Gambar-gambar ini diambil dari tunjuk perasaan berbeza di Indonesia pada tahun 2016 dan 2017, bukan 2021

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Khamis 27/05/2021 pukul 10:50
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Tiga foto telah dikongsi berulang kali dalam pelbagai catatan Facebook bersama-sama dakwaan bahawa mereka menunjukkan rakyat Indonesia berhimpun secara besar-besaran sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin pada bulan Mei 2021. Dakwaan itu tak benar. Ratusan rakyat Indonesia berdemonstrasi di Jakarta pada bulan Mei untuk menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin, akan tetapi foto-foto tersebut sebenarnya menunjukkan dua tunjuk perasaan yang berbeza di Indonesia pada tahun 2017 dan 2016.

Gambar-gambar itu diterbitkan pada 18 Mei 2021 di Facebook di sini.

Kapsyennya menyatakan: “Warga Indonesia berdiri teguh tanda solidariti bersama Palestin!
#WeStandWithPalestin”.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 25 Mei 2021

Ratusan rakyat Indonesia berprotes di depan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jakarta pada 18 Mei 2021 untuk menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin dan menuntut penghentian serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita kerajaan Indonesia, Antara dan The Jakarta Globe.

Foto-foto tersebut telah dikongsi ratusan kali setelah tersebar dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan di sini.

Gambar-gambar tersebut juga tersebar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris, bahasa Jerman dan bahasa Arab.

Tambahan lagi, foto-foto itu juga dikongsikan dengan dakwaan serupa oleh penyiar media milik kerajaan Iran, Press TV di sini dan stesen televisyen Palestin, Fajer TV di sini.

Namun, dakwaan itu tak benar. Satu daripada ketiga gambar itu diambil semasa tunjuk perasaan 2016 terhadap gabenor Jakarta ketika itu yang dituduh menghina Islam. Dua gambar yang lain diambil pada bulan Disember 2017, ketika rakyat Indonesia memprotes keputusan presiden AS masa itu, Donald Trump, untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Gambar pertama

Carian imej terbalik di Microsoft Bing menjumpai foto ketiga dalam laporan bertarikh 3 Disember 2016 ini oleh The Jakarta Post, surat khabar Indonesia berbahasa Inggeris.

Gambar tersebut, yang memberi kredit kepada agensi berita Antara, mempunyai keterangan yang berbunyi: “Tempat tumpuan penunjuk perasaan: Umat Islam berkumpul dekat Monumen Nasional di Jakarta pada hari Jumaat ketika mereka berdemonstrasi terhadap Gabenor Jakarta, Basuki ‘Ahok’ Tjahaja Purnama, yang telah dinamakan polis sebagai suspek menghina​​ agama Islam.”

Lebih daripada 200,000 umat Islam berhimpun di Jakarta pada 2 Disember 2016, untuk menuntut gabenor Cina beragama Kristian, Basuki Tjahaja Purnama, yang lebih dikenali sebagai Ahok, ditangkap kerana menghina Islam, lapor AFP di sini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin gambar pertamaa Post (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar pertama dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto laporan The Jakarta Post (kanan)

Gambar kedua

Carian imej terbalik di Yandex, disusuli dengan carian kata kunci di Google, menjumpai video ini dari penyiar Indonesia Metro TV, bertarikh 17 Disember 2017.

Video itu disiarkan di laman web media dalam talian yang berkaitan dengannya, Medcom.id. Dalam bahasa Malaysia, tajuk itu berbunyi: “Menteri Hal Ehwal Agama Lukman dan Gabenor Anies Ikut Aksi Mempertahankan Palestin di Tugu Nasional.”

Laporannya menyatakan: “Sejumlah tokoh masyarakat, seperti Menteri Hal Ehwal Agama Lukman Hakim Saifuddin dan Gabenor Jakarta Anies Baswedan, bergabung dengan tindakan solidariti untuk mempertahankan Palestin di Tugu Nasional. Tindakan ini adalah untuk menentang tuntutan AS bahawa Baitulmaqdis ialah ibu negara Israel.”

Tugu Nasional terletak di Jakarta.

Donald Trump, presiden AS ketika itu, mengumumkan pengiktirafan status Baitulmaqdis yang dipertikaikan sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember 2017 membalikkan dasar AS selama beberapa dekad, lapor AFP di sini.

Puluhan ribu orang mengambil bahagian dalam perhimpunan 17 Disember 2017 di Jakarta, yang dianjurkan oleh Majlis Ulama Indonesia dan disokong oleh kerajaan dan beberapa organisasi Islam yang lain, lapor AFP di sini.

Adegan yang menunjukkan bendera Palestin raksasa di kalangan orang ramai dapat dilihat dalam imej kecil dan dari tanda 1:11 hingga 1:56 video Metro TV.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin gambar kedua dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Metro TV (kanan): 

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar pertama dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Metro TV (kanan)

Gambar ketiga

Carian imej terbalik di TinEye mendapati foto kedua diterbitkan di sini di laman web Getty Images, bertarikh 17 Disember 2017.

Keterangannya berbunyi: “Para lelaki Indonesia mengibarkan bendera Palestin dan Indonesia di demonstrasi besar menentang keputusan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 17 Disember 2017 di Jakarta, Indonesia. Penunjuk-penunjuk perasaan yang angkanya dijangka polis berjumlah 80,000 orang memanggil untuk boikot perniagaan Amerika dan Israel.”

Embed from Getty Images

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin gambar ketiga dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto Getty Images (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar ketiga dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto Getty Images (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami