Roket dilancarkan ke arah Israel dari bandar raya Gaza yang dikawal oleh pergerakan Hamas Palestin pada 18 Mei 2021. (AFP / Mahmud Hams)

Muka depan akhbar Sinar Harian lama tentang pejuang Hamas dikongsikan dalam catatan mengelirukan

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah gambar muka depan surat khabar di Malaysia telah dikongsi ribuan kali di Facebook, Instagram dan Twitter dan TikTok, dengan dakwaan bahawa Israel menuduh Malaysia melatih pejuang Hamas. Foto itu disebar pada ketika konflik Israel-Palestin meruncing pada bulan Mei 2021. Dakwaan ini mengelirukan. Gambar tersebut merupakan muka depan surat khabar Sinar Harian pada tahun 2014, tujuh tahun sebelum krisis yang berlaku kini.

Satu imej yang memaparkan tajuk utama surat khabar dimuat naik pada 15 Mei 2021, dalam Facebook di sini, di mana ia telah dikongsi lebih 7,000 kali.

Tajuk berita surat akhbar tersebut berbunyi: “Israel Sasar Malaysia. Laporan akhbar Zionis tuduh Malaysia latih pejuang Al-Qassam namun dinafikan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Hamas.”

Keterangan bersama imej berkenaan berbunyi: “Simpan stock mercun bola untuk kedatangan tentera Zionis sial”.

Tangkapan skrin catatan Facebook yang diterbitkan pada 15 Mei 2021

Al-Qassam” merujuk kepada briged Ezzedine al-Qassam, kumpulan bersenjata dari Hamas.

Imej muka depan akhbar tersebut dikongsi pada ketika konflik Israel-Palestin kembali meruncing pada bulan Mei 2021, seperti yang dilaporkan oleh AFP di sini.

Imej tersebut telah dikongsi dan mendapat tanda suka ribuan kali selepas muncul dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini, di Twitter di sini, di Instagram di sini dan sini, dan di TikTok di sini.

Namun begitu, dakwaan itu mengelirukan.

Carian imej terbalik di Google disusuli dengan beberapa carian kata kunci di Facebook mendapati muka depan tersebut dimuat naikkan di laman Facebook rasmi surat akhbar Sinar Harian pada 31 Julai 2014 di sini. Tarikh penerbitan muka depan itu ialah 1 Ogos 2014.

Berikut perbandingan tangkapan skrin imej yang mengelirukan (kiri) dan muka depan surat akhbar tersebut yang sebenar (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin imej yang mengelirukan (kiri) dan muka depan surat akhbar yang sebenar (kanan)

Walaupun artikel tersebut tidak dapat lagi diakses melalui laman Sinar Harian, laporan asal itu telah diarkibkan dan boleh diakses di sini. Tajuk berita tersebut berbunyi, “Israel sasar Malaysia?” 

Laporan itu memetik artikel Jerusalem Post di mana Agensi Keselamatan Israel mendakwa pejuang Hamas yang ditangkap pernah dilatih di Malaysia.

Hamas dan timbalan menteri dalam negeri Malaysia pada ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, secara berasingan telah menafikan dakwaan Israel tersebut, seperti yang dilaporkan di sini, sini dan sini.