Video ini telah dirakam di Azerbaijan pada November 2019

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah video telah ditonton ratusan ribu kali di pelbagai posting Facebook, YouTube dan Twitter bersama-sama dakwaan ia menunjukkan azan berkumandang semasa epidemik COVID-19 di Sepanyol, untuk kali pertama dalam ratusan tahun. Dakwaan itu tak benar. Video itu telah dirakam di Azerbaijan pada November 2019, sebelum pandemik COVID-19; tidak ada larangan ke atas azan di Sepanyol dalam masa terdekat ini. 

Video berdurasi dua minit, 57 saat itu telah dimuat naikkan di Facebook pada 28 Mac 2020. Ia telah ditonton melebihi 207,000 kali dan dikongsikan lebih daripada 11,000 kali. 

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Kapsyennya menyatakan: “Alhamdullillah, buat pertama kali selepas 800 tahun; Azan berkumandang di Barcelona, Spain.
Aamiin....”

Ada versi dakwaan yang menyatakan ia merupakan 500 tahun sejak “azan mula berkumandang di Spain”, seperti di video ini, yang telah ditonton melebihi 127,000 kali dan dikongsikan lebih daripada 5,300 kali.

Video dan dakwaan yang sama juga dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini. Ia juga dikongsikan di YouTube di sini dan sini.

Rakaman tersebut dikongsi dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Inggeris di sini; dan bahasa Indonesia di Facebook di sini, di YouTube di sini dan di Twitter di sini

Novel koronavirus, yang menyebabkan penyakit COVID-19, pertama kali dikenal pasti di bandar Wuhan, China pada Disember 2019. Wabak ini telah menjadi pandemik global.

Sehingga 4 Mei 2020, Sepanyol telah mencatatkan lebih daripada 217,000 kes positif COVID-19 dan lebih daripada 25,000 kematian, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ini.

Dakwaan itu tak benar. Video itu telah dirakam di Azerbaijan sebelum virus itu dikenal pasti; tidak ada larangan ke atas azan di Sepanyol dalam masa terdekat ini.

Carian imej terbalik di Google melalui alat InVid-WeVerify, alat pengesahan video, dan carian kata kunci seterusnya, mendapati video yang sama telah dimuat naikkan di sini di YouTube pada 19 November 2019, dan juga di sini di Instagram pada 20 November 2019 sebelum akaunnya bertukar menjadi peribadi. Ia dikongsi oleh pengguna Instagram dan YouTube bernama Kenan Musaev.

Video YouTubenya berjudul: “AZAN ( BELOKAN,AZERBAIJAN) oleh Mehdi Yarrahi”.

Kapsyen video YouTube itu ialah:
“AZAN oleh Mehdi Yarrahi
Belokan - Azerbaijan
HIkmet Askerov
Kenan Musayev”. 

Balakan, atau Belokan atau Belokany, merupakan bandar di barat laut Azerbaijan. 

Mehdi Yarrahi merupakan penyanyi dari Iran.

Di akaun Instagramnya, Musaev menulis di ruangan komen pada 3 April 2020 bahawa dia telah merakam video tersebut pada November 2019 di bandar Balakan dan ia “tidak ada kena-mengena dengan Sepanyol”.

“Ini bukan Sepanyol,” katanya, dengan menambah lagi bahawa orang yang kelihatan berdiri di dalam menara pada bahagian awal video itu adalah dirinya sendiri.

Di bawah adalah tangkapan skrin komennya:

Tangkapan skrin komen di pos Instagram Musaev

Selepas rakamannya menjadi viral, Musaev memuat naikkan di Instagramnya klip ini dari saluran televisyen Turki yang telah menggunakan videonya di luar konteks. Dia menjelaskan bahawa rakaman itu diambil di Azerbaijan, bukan Sepanyol. 

Di laman Facebooknya di sini, dia juga mengongsikan video YouTube dari Baku TV ini. Tajuk video itu diterjemahkan dari bahasa Azeri kepada bahasa Malaysia sebagai: “Media Turki menggambarkan Balakan sebagai Sepanyol”.   

Lokasi masjid di dalam video itu boleh dilihat di sini di Google Maps.

Di bawah adalah tangkapan skrin gambar yang diambil berdekatan masjid tersebut dari Google Maps:

Tangkapan skrin gambar dari Google Maps

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan masjid di Google Maps (kanan). AFP telah membulatkan ciri-ciri yang berpadanan dalam warna merah.

Perbandingan tangkapan skrin video dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan masjid di Google Maps (kanan)

Dakwaan bahawa azan telah dilarang di Sepanyol juga tak benar. Perlembagaan Sepanyol dan Undang-undang Kebebasan Beragama menjamin kebebasan beragama dan kebebasan beribadah kepada penganut pelbagai agama di negara itu, termasuk umat Islam.

Masjid Agung Granada, di bandar Granada, Sepanyol, memuat naikkan video ini di Facebook yang menunjukkan seorang lelaki melafazkan azan di masjid itu pada Julai 2017.

KORONAVIRUS