Video ribut petir lama disalah tafsir sebagai 'rakaman Rusia menyerang Ukraine'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Video bangunan yang diterangi oleh pancaran cahaya pada waktu malam telah ditonton puluhan ribu kali di media sosial bersama dengan dakwaan ia menunjukkan tentera Rusia menyerang Ukraine. Akan tetapi, video itu dikongsi dalam konteks palsu. Rakaman itu telah beredar dalam talian beberapa bulan sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula pada Februari 2022. Pengguna media sosial yang merakam klip itu memberitahu AFP bahawa ia menunjukkan ribut petir di bandar Volzhsk, Rusia.

Video berdurasi 11 saat itu telah dimuat naikkan di Facebook di sini pada 24 Februari 2022, di mana ia telah ditonton melebihi 54,000 kali.

Keterangan catatan itu berbunyi: "Ukraine mula diserang Rusia. Kedengaran bedilan di udara."

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 17 Mac 2022

Beberapa bandar di Ukraine telah diserang serentak sejak bermulanya pencerobohan Rusia pada 24 Februari 2022, lapor AFP di sini.

Video yang sama telah ditonton lebih daripada 50,000 kali setelah juga muncul dengan dakwaan yang serupa di sini, sini dan sini di Facebook.

Video tersebut turut dikongsi dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Urdu, bahasa Portugis, bahasa Serbia dan bahasa Arab.

Walau bagaimanapun, video itu wujud beberapa bulan sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Carian imej terbalik mendapati video itu ialah video versi imej cermin satu klip yang telah disiarkan di sini di TikTok pada 28 Jun 2021.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan klip asli di TikTok (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan klip asli di TikTok (kanan)



Pengguna TikTok @MiEvgen823 memberitahu AFP dia merakam rakaman itu di bandar Volzhsk di Rusia pada 28 Jun 2021.

"Ini dilakukan semasa musim panas pada bulan Jun, terdapat ribut petir yang kuat dan nampaknya kilat menyambar pengubah elektrik dan lampu terpadam," katanya.

Seni bina bangunan yang ditunjukkan dalam video TikTok sepadan dengan imej Google Street View di sini yang menunjukkan sebuah kawasan kejiranan di Volzhsk.

Semakan di laman web cuaca Gismeteo di sini dan WolframAlpha di sini menunjukkan ribut petir diramalkan di Volzhsk pada 28 Jun 2021.

Pelbagai laporan semakan fakta AFP yang membongkar dakwaan tidak sahih berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine boleh didapati di sini.

Konflik Ukraine