Video ini menunjukkan konsert koir di Turki pada 2011

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 29/04/2020 pukul 11:55
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Sebuah video telah ditonton puluhan ribu kali di pelbagai posting Facebook, Twitter dan Instagram yang mendakwa ia menunjukkan para pemuzik daripada latar belakang keagamaan yang berlainan mengucapkan 99 nama Allah di New Zealand semasa pandemik novel koronavirus. Dakwaan itu tak benar. Video itu menunjukkan sekumpulan koir menyanyi di sebuah konsert di Turki pada 2011.

Rakaman berdurasi tiga minit 29 saat itu telah disiarkan di Facebook di sini pada 27 Mac 2020. Ia telah ditonton sekitar 3,500 kali dan dikongsikan lebih daripada 180 kali.

Kapsyennya menyatakan: “Pertama kali dalam Sejarah Dunia...Para Pemuzik dan Penyanyi dari kalangan Penganut Agama Islam..Kristian...Yahudi dan Budha...hadhir bersama-sama di New Zealand...mengalunkan ASMAUL HUSNA (99 Nama ALLAH) dalam Bahasa Arab...Khusus dalam menghadapi Wabak COVID-19 ....Terlalu banyak hikmah berlakunya Wabah Covid-19 sekarang ini...SAKSI kan hingga selesai.”

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Logo untuk TRT Avaz, sebuah saluran media Turki, kelihatan di sudut kiri atas video itu. 

Sehingga 28 April 2020, pandemik penyakit novel koronavirus, atau COVID-19, telah membunuh lebih daripada 200,000 orang dan menjangkiti hampir 3 juta orang, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Video dengan dakwaan yang sama telah ditonton lebih daripada 5,000 kali setelah disiarkan di Facebook di sinisini dan sini; di Twitter di sini dan sini; dan di Instagram di sini.

Rakaman yang sama dengan dakwaan yang serupa di dalam bahasa Inggeris juga dikongsikan di sini, sini dan sini; dan dalam bahasa Indonesia di sini, sini dan sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 36,000 kali. 

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.

Carian kata kunci di Google mendapati versi penuh video ini yang dimuat naikkan oleh Perbadanan Radio dan TV Turki, TRT Avaz di Daily Motion. Tajuknya, diterjemahkan dari bahasa Turki ke bahasa Malaysia, sebagai: “Koir Sultan Mehmet Sarajevo - 2011-05-29”.

Adegan yang ditunjukkan di posting yang mengelirukan boleh dilihat dari tanda empat minit 55 saat. 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara adegan di video yang mengelirukan (kiri) dan video TRT (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin adegan-adegan di video yang mengelirukan (kiri) dan video TRT (kanan)

Konsert yang ditunjukkan di dalam video itu telah berlangsung di Museum Hagia Irene, juga dikenali sebagai Museum Hagia Eirene, di Istanbul, pada 29 Mei 2011, seperti yang dilaporkan oleh media Turki Haberler di sini. Laporan bertarikh 31 Mei 2011 itu bertajuk: “Koir Fatih Sultan Mehmet Menakluki Hati.”

Dua perenggan yang pertama artikel itu diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai: “Konsert oleh Koir Fatih Sultan Mehmet, terdiri daripada anak-anak dari tiga kumpulan etnik yang berbeza (Bosnia, Croatia dan Serbia) yang tinggal di Bosnia dan Herzegovina, memikat pendengar. Koir itu, menyanyi lagu ketuhanan dan tempatan dengan alat muzik yang berbeza, menerima tepuk sorak yang gemuruh.

“Koir Fatih Sultan Mehmet, yang datang ke Istanbul sebagai tetamu istimewa TRT Music, mempersembahkan resital di Dewan Konsert Sekolah Menengah Sains Sosial di Yenibosna petang semalam, selepas konsert mereka di Museum Hagia Eirene pada 29 Mei. Korus belia Bosnia, Croatia dan Serbia menyanyi gita puja di dalam bahasa-bahasa Turki, Melayu, Bosnia, Urdu dan Parsi. Koir itu, mempesonakan para penonton dengan gita puja yang dinyanyinya dan alat muzik yang dimainnya, mengagumkan para peserta. Di akhir konsert itu, para penonton memberi kumpulan itu tepuk sorak yang gemuruh.”

Media Turki yang lain, Yeni Asya dan Dunya Bulteni juga menerbitkan laporan mengenai konsert tersebut di sini dan sini.

Abdullah Gul, presiden Turki dari 2007 hingga 2014, juga menghadiri konsert itu dan telah menerbitkannya di blog peribadinya pada 29 Mei 2011 di sini.

Diterjemahkan dari bahasa Turki ke bahasa Malaysia, dua perenggan pertama blog tersebut menyatakan: “Presiden Abdullah Gul, telah mengunjungi Hagia Sophia dengan isterinya Hayrunnisa Gul, dan kemudian menonton konsert yang diadakan oleh TRT di Hagia Irene untuk menyambut ulang tahun Penaklukan Istanbul.

“Presiden dan isterinya mendengar di Hagia Irene kepada lagu yang dinyanyi oleh Koir Fatih Sultan Mehmet yang datang ke Turki sebagai tetamu khas saluran TRT Music.”

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara dewan konsert di dalam video yang mengelirukan (kiri) dan dewan Hagia Irene seperti yang ditunjukkan di laman web museum (kanan) dengan ciri-ciri yang sepadan dibulatkan dalam warna merah oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara dewan konsert di dalam video yang mengelirukan (kiri) dan dewan Hagia Irene seperti yang ditunjukkan di laman web museum (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami