Bill Gates berucap semasa perasmian Persidangan Antarabangsa ke-8 dalam Statistik Pertanian di New Delhi pada 18 November 2019. ( AFP / Money Sharma)

Permainan video 'Omikron' tidak mempunyai kaitan dengan Bill Gates atau varian Covid-19

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai hantaran media sosial yang dimuat naikkan sejak akhir bulan November mendakwa permainan video dari tahun 1999 bernama "Omikron" mempunyai kaitan dengan Bill Gates dan Microsoft, syarikat yang beliau asas bersama, dengan mencadangkan bahawa ia memberikan petanda untuk varian Omicron bagi koronavirus. Dakwaan itu mengelirukan. Walaupun "Omikron" dilancarkan pada tahun 1999, Microsoft mengatakan bahawa baik syarikat itu mahupun Gates, yang sering menjadi sasaran utama teori konspirasi, tidak terlibat dalam pembangunan permainan itu. Permainan video "Omikron" juga tidak berkaitan dengan pandemik Covid-19, yang muncul dua dekad kemudian.

Sebuah video muncul di hantaran ini di kumpulan Telegram yang khusus dalam topik Covid-19 di Malaysia pada 3 Disember 2021, beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan Omicron sebagai varian yang membimbangkan.

Tulisan di bahagian atas video berbunyi: "Permainan Video Prediktif 1999 Omikron Milik Microsoft dan Bill Gates."

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, wanita di dalam video mengatakan: "Anda tidak boleh mengada-ngadakan perkara ini.

"Sila cari Nomad Soul. Ia adalah permainan video dari tahun 1999.

"Permainan video ini juga dikenali sebagai Omicron teka siapa yang mencipta permainan ini,

"Microsoft yang dimiliki Bill Gates, dan permainan video itu mengenai syaitan penuai roh."

Tangkapan skrin hantaran mengelirukan, diambil pada 2 Januari 2022

Video itu juga menunjukkan tangkapan skrin laman Wikipedia tentang permainan video "The Nomad Soul".

Dakwaan serupa juga muncul di platform media sosial lain, seperti di Facebook dalam bahasa Malaysia, serta di Twitter, YouTube dan TikTok dalam bahasa Inggeris.

Dakwaan itu juga beredar dalam pelbagai bahasa lain, seperti bahasa Indonesia, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Portugis, bahasa Jerman, bahasa Serbia, bahasa Romania dan bahasa Yunani.

Beberapa catatan berkongsi satu klip daripada permainan video itu yang memaparkan seorang watak yang dimodelkan selepas dan disuarakan oleh penyanyi dan penulis lagu Britain David Bowie, yang meninggal dunia pada Januari 2016.

Gates , dermawan billionair Amerika Syarikat, berulang kali telah menjadi objek teori konspirasi, baik sebelum dan semasa pandemik Covid-19, di mana beliau dituduh berkata planet bumi harus dikurangkan penduduknya.

Dakwaan terbaru ini bahawa beliau terlibat dalam permainan video dari 1999 juga tidak tepat.

"Permainan video ini tidak dibangunkan oleh Microsoft / Bill Gates," kata jurucakap Microsoft kepada AFP pada 17 Disember 2021.

"Omikron: The Nomad Soul", permainan pengembaraan yang dilancarkan pada tahun 1999, telah dicipta oleh pembangun permainan video Quantic Dream, yang tidak menjawab permintaan untuk komen pada masa penerbitan artikel ini.

Syarikat itu diasaskan pada tahun 1997 oleh pengarah Perancis David Cage, yang juga pencipta beberapa permainan lain. Ahli pasukan di sebalik "Omikron" boleh dilihat di sini.

Permainan tersebut diedarkan oleh Eidos Interactive, penerbit permainan video yang berpangkalan di UK dan yang kini dipanggil Square Enix Europe.

Eidos Interactive melancarkan "Omikron" untuk platform Microsoft Windows pada tahun 1999 dan untuk konsol permainan video rumah Dreamcast pada tahun 2000.

Permainan ini masih tersedia untuk pembelian di laman web Amazon dalam bentuk cakera padat (CD), atau di laman pengedar permainan video digital Steam dan Gog secara dalam talian.

Microsoft ada melancarkan bahagian pembangunan permainan video pada tahun 2000, yang bekerjasama dengan syarikat-syarikat dan studio pihak ketiga untuk membangunkan dan menerbitkan permainan video di bawah nama Microsoft untuk platform Xbox, Steam dan Windows Store.

Xbox Game Studios bekerjasama dengan 23 studio pembangun, tetapi Quantic Dream bukanlah salah satu daripadanya.

Bandar fiksyen

"Omikron" — bukan "Omicron" seperti yang didakwa banyak hantaran yang mengelirukan — ialah nama bandar utama di planet Phaenon, tempat permainan pengembaraan itu ditetapkan. Ia adalah persekitaran futuristik yang tidak boleh didiami disebabkan oleh kehilangan satu-satunya matahari.

Bowie memainkan peranan sebagai Boz, watak yang tidak boleh dimainkan, dan beliau juga mengarang muzik asal untuk permainan itu.

Huruf Yunani

Varian Omicron telah dikesan pada akhir November 2021 oleh para saintis Afrika Selatan, dan dinamakan sempena huruf Yunani Omicron berdasarkan tatanama yang diputuskan oleh WHO. Huruf-huruf abjad Yunani disyorkan kerana ia "mudah disebut dan tidak menimbulkan stigma".

Huruf "Nu" dan "Xi" telah ditinggalkan kerana “Nu” terlalu hampir dengan perkataan Inggeris "new" dan “Xi” merupakan nama keluarga umum, seperti yang dijelaskan oleh WHO kepada AFP di sini.

Sebelum ini, AFP pernah membongkar dakwaan tak benar tentang varian virus Covid-19: bahawa varian-varian tersebut dilancarkan mengikut sebuah jadual dan bahawa filem tahun 1963 yang berjudul "The Omicron Variant" bukti varian terbaharu telah dirancang.

COVID-19 BILL GATES