Video ini menunjukkan karnival di Brazil pada tahun 2018

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton puluhan ribu kali di Facebook dan YouTube dan disertai dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan pesta terakhir di Itali sebelum penularan wabak novel koronavirus. Dakwaan itu tak benar. Rakaman itu sebenarnya dari sebuah karnival di Brazil pada Februari 2018, dua tahun sebelum pengesahan kes COVID-19 yang pertama di Itali.

Video tersebut dimuat naikkan di sini di Facebook pada 31 Mac 2020.

Video berdurasi satu minit dan tiga saat itu menunjukkan orang ramai, kebanyakannya lelaki, memakai baju tidak berlengan berwarna-warni atau dalam keadaan separuh bogel. Sebilangan besar daripada mereka berciuman dan menari ketika muzik dimainkan di latar belakang.

Sebahagian kapsyen yang panjang itu menyatakan: “Kenapa wabak Covid 19 ini menyerang di Italy dengan teruk sekali...

“Apakah ini puncanya...Mmg tidak syak lagi.., Didatangkan wabak yang tidak pernah wujud sebelumnya apabila zina., dan maksiat berleluasa...

“Sebagai perbandingan kenapa Allah terbalikkan bumi di Zaman Nabi Allah Lut.

“Kesimpulannya.
Inilah pesta yang terakhir dibuat di Italy.

“Sabda Rasulullah: Wahai sekalian kaum Muhajirin, ada lima hal yang jika kalian terjatuh ke dalamnya, dan aku berlindung kepada Allah supaya kalian tidak menjumpainya.

“1. Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka taun (wabak) dan penyakit-penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya.” 

Dalam banyak ajaran Islam, kisah Nabi Luth ditafsirkan sebagai hukuman Allah atas perbuatan homoseksual.  

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan yang diambil pada 23 Jun 2020

Video ini telah ditonton lebih daripada 86,000 kali setelah dikongsi secara meluas dengan dakwaan yang serupa di Facebook di sini, sini dan sini; dan di YouTube di sini dan sini.  Banyak komen untuk video ini bersifat homofobik. 

Tangkapan skrin komen yang homofobik

Video tersebut juga tersebar secara meluas dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di sini; serta bahasa Inggeris di sinisini dan sini

Dakwaan itu tak benar. 

AFP menjalankan pencarian imej terbalik menggunakan alat pengesahan InVID-WeVerify dan menjumpai beberapa ciapan dari Februari 2020 – seperti ini dan ini – yang mendakwa video tersebut menunjukkan Karnival Bahian, festival tahunan di negeri Bahia, Brazil. 

Biro AFP di Rio de Janeiro mengesahkan bahawa muzik yang dimainkan di latar belakang video adalah lagu karnival yang popular di Brazil iaitu “Minha pequena Eva”, yang berarti “Eva saya yang kecil”. 

Dengan mengezum dekat pada versi rakaman yang lebih berkualiti, AFP mendapati perkataan “Crocodilo” dicetak di bahagian belakang baju tidak berlengan berwarna-warni yang dipakai oleh ramai pengunjung festival. 

Tangkapan skrin daripada rakaman yang tersebar secara meluas dalam talian

AFP menjalankan pencarian Google untuk frasa “carnaval bahia crocodilo” dan menemui hasil untuk “Bloco Crocodilo”, salah satu daripada puluhan pesta jalanan semasa Karnival Bahian, yang juga dikenali sebagai Karnival Salvador.

Salvador adalah ibu kota negeri Bahia. 

“Tahun ini adalah tahun Piala Dunia, ini adalah karnival!” kata wanita yang bercakap kepada orang ramai dalam bahasa Portugis pada tanda 19 saat dalam rakaman itu.

AFP juga menjalankan carian lanjutan di Twitter untuk ciapan dengan perkataan-perkataan “bloco crocodilo” dari tahun 2018 – tahun Piala Dunia terakhir – dan menjumpai satu ciapan seorang wartawan tempatan Alan Alves pada 11 Februari 2018.

Ciapannya, diterjemahkan dari bahasa Portugis ke bahasa Malaysia, berbunyi: “Orang ramai di Bloco Crocodilo, diacarakan oleh Daniela Mercury, sudah menantikan permulaan perbarisan di Barra.”

Daniela Mercury ialah seorang penyanyi dari Brazil. 

Baju tidak berlengan berwarna pelangi yang jelas kelihatan di dalam ciapan dari tahun 2018 adalah sama dengan baju-baju di dalam rakaman yang kini tersebar secara meluas di media sosial.

Tangkapan skrin ciapan dari Februari 2018
Tangkapan skrin rakaman yang kini tersebar dalam talian

 

Peserta Karnival Bahian diberi sehelai t-shirt, yang dikenali sebagai “abada”, sebagai bukti mereka telah membayar untuk menghadiri sebuah acara. Baju-baju t-shirt tertentu adalah sah untuk satu acara dan rekaannya berbeza dari pesta jalanan ke pesta jalanan dan dari tahun ke tahun. 

Baju-baju t-shirt “Crocodilo” berwarna pelangi itu juga kelihatan di dalam siaran dari saluran TV dari Brazil, Terra (tonton dari tanda enam minit 18 saat). Tanda pagar (hashtag) #carnavalnoterra2018 pada skrin di permulaan siaran mengesahkan rakaman itu menunjukkan sebuah acara dari tahun 2018.

Menurut atur cara untuk Karnival Bahian, terdapat dua pesta jalanan “Bloco Crocodilo” pada 11 dan 12 Februari 2018 di sekitar kawasan pesisir Barra di Salvador. 

KORONAVIRUS