedua (kiri) dan video Aksu TV Haber (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan kedua (kiri) dan video Aksu TV Haber (kanan)

AFP telah menerbitkan laporan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Serbia yang membongkar dakwaan serupa yang disebarkan dengan video berbeza. 

Terjemahan dan adaptasi
KONFLIK ISRAEL-PALESTIN