Ini video kebakaran hutan di Argentina pada Oktober 2023, bukan 'kebakaran di Israel'

Di saat maraknya perang Israel-Hamas pada Oktober 2023, yang telah meragut ribuan nyawa, sebuah video kompilasi diedarkan dengan naratif palsu bahawa ia adalah rakaman kebakaran besar di Israel. Kelima-lima klip dalam video itu sebenarnya muncul dalam laporan Oktober 2023 mengenai kebakaran hutan di Argentina, yang diterbitkan oleh pelbagai media Argentina dan asing.

Video itu telah ditonton sebanyak 261,000 kali selepas dikongsi di sini di TikTok pada 16 Oktober 2023.

Video berdurasi satu minit dan 21 saat itu mengandungi lima klip, semuanya menunjukkan kebakaran berhampiran bandar dan kawasan perumahan.

Sementara itu, teks pada video itu berbunyi: "NEGERI ISR**L SEKARANG," merujuk kepada Israel.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, terdapat teks yang bertulis: "Israel siaran langsung hari ini", diiringi dengan emoji bendera Israel.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 28 November 2023

Kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh di Israel dalam serangan pada 7 Oktober 2023, dan sekitar 240 orang lainnya telah ditawan, menurut angka rasmi terkini yang dikeluarkan oleh Israel.

Serangan balas Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih daripada 14,800 orang, menurut kerajaan Hamas, yang mengawal wilayah Palestin, setakat 23 November 2023.

Perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 24 November 2023 telah menghentikan sementara pertempuran selama tujuh minggu serta berpuluh-puluh tebusan warga Israel dan lebih 100 tahanan Palestin dibebaskan Hamas dan Israel.

Video yang sama telah ditonton lebih daripada 3.1 juta kali selepas dikongsi dengan tuntutan serupa pada Oktober 2023 dalam siaran TikTok ini dan ini, dan Facebook di sini.

Siaran serupa juga beredar dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Bagaimanapun, semua klip dalam video itu sebelum ini diterbitkan dalam laporan mengenai kebakaran hutan di Wilayah Cordoba, bahagian tengah Argentina.

Klip pertama

Carian imej terbalik di Google mendapati bahawa klip pertama -- menunjukkan orang ramai berdiri berhampiran kereta mereka di lebuh raya dengan jambatan hijau diterangi api -- telah muncul dalam artikel yang disiarkan oleh akhbar Argentina, La Voz del Interior, pada 10 Oktober 2023 (pautan arkib).

Siaran lapan saat itu juga diterbitkan oleh media dalam talian Argentina Infobae pada hari berikutnya, dalam laporan mengenai perintah pemindahan yang dikeluarkan kepada penduduk Cabalango, di Wilayah Cordoba (pautan arkib).

Pada 10 Oktober 2023, Andy Ferreyra, seorang wartawan dengan media tempatan Perfil Cordoba, menyiarkan semula klip lain di X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, yang menunjukkan kebakaran berhampiran jambatan hijau yang sama (pautan arkib ini dan ini). Dalam catatan itu, beliau menulis: "Kebakaran di Cabalago, sekarang."

Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin klip pertama dalam video mengelirukan (kiri) dan video tulen daripada La Voz (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip pertama dalam video mengelirukan (kiri) dan video tulen daripada La Voz (kanan)

AFP melaporkan bahawa kebakaran hutan di Wilayah Cordoba, di Argentina bahagian tengah, bermula pada 9 Oktober 2023.

Kebakaran diburukkan lagi dengan keadaan cuaca yang mencabar, dengan suhu meningkat sehingga sekitar 35 darjah Celsius dan angin kencang utara mencapai kelajuan sehingga 70 kilometer sejam.

Klip kedua

Klip kedua -- yang menunjukkan asap tebal berkepul-kepul dari api yang marak di kaki langit -- dikongsi oleh Meteorologia Argentina y Mundial, halaman Facebook yang memfokuskan pada keadaan cuaca di Argentina, pada 10 Oktober 2023 (pautan arkib ini dan ini).

Menurut penerangan kandungan yang dimuat naik, klip itu dirakam di Villa Carlos Paz, sebuah bandar di Cordoba.

Klip berdurasi 22 saat itu turut dikongsi oleh Radio Online Parana, stesen radio Argentina, dalam catatan Instagram mengenai kebakaran hutan di Villa Carlos Paz (pautan arkib).

Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin klip kedua dalam video mengelirukan (kiri) dan video tulen daripada Meteorologia Argentina y Mundial (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip kedua dalam video mengelirukan (kiri) dan video tulen daripada Meteorologia Argentina y Mundial (kanan)

Klip ketiga

Klip ketiga dalam video mengelirukan itu menunjukkan api besar sedang marak di belakang sebuah rumah dua tingkat. Klip ini diterbitkan dalam laporan tentang kebakaran hutan di Cordoba oleh media dalam talian Argentina MinutoUno pada 11 Oktober 2023 (pautan arkib).

Klip itu juga muncul dalam laporan tentang kebakaran hutan di Villa Carlos Paz oleh media Mexico ADN 40 pada 10 Oktober 2023 (pautan arkib).

Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin antara klip ketiga dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video asal daripada MinutoUno (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara klip ketiga dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video tulen daripada MinutoUno (kanan)

Klip keempat

Klip keempat ialah rakaman video dron yang menunjukkan dinding api yang menyala di kaki langit di belakang sebuah bandar. Video ini sebelum ini diterbitkan oleh Storyful, sebuah agensi pelesenan video antarabangsa yang berpangkalan di Dublin, Ireland, pada 11 Oktober 2023 (pautan arkib ini dan ini).

"Rakaman dron ini menunjukkan betapa dekatnya [kebakaran] dengan bandar Villa Carlos Paz. Video yang dirakam oleh Federico Krypner menunjukkan api di kaki langit berhampiran Villa Carlos Paz," kata laporan Storyful.

Krypner, seorang jurugambar dan juruvideo, menyiarkan rakaman itu pada akaun Instagramnya di sini (pautan arkib).

Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin bagi klip keempat dalam video mengelirukan (kiri) dan video tulen daripada Storyful (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan layar klip keempat di video sesat (kiri) dan video tulen daripada Storyful (kanan)

Lokasi klip sepadan dengan imej Google Maps ini di sudut jalan di Villa Carlos Paz, yang menunjukkan bangunan ungu muda yang sama (pautan arkib).

Klip kelima

Klip kelima dan terakhir -- di mana kamera menunjukkan kebakaran di sebalik beberapa bangunan -- juga boleh ditemui dalam siaran Facebook Meteorologia Argentina y Mundial, bertarikh 10 Oktober 2023 (pautan arkib).

"Satu lagi video dikongsi dengan kami dari Villa Carlos Paz, Cordoba," tulis keterangan yang dimuat naik.

Marina Fernandez, ahli meteorologi di stesen televisyen Todo Noticias dan saluran maklumat cuaca Meteored, menyiarkan video itu di akaun Instagramnya, yang digabungkan dengan klip dari Krypner (pautan arkib).

Fernandez berkata kedua-dua klip dirakam di Villa Carlos Paz.

Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin klip kelima dalam video mengelirukan (kiri) dan video tulen daripada Meteorologia Argentina y Mundial (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip kelima dalam video mengelirukan (kiri) dan video tulen daripada Meteorologia Argentina y Mundial (kanan)

Vera Files, sebuah organisasi pemeriksa fakta Filipina, juga telah menafikan naratif palsu yang berkaitan dengan klip ini (pautan arkib).

AFP telah menafikan gelombang maklumat salah mengenai perang Israel-Hamas.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami