Tiada bukti saintifik bahawa daun semambu boleh ‘merawat’ COVID-19 dan simptomnya, kata pakar kesihatan

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Dakwaan bahawa daun semambu boleh merawat novel koronavirus, COVID-19, dan mengurangkan simptomnya telah dikongsi di pelbagai posting Facebook. Dakwaan itu tak benar. Kementerian Kesihatan Malaysia dan para pakar kesihatan  berkata bahawa tiada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan itu. Pihak kesihatan antarabangsa telah berkata bahawa, sehingga April 2020, tiada penawar untuk COVID-19 .

Dakwaan itu diterbitkan di Facebook di sini pada 22 Mac 2020. Posting itu, termasuk dua gambar daun semambu, telah dikongsikan melebihi 11,000 kali. 

Posting itu, diterjemahkan daripada bahasa Cina ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Kawan-kawan saya, pekerja India saya kata guna daun ini dan serbuk kunyit untuk cuci badan boleh mencegahkan virus! Mari cuba! Kerana sampai sekarang, di Malaysia tiada kaum India dijangkiti dengan virus. Harap ia memang berfungsi! Daun itu dipanggil Daun semambu dalam bahasa Malaysia... orang India memanggilnya Daun Nim... Bukan bergurau!”

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Dakwaan itu juga dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini.

Versi lain dakwaan itu, seperti posting Facebook ini yang diterbitkan pada 26 Mac 2020, memberi resipi untuk rebusan daun semambu yang dikatakan boleh meredakan simptom COVID-19 seperti demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas. Posting itu, termasuk gambar-gambar daun semambu sedang disediakan, telah dikongsi melebihi 600 kali. 

Posting itu menyatakan: 
“air 4 cawan
daun 20 helai
rebus hingga mendidih daripada 4 cawan hingga 2 cawan .

“saya ikhtiar menjadi di keluarga saya
semua dengan izin Allah .semoga dapat menyelamatkan nyawa orang yang memerlukan .

“untuk demam , batuk ,sakit tekak dan sesak nafas .
setiap penyakit pasti ada penawarnya”.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Dakwaan mengenai resipi itu juga telah dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini.

Tetapi, dakwaan tersebut adalah tak benar.

Sebuah infografik rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa dakwaan berkenaan adalah "mitos". 

Di bawah adalah tangkapan skrin infografik KKM:

Tangkapan skrin infografik KKM

Infografik itu menyatakan: 
“Penggunaan daun semambu (Neem) bagi wabak COVID-19

“Mitos
- Secara tradisional, daun semambu digunakan untuk pelbagai jenis demam dan jangkitan;
- Boleh digunakan ke atas manusia bagi merawat wabak COVID-19;
- Boleh merangsang sel imunisasi atau pertahanan badan;
- Tiada kesan sampingan dan selamat digunakan.

“Fakta
- Tiada rekod yang jelas bagi dos yang perlu diambil;
- Buat masa ini hanya ada kajian ke atas sel (in vitro) dan haiwan (in vivo) yang dijalankan ke atas virus hepatitis C, denggi dan polio. Tiada kajian ke atas coronavirus yang menyebabkan COVID-19;
- Tiada kajian keberkesanan ke atas sistem imunisasi manusia kecuali kajian sel (in vitro) yang fokus ke atas bakteria dan bukan virus;
- Data keselamatan melibatkan semua bahagian tumbuhan menunjukkan:
Dewasa: Mungkin selamat jika diambil dalam jangka masa yang singkat dan dalam kuantiti dos yang sedikit;
Kanak-kanak: Tidak selamat kerana boleh menyebabkan sawan, muntah, koma, hilang kesedaran dan boleh mendatangkan maut;
Wanita hamil: Boleh menyebabkan keguguran”.

Pada 26 Mac 2020, beberapa pakar kesihatan juga telah membincangkan tentang dakwaan tersebut di dalam acara langsung Facebook yang telah dipengerusikan oleh Khairy Jamaluddin, menteri sains, teknologi dan inovasi (MOSTI).

“Ia mesti mempunyai bukti saintifik untuk menunjukkan bahawa ia secara langsung menyerang virus dan itu mestilah dijalankan dengan eksperimen yang betul. Kebanyakan masanya, apabila anda membaca mengenainya, tidak terdapat bukti,” kata Professor Dr. Shamala Devi Sekaran, pakar imunologi dan virologi dari Universiti Mahsa, pada masa 23 minit 23 saat dalam jawapannya kepada soalan mengenai rebusan daun semambu.

Seorang pakar epidemiologi dari Universiti Malaya, Professor Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud, juga berkata bahawa daun semambu telah didapati tidak berkesan dalam merawat penyakit lain.

“Apa yang dikatakan berkesan itu adalah mungkin dalam satu, dua kes dan mungkin tidak ada kena-mengena dengan daun semambu,” katanya pada masa 32 minit 50 saat. “(Ia) mungkin disebabkan penyakit itu sembuh dengan sendiri atau ada makanan lain atau ketahanan badan yang kuat pesakit tersebut.”

Sehingga April 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan bahawa “tidak terdapat ubat spesifik yang disyorkan untuk mencegah ataupun merawat koronavirus baru (2019-nCoV)” dan “tidak terdapat bukti bahawa ubat terkini boleh mencegah ataupun merawat penyakit itu.”

Tangkapan skrin laman sesawang WHO
Tangkapan skrin infografik WHO
KORONAVIRUS