Para pakar menolak dakwaan bahawa menahan nafas membantu menguji Covid-19

Satu video yang mendakwa anda boleh mengetahui sama ada anda menghidap Covid-19 dengan hanya menahan nafas telah ditonton puluhan ribu kali di pelbagai muat naik media sosial. Tetapi, dakwaan itu tak benar. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan seorang pakar pulmonologi memberitahu AFP Fact Check bahawa teknik ini tidak dapat mendiagnosis penyakit yang disebabkan oleh novel koronavirus.

Klip yang disebarkan melalui pelbagai catatan Facebook dan Instagram mendakwa bahawa ujian itu melibatkan penahanan nafas semasa bintik hitam bergerak dari satu titik dalam segi empat ke titik yang lain. 

Kapsyen catatan Facebook ini, yang disiarkan pada 18 Ogos 2020, menyatakan: “Jika anda mampu berhenti bernafas hingga titik hitam berhenti maknanya kesihatan paru anda baik, kandungan oxigennya cukup

“Berita gembira nya juga ialah tiada tanda2 Jangkitan Covid-19 pada diri anda. Selamat mencuba.”

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 22 September 2020

Video yang sama telah ditonton lebih daripada 20,000 kali setelah juga dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini; dan di Instagram di sini dan sini, dengan dakwaan serupa.

Versi video yang dikongsikan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab, serta bahasa Indonesia seperti ini dan ini, juga menyelitkan nombor telefon untuk Hospital Ananta yang terletak di bahagian barat laut India.

Di Kenya dan Afrika Selatan, dakwaannya beredar di WhatsApp sebagai mesej yang berbunyi: “Jika anda boleh menahan nafas sehingga bintik merah bergerak dari A ke B anda bebas dari Covid 19 buat masa ini. Ujian covid yang senang. Percubaan Percuma tanpa sebarang kos. Tolong Selamatkan Nyawa. Tunggu sehingga bintik merah bergerak ke A sebelum anda mula menahan nafas.”

Menurut dakwaan tersebut, kebolehan untuk menahan nafas anda ketika bintik merah bergerak selama kira-kira 25 saat dari satu titik ke titik yang lain adalah bukti bahawa paru-paru anda “sihat dan tahan penyakit”.

Dakwaan tersebut tak benar. 

WHO memberitahu AFP Fact Check bahawa teknik tersebut “tidak memberitahu anda jika anda menghidap Covid-19”.

“Ini nampaknya seperti aplikasi mudah yang mengukur masa dan bukannya aliran udara. Orang dengan penyakit paru-paru (dari merokok, pencemaran, asma, COPD atau jangkitan pulmonari, termasuk tetapi tentu sahaja tidak terhad kepada Covid-19) akan mengalami kesukaran melakukannya. Nampaknya tidak berbahaya, tetapi tidak begitu instruktif, ianya ukuran kasar fungsi paru-paru,” kata WHO dalam satu e-mel.

Dr Peter Waweru, seorang pakar pulmonologi di Nairobi, Kenya, juga menolak dakwaan tersebut, dengan berkata bahawa ujian pernafasan tidak boleh dipercayai semasa menguji kehadiran atau ketiadaan virus yang menyebabkan Covid-19.

“Ini tidak tepat sama sekali. Pernafasan tidak boleh digunakan untuk menguji Covid-19. Paru-paru boleh mengalami beberapa jangkitan dan ujian pernafasan tidak mencukupi untuk menentukan sama ada seseorang itu mempunyai Covid-19 atau tidak. Kami pernah melihat orang yang paru-parunya tidak terkesan dengan virus namun mereka disahkan positif Covid-19,” kata Waweru kepada AFP Fact Check.

Hospital di India menolak dakwaan video

Dr Amba Lal Salve, seorang penguasa perubatan di Hospital Ananta, memberitahu AFP Fact Check di India bahawa institusi itu bukan di sebalik mesej dalam video itu, yang menggunakan maklumat yang sahih di laman Facebook Hospital Ananta, termasuk nombor telefonnya dan harga ujian Covid -19.

“Video tersebut bukan milik hospital ini dan kami tidak tahu siapa yang membuatnya,” katanya.

Sebelum ini, AFP Fact Check pernah menjelaskan pelbagai ujian yang berbeza yang digunakan untuk mendiagnosis Covid-19 di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami