Adegan filem dikongsi dengan dakwaan palsu tentang 'askar Ukraine membunuh warga Islam di Chechnya'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 22/03/2022 pukul 10:00
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Pakistan, AFP Malaysia
Sebuah video telah ditonton ratusan ribu kali selepas ia dikongsi di media sosial dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan askar Ukraine membunuh warga Chechen beragama Islam semasa serangan Ukraine ke atas Chechnya. Bagaimanapun, dakwaan itu adalah palsu. Klip itu sebenarnya diambil dari adegan pembukaan filem Perancis "The Search", yang menunjukkan keluarga Chechnya ditembak mati oleh askar Rusia. Filem tahun 2014 itu berlatar belakang perang Rusia-Chechen pada tahun 1999. Sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Rusia — bukan Ukraine — yang berperang di Chechnya.

Video itu telah ditonton lebih 223,000 kali selepas ia disiarkan di Facebook di sini pada 9 Mac 2022.

Rakaman selama satu minit 52 saat itu menunjukkan seorang askar menembak seorang lelaki warga emas dan kemudian seorang wanita susulan satu pertengkaran.

Kapsyen catatan berkenaan berbunyi: "Kezaliman tentera Ukraine ketika zaman terdahulu / Membunuh Seorang Rakyat ISLAM di kampung / Chechenya, ketika mereka pernah memasuki / Chechenya satu ketika dahulu, / Kemungkinan tahun 80 an atau awal 90an, Suami / Isteri, Si suami Sempat membaca Surah AL Fatihah /Sebelum ditembak Dan rebah syahid disusuli isterinya,. Tak tahu apa nasib Keadaan / anak perempuan pasangan tersebut , / Patutlah kenapa tentera2 Chechnya begitu bersemangat Untuk membantai tentera Ukraine Dan sekutunya."

Image
Tangkapan skrin catatan menyesatkan, diambil pada 18 Mac 2022

Chechnya ialah sebuah republik di bahagian barat daya Rusia.

Video itu telah ditonton lebih daripada 104,000 kali setelah dikongsi di Facebook di sini, di sini dan di sini dengan dakwaan serupa.

Ia juga dikongsi dalam bahasa Urdu di Facebook di sini dan dalam bahasa Inggris di Twitter di sini.

Catatan berkenaan dikongsi selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan pencerobohan ke atas negara jiran Ukraine pada 24 Februari 2022.

Serangan Rusia itu telah membunuh lebih daripada 900 orang awam Ukraine dan menyebabkan jutaan orang meninggalkan negara itu, menurut data terkini dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ramzan Kadyrov, pemimpin wilayah Chechnya dan merupakan sekutu Putin, berkata pada 26 Februari 2022 bahawa pejuang Chechnya telah dikerahkan ke Ukraine.

Susulan catatan yang mengelirukan ini, seorang pengguna Facebook tulis ini di ruang komen: "ada baiknya russia musnahkan ukraine ni."

Seorang lagi pengguna Facebook berkata: "Sekarang rasakan warga Ukraine. Allah balas balik lambat.. tetetapi penuh dasyat."

Berikut adalah tangkapan skrin komen-komen yang dikongsi di Facebook:

Image
Tangkapan skrin komen-komen di Facebook, diambil pada 21 Mac 2022

Walau bagaimanapun, video itu telah dikongsi dalam konteks palsu.

Pencarian kata kunci mendapati klip itu diambil dari adegan pembukaan daripada filem yang diterbitkan pada 2014 berjudul The Search, diarahkan oleh pengarah Perancis Michel Hazanavicius.

Sinopsis filem itu berbunyi: "Seorang wanita Perancis yang bekerja untuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan memulakan hubungan istimewa dengan seorang budak lelaki yang hilang di Chechnya yang dilanda perang pada tahun 1999."

Bahagian yang membawa kepada adegan pembunuhan boleh dilihat pada tanda 3:47 filem yang dimuat naik ke YouTube di sini.

Berikut perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan adegan tulen dari filem (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan adegan tulen dari filem (kanan)

The Search ditayangkan perdana di Festival Filem Cannes pada tahun 2014.

Dalam wawancara ini, termasuk dalam kit media untuk festival itu, pengarah Hazanavicius berkongsi tentang adegan pembukaan yang menunjukkan askar Rusia menembak keluarga Chechnya.

"Video yang seakan kotor, berbintik-bintik, kamera dipegang tangan, satu format yang belum lagi format filem itu, bagi saya semua ini merupakan gambaran visual yang paling sesuai. Saya yang memegang kamera, untuk tangkapan berurutan selama lima minit," katanya.

Dalam ulasan filem itu, The Guardian, surat kabar British, menulis: "Tiada keraguan tentang impak adegan pembukaan. Askar Rusia yang mabuk dan kejam mengejek dan mengganas orang awam Chechnya dan membunuh pasangan di hadapan anak perempuan mereka Raissa (Zukhra Duishvili)."

Perang Chechen

Sejak runtuhnya Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Rusia — bukan Ukraine — berperang di Chechnya.

Tentera Rusia yang mula menyerang Chechnya untuk memerangi pemberontak pemisah pada 1994 dan berundur pada Januari 1997, beberapa bulan sebelum menandatangani perjanjian damai antara Presiden Rusia Boris Yeltsin dan pemimpin Chechnya Aslan Maskhadov.

Selepas Putin menjadi perdana menteri pada tahun 1999, beliau menyelia satu lagi serangan tentera terhadap puak pemberontak di wilayah majoriti Muslim yang memisahkan diri.

Human Rights Watch berkata antara 3,000 dan 5,000 orang telah hilang di Chechnya sejak permulaan perang Chechnya kedua pada 1999, dengan pengetahuan penuh pihak berkuasa Rusia, lapor AFP.

Sekurang-kurangnya 25,000 orang maut dalam perang Chechen kedua, menurut pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International dan Minority Rights Group International.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami