Video ini sebenarnya menunjukkan jemaah di Peru pada 2019 sebelum pandemik COVID-19

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Video mengenai orang ramai bersembahyang di luar telah ditonton puluhan ribu kali di pelbagai posting di Facebook dan YouTube bersama-sama dakwaan ia menunjukkan warga Itali berdoa ketika pandemik novel koronavirus. Dakwaan itu tak benar. Rakaman itu sebenarnya menunjukkan acara berdoa di Peru pada Disember 2019, beberapa minggu sebelum Itali melaporkan kes pertama novel koronavirus, yang menyebabkan penyakit COVID-19.

Video berdurasi lima minit dan 30 saat itu dikongsikan di Facebook di sini pada 29 Mac 2020 dan telah ditonton lebih daripada 20,000 kali.

Rakaman itu menunjukkan orang ramai bersujud di dataran awam.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Kapsyennya menyatakan: “Rakyat italy sujud minta pertolongan dr Allah kerana buntu dgn corona / Allah maha Hebat”.

Itali merupakan salah satu negara yang paling teruk dilanda pandemik COVID-19 dengan hampir 212,000 kes disahkan, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei 2020.

Itali melaporkan kes COVID-19 yang pertamanya pada akhir Januari, menurut laporan AFP ini bertarikh 31 Januari 2020.

Rakaman yang sama telah ditonton lebih daripada 8,300 kali setelah dimuat naikkan bersama-sama dakwaan yang serupa di Facebook di sini, sini dan sini serta di YouTube di sini dan sini.

Klip itu juga dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Cina di sini dan bahasa Indonesia di sini dan sini.

Tetapi, dakwaan itu tak benar.

Suara yang jelas dalam rakaman itu berbahasa Sepanyol dan kedengaran membuat rujukan kepada Plaza San Martín, sebuah dataran awam di bandar Lima, Peru. Plaza tersebut boleh kelihatan di sini di Google Street View.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan Google Street View (kanan): 

Perbandingan tangkapan skrin video dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan Google Street View (kanan)

Carian kata kunci yang seterusnya menjumpai versi video ini yang lebih panjang yang disiarkan di laman Facebook seorang ahli politik Peru, Alejandro Munante, pada 7 Disember 2019.

Kapsyen postingnya, diterjemahkan dari bahasa Sepanyol kepada bahasa Malaysia, sebagai: “Doa berjaga (prayer vigil) untuk Peru”.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video Munante (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video Muñante (kanan)

Acara bersembahyang di luar itu juga disiarkan secara langsung di sini dan sini oleh kumpulan Kristian, Peru, Jesucristo es la unica esperanza.

KORONAVIRUS