Ini video pokok terbakar dekat Masjid Al-Aqsa pada tahun 2021, bukan 'Israel bakar masjid di Jerusalem'

Israel terus menggempur Gaza melalui serangan udara dan kempen darat yang hebat sejak perang dengan Hamas tercetus pada 7 Oktober 2023. Walau bagaimanapun, sebuah video yang telah ditonton puluhan ribu kali di media sosial tidak menunjukkan tentera Israel membakar Masjid Al-Aqsa di Jerusalem -- tempat suci ketiga bagi umat Islam -- dalam konflik baru-baru ini. Video tersebut telah dikongsi sejak 2021 lagi, apabila pelbagai berita melaporkan sebatang pokok di perkarangan Al-Aqsa terbakar ketika pertempuran antara petugas keamanan Israel dan warga Palestin berlaku. Setakat 5 Disember 2023, tiada laporan yang menyebut bahawa Masjid Al-Aqsa terbakar di tengah-tengah peperangan terkini.

"Kekejaman Israel membakar Masjidil Al Aqsa," tulis teks yang tertera pada video TikTok yang dikongsi pada 25 Oktober 2023. "Allahuakbar x3".

Kompleks masjid di Jerusalem tersebut adalah tempat suci ketiga bagi umat Islam dan dikenali sebagai "Temple Mount" bagi penganut agama Yahudi yang menganggapnya sebagai tempat paling suci.

Al-Aqsa menjadi kawasan tempat rebutan yang sering berlaku antara polis Israel dan warga Palestin. Pada bulan April 2023, contohnya, lebih 350 orang ditangkap selepas petugas keamanan Israel menceroboh masuk ke dalam masjid dan menyebabkan pertempuran berlaku.

Video berdurasi satu minit tersebut, yang telah ditonton lebih dari 340 kali, menunjukkan sekumpulan orang ramai di hadapan api yang marak. Seorang lelaki yang merakam video itu berulang kali melaungkan "Allahu Akbar" ketika empat kali bunyi letupan didengari.

"Mereka membakar Masjid Al-Aqsa ... mereka ingin membakar Masjid Al-Aqsa," katanya dalam bahasa Arab.

Image
Tangkapan skrin catatan sesat, diambil pada 5 Disember 2023

Siaran itu dimuat naikkan selepas Hamas melancarkan serangan tiba-tiba terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, yang kemudiannya mencetuskan perang yang turut mengorbankan ribuan warga Israel dan Palestin.

Kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh di Israel dalam serangan Hamas itu, dan sekitar 240 orang lainnya telah ditawan, menurut angka rasmi terkini yang dikeluarkan oleh Israel.

Israel bertindak balas dengan terus-menerus melancarkan serangan yang telah meragut lebih 15,900 nyawa, majoritinya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza pada 4 Disember 2023.

Rakaman itu telah ditonton lebih dari 58,500 kali selepas dikongsi di TikTok seperti di catatan ini, ini dan ini.

Catatan itu juga beredar dalam bahasa Indonesia.

Klip itu sebelumnya muncul pada tahun 2021, yang mendakwa bahawa Masjid Al-Aqsa telah dibakar.

Namun, carian imej terbalik dan kata kunci menunjukkan bahawa gambar dan video yang sama diedarkan dalam laporan-laporan bahawa sebatang pokok terbakar ketika berlakunya pertempuran antara polis Israel dan warga Palestin di perkarangan masjid tersebut pada 2021.

Setakat 5 Disember 2023, tiada laporan mengenai Israel menyerang Al-Aqsa sejak perang itu tercetus.

Pokok terbakar

Analisis lebih terperinci ke atas video yang dikongsi dalam siaran palsu mendapati apa yang terbakar di dalam video tersebut adalah pokok, bukannya masjid.

Carian kata kunci di Google menemui video yang serupa pernah disiarkan oleh agensi pelesenan video Storyful pada 11 Mei 2021 (pautan arkib). Video berdurasi 22 minit lebih itu menunjukkan pokok yang terbakar dan orang ramai lari bertempiaran di sekitar perkarangan tersebut, sementara bunyi letupan sebanyak empat kali juga dapat didengari.

Dua perenggan pertama laporan Storyful itu berkata: "Sebatang pokok dekat Masjid Al-Aqsa terbakar di Jerusalem pada Isnin, 10 Mei, ketika berlakunya pertempuran antara para jemaah dan polis Israel yang menyebabkan ratusan orang tercedera.

"Video ini dirakam oleh AlQastal, media Palestin, pada Isnin malam. Menurut laporan-laporan, api segera berjaya dipadamkan dan tidak menyebabkan kerosakan pada masjid."

Dalam klip Storyful, anggota bomba juga boleh dilihat memadamkan api dan kubah emas Masjid Al-Aqsa kelihatan jauh di belakang, tidak disentuh api.

AFP melaporkan bahawa kebakaran besar menyambar pokok-pokok di perkarangan itu yang menempatkan masjid terbabit pada 10 Mei 2021, susulan malam pertempuran antara polis pencegah rusuhan Israel dan jemaah Palestin. Pertempuran telah bermula beberapa hari sebelum ini, iaitu pada 7 Mei, Jumaat terakhir pada bulan puasa Ramadan.

Tiada laporan yang menyebut bangunan masjid di dalam perkarangan Al-Aqsa terbakar.

Carian lanjut kata kunci dan imej terbalik di Google menemui gambar pokok terbakar dikongsi oleh Suleiman Maswadeh, seorang koresponden politik Kan, stesen TV kerajaan Israel, di X -- sebelum ini bernama Twitter -- pada 11 Mei 2021 (pautan arkib).

Laporan oleh agensi berita Reuters mengenai kebakaran pokok itu berkata tiada kerosakan pada masjid (pautan arkib). Menurut laporan itu juga saksi "memberikan kenyataan yang bercanggah sama ada kebakaran itu disebabkan oleh warga Palestin yang telah melemparkan bunga api ke arah polis atau oleh bom tangan polis".

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara video Storyful (kiri), video dalam catatan palsu (tengah) dan gambar daripada Maswadeh (kanan), dengan beberapa petunjuk persamaan ditandakan AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara video Storyful (kiri), video dalam catatan palsu (tengah) dan gambar daripada Maswadeh (kanan)

Satu imej berbentuk panorama yang dibuat dengan mencantumkan beberapa tangkapan skrin di video yang dikongsi secara palsu sepadan dengan imej perkarangan Masjid Al-Aqsa yang dilihat di Google Street View (pautan arkib).

Dibawah ialah perbandingan imej panorama dibuat dari gabungan tayangan video palsu (kiri) dan imej Google Street View (kanan):

Image
Perbandingan gambar panorama gabungan video-video palsu (kiri) dan imej Google Street View (kanan)

AFP telah menafikan gelombang maklumat salah mengenai perang Israel-Hamas.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami