Video lama dikongsikan dengan dakwaan palsu tentang 'Iran serang Israel pada 2024'

Serangan Iran ke atas Israel pada 13 April 2024 mencetuskan gelombang maklumat salah di media sosial. Termasuk di antaranya, satu video yang beredar dengan dakwaan keliru bahawa itu menunjukkan sistem pertahanan udara Kubah Besi Israel ketika serangan Iran itu berlaku. Video itu sebenarnya telah tersebar sejak Oktober 2023 dalam laporan serangan di bandar Ashkelon, di selatan Israel, beberapa hari selepas tercetus perang di Gaza.

"Iran lancar puluhan serangan dron sasar Israel," tulis teks pada video berdurasi satu minit dua saat yang dikongsi di Facebook pada 14 April 2024.

Bahagian pertama video menunjukkan apa yang dilihat seperti roket yang meletup di ruang udara pada waktu malam dan beberapa orang kedengaran berbicara. Manakala, bahagian kedua video menunjukkan letupan kuat dari jauh dan kedengaran suara dua lelaki menjerit-jerit.

"Iran melancarkan puluhan serangan dron terhadap Isr43l pada Sabtu," bunyi sebahagian kapsyen siaran Facebook itu. 

Video berdurasi satu minit dua saat itu telah ditonton lebih daripada 380 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran keliru, diambil pada 24 April 2024

Siaran itu muncul susulan serangan Tehran ke atas Israel pada 13 April 2024, sebagai tindakan balas terhadap serangan maut terhadap gedung konsular kedutaan Iran di Damsyik, ibu negara Syria, pada 1 April 2024, yang dipercayai dilakukan Israel.

Serangan berturut-turut ini makin meningkatkan ketegangan di Timur Tengah lebih daripada enam bulan sejak bermulanya perang antara Israel dan Hamas.

Video itu telah ditonton lebih daripada 20,500 kali selepas dikongsi bersama dakwaan serupa di siaran lainnya di FacebookInstagram dan YouTube.

Catatan serupa juga tersebar dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggerisbahasa Tagalogbahasa Mandarin dan bahasa Arab.

Bagaimanapun carian imej terbalik di Google mendapati bahawa bahagian pertama video telah beredar setengah tahun sebelum serangan Iran. 

The Telegraph, surat khabar Inggeris, menerbitkan klip yang sama di YouTube pada 12 Oktober 2023 (pautan arkib).

"Kubah Besi Israel memintas roket Hamas di Ashkelon," tulis tajuk video berdurasi 42 saat itu dalam bahasa Inggeris.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi klip di siaran keliru (kiri) dan video The Telegraph (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi klip di siaran keliru (kiri) dan video The Telegraph (kanan)

The Telegraph memberi kredit video itu kepada akaun X bernama Clash Reports, walaupun terdahulu beberapa pengguna lain berkongsi klip itu di sini dan di sini (pautan arkib iniini dan ini).

Penyiar televisyen Sky News Arabia turut menerbitkan video itu di Facebook pada hari sama, dengan kapsyen bahawa rakaman itu menunjukkan Kubah Besi memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza (pautan arkib).

Klip itu muncul beberapa hari setelah meletusnya perang di Gaza yang dicetuskan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023. Menurut pengiraan AFP, yang berdasarkan angka rasmi Israel, serangan Hamas itu mengakibatkan kira-kira 1,140 orang terkorban, kebanyakannya orang awam.

Serangan balas Israel telah mengorbankan lebih daripada 34,100 orang di Gaza, sebahagian besar wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah Palestin kendalian Hamas itu pada 23 April 2024 -- hari ke-200 sejak perang bermula. 

AFP tidak dapat mengesahkan tarikh video itu dirakamkan.

Analisis visual lokasi dalam klip itu mendapati sebuah lebuh raya di Ashkelon pada Google Street View, yang serupa dengan yang terlihat dalam video (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip di siaran keliru (kiri) dan imej Google Street View (kanan), dengan ciri-ciri sepadan ditandakan AFP:

Image

Bahagian kedua daripada video yang beredar dalam talian pada bulan April 2024 itu berdurasi 13 saat. Rakaman yang sama beredar dalam laporan berita tentang serangan Iran ke atas lapangan terbang Ramon di selatan Israel, disiarkan oleh Al Jazeera dan TRT World, dari Turki, pada 14 April 2024 (pautan arkib ini dan ini). 

AFP Semakan Fakta telah menafikan dakwaan palsu lainnya yang berkaitan dengan konflik Iran dan Israel di sini, di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami