Ini video kanak-kanak menangis pada hari pertama sekolah di AS, bukan 'budak Palestin menangis ketika ditanya tentang ibunya'

Belasan ribu orang terkorban di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak perang Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober 2023. Namun, sebuah video yang ditonton lebih sejuta kali di media sosial tidak memperlihatkan seorang kanak-kanak Palestin menangis apabila ditanya mengenai ibunya. Video itu diambil dari temu ramah dengan seorang kanak-kanak lelaki pada hari pertamanya menghadiri sekolah di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), pada 2015, lapan tahun sebelum bermulanya perang Israel-Hamas ketika ini.

Video berdurasi 21 saat itu dikongsi pada 15 Oktober 2023, di TikTok, di mana rakaman itu telah ditonton lebih dari 5 juta kali.

"Syurga lah tempat ibumu," tulis kapsyen pada video itu, sementara tulisan pada video menunjukkan tanda pagar diikuti kata-kata: "we stand for palestine".

Video itu memperlihatkan seorang kanak-kanak lelaki sedang ditemu ramah oleh seorang wanita itu telah ditonton 5 juta kali.

Kanak-kanak itu ditanya dalam bahasa Inggeris yang bermaksud: "Adakah kamu akan merindui ibu kamu?"

Kanak-kanak itu tersenyum dan terus menjawab "Tidak", tetapi apabila wanita itu bertanya semula dengan "Tidak?", kanak-kanak tersebut mula menangis sambil menutup wajah dengan tangannya.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 14 Disember 2023

Klip itu beredar beberapa hari selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023. Menurut pihak berkuasa Israel, serangan Hamas itu telah mengorbankan 1,200 orang, sebahagian besar membabitkan orang awam, dan sekitar 240 orang lainnya telah ditawan.

Sebagai balasan atas serangan terburuk dalam sejarah negara itu, Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas.

Menurut kerajaan Hamas di Gaza, setakat 15 Disember 2023, serangan tentera Israel telah mengorbankan lebih 18,800 nyawa, yang majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak.

Video dengan naratif serupa telah ditonton lebih 7,700 kali dalam siaran di TikTok ini, ini, ini dan ini.

Catatan serupa juga dikongsikan oleh pengguna media sosial dari Indonesia.

Komen pada catatan TikTok menunjukkan ramai pengguna media sosial percaya bahawa klip tersebut ada kaitan dengan konflik yang sedang berlaku antara Israel dan Hamas.

Seorang pengguna TikTok menulis: "Ya Allah lindungilah anak2 yatim di GAZA serta permudahkan segala urusan mereka ammiinn."

Pengguna TikTok yang lain berkata: "ALLAHU AKHBAR" diikuti beberapa emoji menangis.

Image
Tangkapan skrin komen pengguna TikTok

Namun, klip itu dirakam lapan tahun sebelum konflik Israel-Hamas ketika ini.

Temu bual 'kembali ke sekolah'

Hasil pencarian gambar terbalik dan kata kunci di Google menunjukkan kepada sebuah video yang dikongsi pada 18 Ogos 2015 di laman Facebook rasmi KTLA, sebuah stesen TV di Los Angeles (pautan arkib).

Logo KTLA juga dapat dilihat pada mikrofon yang dipegang wartawan itu ketika sesi temu ramah terbabit.

"Hari pertama persekolahan membawa emosi bercampur-campur untuk kebanyakan pelajar, termasuk Andrew Macias yang berusia 4 tahun, yang bercakap dengan kami dalam perjalanan ke pra-tadika pada hari Selasa," tulis sebahagian daripada kapsyen video itu, sambil menambah bahawa ia dirakam di luar sebuah sekolah di timur Los Angeles.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video di catatan palsu (kiri) dan video tulen tahun 2015 dari KTLA (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video di catatan palsu (kiri) dan video tulen tahun 2015 dari KTLA (kanan)

Satu laporan di laman web KTLA menambah, "Beberapa saat kemudian, ibu Andrew memeluknya di luar skrin kamera" (pautan arkib).

Baik catatan Facebook KTLA mahupun laporan di laman webnya tidak menyebut bahawa kanak-kanak lelaki itu adalah orang Palestin.

Video itu telah ditonton sekurang-kurangya 19 juta kali selepas diunggah di laman Facebook KTLA.

Temu bual itu juga dilaporkan oleh media lain di hari berikutnya, termasuk CBS News di AS dan akhbar Inggeris The Independent (pautan arkib ini dan ini).

Video tersebut kembali beredar pada bulan September 2023, ketika Macias dan wartawan Courtney Friel bertemu semula untuk melakonkan semula temu ramah itu sebagai promosi kepada sebuah filem baharu (pautan arkib).

Friel telah berkongsi video tersebut di akaun Instagram rasminya pada 24 September 2023 (pautan arkib).

Baik laporan terbaharu KTLA mahupun catatan Instagram Friel tidak menyebut konflik yang sedang berlaku antara Israel dan Hamas.

AFP Semakan Fakta sebelum ini telah menafikan maklumat salah lain yang berkaitan konflik Israel-Hamas di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami