Video ini menunjukkan rusuhan di London pada 2011, hampir sedekad sebelum pandemik COVID-19

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton puluhan ribu kali di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan orang ramai merusuh dan menjarah kedai-kedai di England ketika perintah berkurung koronavirus. Dakwaan itu tidak benar. Video itu telah tersebar dalam talian sejak Ogos 2011 mengenai rusuhan di ibu negara Britain, London.

Rakaman berdurasi lima minit dan 30 saat itu dimuat naikkan di Facebook di sini pada 22 Mac 2020. Ia telah ditonton melebihi 79,000 kali.   

Kapsyennya menyatakan: “Rusuhan berlaku di London sekarang akibat masalah bekalan makanan. Mungkin malam ini UK akan laksanakan Lockdown, pihak tentera sudah mula dikerahkan. Nasib baik rakyat Malaysia masih bertamadun dan tidak merosakkan harta awam atau menceroboh kedai-kedai sepertimana berlaku di London.”

Di bawah adalah tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan yang diambil pada 3 Ogos 2020

UK telah mengenakan perintah berkurung selama tiga minggu bermula 23 Mac 2020 dalam usaha untuk membendung penularan novel koronavirus, yang menyebabkan penyakit COVID-19. Kedai dan perkhidmatan yang tidak penting diperintahkan untuk tutup dan larangan diperkenalkan untuk perhimpunan lebih daripada dua orang, lapor AFP di sini.

Sehingga 2 Ogos 2020, COVID-19 telah membunuh hampir 46,200 orang dan menjangkiti hampir 304,000 orang di UK, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Video yang sama juga dikongsikan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, sini dan sini.

Ia juga dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di Facebook di sini, di Instagram di sini, di Twitter di sini dan di YouTube di sini.

Dakwaan itu tak benar. Video itu telah tersebar dalam talian sejak sekurang-kurangnya tahun 2011 mengenai rusuhan di daerah selatan London, Peckham.

Carian kata kunci di Google menemui versi video yang lebih panjang dengan kualiti yang lebih baik dimuat naikkan di sini di YouTube pada 10 Ogos 2011. Diterjemahkan dari bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia, judulnya ialah: “Rusuhan & Penjarahan Peckham - 08 Ogos 2011”.

Keterangan video itu menyatakan: “Ini bukanlah perkara biasa di peckham atau perwakilan majoriti orang, tetapi ini adalah ringkasan peristiwa yang berlaku di Peckham pada 08 Ogos 2011. Sebilangan besar wajah tersebut dapat dikenali, sila tampilkan diri anda, lihat kembali dan fikirkan kesalahan yang anda lakukan terhadap komuniti anda / kami.”

Adegan pertama di dalam video yang mengelirukan boleh dilihat pada tanda 43 saat. 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara adegan-adegan di dalam video yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin antara adegan-adegan di dalam video yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan)

Surat khabar UK, The Guardian juga telah menerbitkan video tentang rusuhan-rusuhan itu di sini pada 9 Ogos 2011. Ia, diterjemahkan dari bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia, berjudul: “Rusuhan Peckham: Bunga api yang dijarah dilempar ke arah polis - video.”

“Sejumlah pemuda bertempur dengan polis di Peckham, tenggara London, ketika rusuhan merebak ke seluruh ibu kota menurut apa yang dikatakan polis adalah malam terburuk kesan gangguan awam dalam ingatan hidup.

“Kedai dijarah dan bunga api yang dicuri dilemparkan ke arah barisan polis rusuhan. Sebuah bas dibakar berhampiran stesen bomba Peckham, ketika kawasan utama membeli-belah di tempat itu menjadi apa yang digambarkan oleh penduduk tempatan sebagai ‘zon perang’.”

Organisasi media UK lain termasuk BBC dan The Independent juga menerbitkan laporan mengenai pergolakan itu di sini dan sini

Blue Inc, kedai fesyen yang dirosakkan, yang kelihatan pada tanda empat minit 39 saat video itu, padan dengan gambar-gambar Google ini dan Google Street View ini dari Mei 2012, tetapi Google Street View terkini menunjukkan bahawa kedai Blue Inc tersebut telah digantikan oleh Costa Coffee.

Kedai Poundland yang kelihatan pada tanda lima minit 33 saat video itu padan dengan gambar-gambar Google ini

Dinding melengkung berwarna biru di Aylesham Center yang kelihatan pada tanda lima minit 41 saat juga berpadanan dengan Google Street View di Peckham di sini.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara kedai-kedai yang dirosakkan di dalam video yang mengelirukan (kiri) dan kedai-kedai yang ditunjukkan di dalam gambar-gambar pengguna Google (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin antara kedai-kedai yang dirosakkan di dalam video yang mengelirukan (kiri) dan kedai-kedai yang ditunjukkan di dalam gambar-gambar pengguna Google (kanan)
KORONAVIRUS